Isu BKPJM - Kenyataan Rasmi Yang Dipertua BKAWM Sesi 2011/2012

Salam Kemenangan,

Segala pujian dirafa’kan kepada Rabbul Izzati atas kurnianya yang melimpah kepada kita selaku hamba yang selalu mengharapkan rahmatNya bagi meneruskan hidup di muka bumi ini dengan keredhaanNya. Selawat serta salam diucapkan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW atas segala kecintaan serta kerinduan yang mendalam kepada kita dalam mencurah keringat untuk memperjuangkan Islam.

Mahasiswa adalah harapan kepada sesebuah negara, mereka bakal mengantikan kepimpinan pada masa akan datang malah mereka juga adalah aset penting kepada sesebuah negara, mutakhir ini mahasiswa sering ditindas dan dizalimi oleh mereka yang dengki dengan ‘Idealisme Mahasiswa Islam’ bagi membawa perubahan yang dicintai kearah yang lebih baik.Menjadi lumrah perjuangan Islam itu menempuh onak dan duri, cabaran dan tribulasi dalam meninggikan syariat Allah di muka bumi.

Sementara itu, masalah yang sama berlaku kepada mahasiswa Islam yang menuntut di Perlembahan Nil ini ialah dimana Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah dicabul hak-hak mereka sebagai persatuan yang diiktiraf dalam menyalurkan kebajikan kepada anak-anak Johor oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Isu penindasan ini sangat dilarang keras oleh Islam sebagaimana hadis Nabi Muhammmad SAW :

عن أنس رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : انصر أخاك ظالما أو مظلوما , فقال رجل : يا رسول الله صلى الله عليه وسلم أنصره اذا كان مظلوما , أفريت اذا كان اذا ظالما كيف انصره ؟! قال : تحجزه أو تمنعه من الظلم فان ذلك نصره

Mafhumnya : Dari Anas RA telah berkata : Telah bersada Rasulullah SAW : Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi, maka berkata seorang lelaki : Wahai Rasulullah SAW akan aku tolongnya sekiranya dia dizalimi, akan tetapi adakah engkau lihat, bagaimanakah untuk aku menolong orang yang zalim? lalu Bersabda Rasulullah SAW : Tahanlah atau halanglah saudaramu dari melakukan kezaliman, maka demikian itulah pertolongan untuk saudaramu (saudara yang zalim).

Dengan itu, saya mewakili Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), menyatakan pendirian, bahawa kami sebagai salah satu BKAN yang bernaung di bawah PMRAM akan bersama-sama dengan BKPJM sebagai saudara kami dalam mempertahankan survival dan kelangsungan BKPJM sebagai persatuan kebajikan yang paling sesuai untuk anak-anak Johor, sekaligus memberi segala bentuk bantuan kepada BKPJM untuk terus bertapak di Perlembahan Nil ini.

Mohd Mawardi Bin Mohd Zain

Yang Dipertua BKAWM

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir

(BKAWM) Sesi 2011/2012

Sambutan Aidilfitri REIDHWAN'12 Meriah


KAHERAH, 21 Ogos 2012 - Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) meriah pada Syawal ketiga dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration (REIDHWAN’12). Sambutan ini diadakan khusus bagi semua anak-anak Wilayah Persekutuan meraikan lebaran di perantauan .

Persiapan dewan dan gotong-royong memasak juadah dimulakan seawal petang 20 Ogos. Hiasan serta persiapan teknikal dan audio telah diselia oleh Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN’12 . Manakala gotong-royong memasak pula telah diketuai oleh Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE). Ahli Jawatankuasa Tadbir, AJKT Hal Ehwal Wanita Islam, komuniti pelaksana lain dan sebahagian ahli turut sama membantu unit-unit yang terlibat.

Sambutan Aidilfitri REIDHWAN’12 bemula sekitar jam 10.00 pagi dengan aktiviti dalam dewan. Ikhwah telah ditempatkan di Dewan Sri Putra manakala akhawat pula ditempatkan di Perpustakaan Darul Madani. Pelbagai pertandingan menarik telah dijalankan antaranya berbalas pantun, lukisan kreatif dan regu. Unit Pengisian Ibadah dan Thaqafah (U-GIFT) yang bertanggungjawab menjalankan pertandingan telah dipuji oleh ahli yang hadir atas kreativiti dan pemilihan pertandingan yang menarik.

Selepas solat Zohor berjemaah, Sambutan Aidilfitri REIDHWAN’12 diteruskan dengan rumah terbuka. Antara menu menarik yang dihidangkan ialah nasi impit, kuah kacang, rendang ayam dan lontong. Anak-anak Wilayah Persekutuan dari pelbagai cawangan hadir untuk bersama memeriahkan rumah terbuka tersebut. Turut hadir Presiden, Badan Pengurus dan AJKT HEWI Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Yang Dipertua serta raisah taakhi PMRAM Cawangan Wilayah Persekutuan.

Takbir Bergema Di ARWP

KAHERAH, 18 Ogos 2012 - Asrama Rumah Wilayah Persekutuan bergema dengan laungan dan bacaan takbir oleh anak-anak Wilayah Persekutuan bagi meraikan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal 1433 Hijrah bersamaan 19 Ogos 2012. Malam Gema Takbir kali ini adalah di bawah anjuran program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN’12)

Persiapan Malam Gema Takbir dan gotong-royong sempena Aidilfitri telah diselia oleh Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN’12 dengan kerjasama Unit Perumahan dan Rehlah BKAWM. Gotong-royong bermula seawal jam 4.00 petang dan selesai sekitar jam 6.30 petang. Seterusnya ahli dijamu dengan iftar jamaie yang ditaja oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM.

Selepas solat Isyak berjemaah, Malam Gema Takbir dimulakan dengan bacaan takbir oleh semua penghuni ARWP. Selesai bertakbir, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz dan pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Promosi dan Tugas Khas (U-TAG) REIDHWAN’12 sepanjang Ramadhan. Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus ARWP, Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff.

Pengisian Thaqafah Mengakhiri Ramadhan 1433 Hijrah

KAHERAH, 16 Ogos 2012 - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2011/2012 di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN’12) telah menganjurkan diskusi kitab bagi memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadhan yang lalu.

Berbeza dengan minggu-minggu sebelumnya, buku yang didiskusikan kali ini adalah dalam bahasa Inggeris bertajuk Islam and Love. Buku tersebut telah didiskusikan oleh jemputan khas, saudara Muhammad Yazid bin Hanzir yang merupakan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM).

Majlis telah bermula sekitar jam 10.00 pagi. Dengan kefasihan berbahasa Inggeris, saudara Muhammad Yazid yang juga merupakan mahasiswa tahun 4 jurusan Perubatan Universiti Al-Azhar berjaya menarik perhatian mahasiswa yang hadir dengan huraian yang menarik berserta tayangan yang disediakan oleh beliau.

Pengajian Kitab Silsilah Hadis


Bagi memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadhan kali ini, BKAWM sesi 2011/2012 di bawah program Ramadhan & Eidul Fitri Celebration (REIDHWAN'12) menganjurkan pengajian kitab bertajuk Silsilah Hadis-hadis Terpilih 2 yang akan disampaikan oleh saudara Hairul Nizam bin Mat Husain.

Iftar Mahabbah Gabungan Dua Generasi


KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2012 – Majlis Iftar Mahabbah (berbuka puasa) telah dianjurkan di bawah program Bakti Siswa Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) Sesi 2011/2012. Majlis tersebut telah diadakan di kediaman saudara Ibrahim bin Nik Yahya yang terletak di Taman Bukit Indah, Ampang.

Majlis ini dianjurkan bertujuan untuk mengumpulkan dan mengeratkan hubungan sesama ahli BKAWM yang pulang bercuti di Malaysia dan generasi pendokong BKAWM yang terdahulu yang telah menamatkan pengajian.

Majlis dimulakan dengan jamuan berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan seterusnya perbincangan berkaitan perancangan program Bakti Siswa yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Ceramah Nuzul al-Quran Dan Iftar Jamaie Gabungan REIDHWAN'12 Dan IHRAM


KAHERAH, 5 Ogos 2012 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2011/2012 (BKAWM) di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN`12) dengan kerjasama Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) telah menganjurkan Ceramah Nuzul al-Quran dan Iftar Jamaie di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

Majlis tersebut telah dirancang lebih awal oleh komuniti pelaksana REIDHWAN`12 dan Ihya Ramadhan (IHRAM) PERUBATAN. Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN`12 dengan bantuan ajk dari IHRAM mempersiapkan kelengkapan dewan bermula jam 2.00 petang. Pada masa yang sama Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE), juga dengan bantuan dari ajk IHRAM memulakan kerja-kerja memasak untuk jamuan Iftar Jamaie.

Diskusi Kitab Membentuk Sahsiah


KAHERAH, 2 Ogos 2012 - REIDHWAN`12 anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2011/2012 meneruskan pengisian berbentuk thaqafah dengan mengadakan diskusi kitab Takwin Syakhsiah Islamiah. Penganjuran diskusi kitab ini selari dengan objektif pertama REIDHWAN`12 iaitu ‘Menghidupkan Ramadhan dengan ibadah dan thaqafah’.

Majlis diskusi kitab bermula sekitar jam 5.00 petang, dibentangkan oleh pendiskusi yang dijemput khas iaitu saudara Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin. Beliau merupakan mahasiswa tahun 4 Jurusan Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Beliau memegang jawatan sebagai Badan Pendidikan dan Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012 dan juga merupakan Badan Pengurus angkat bagi PMRAM Cawangan Wilayah Persekutuan.

38 Pelajar Menerima Tajaan MAIWP

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2012 - Seramai 38 orang pelajar cemerlang SPM dan STPM menerima biasiswa MAIWP bagi melanjutkan pengajian di Mesir. Jumlah keseluruhan biasiswa tersebut bernilai RM 9.04 juta.

30 orang daripada 38 pelajar tersebut akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi manakala 8 orang lagi akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam.


Jumlah biasiswa yang diberikan adalah :

a) Pengajian Islam : RM17,000/ orang x 8 orang x 4 tahun = RM 544,000
b) Perubatan/ Pergigian/ Farmasi : RM47,200/ orang x 30 orang x 6 tahun = RM8,496,000

Bakti Siswa : Jemputan Ke Iftar Mahabbah

Kepada semua ahli BKAWM yang berada di Malaysia, anda dijemput hadir ke Iftar Mahabbah seliaan Program Bakti Siswa BKAWM 2012, anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir Sesi 2011/2012 dengan kerjasama Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Wilayah Persekutuan.


Tabung Kebajikan - Ramadhan Bulan Kebajikan

Kaherah,28 Julai 2012 : Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan dipenuhi dengan ganjaran pahala, Lajnah Kebajikan mengambil peluang untuk menghulurkan sumbangan kepada ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang berada di Kaherah.

Tahun ini merupakan tahun kedua Lajnah Kebajikan menyampaikan sumbangan Ramadhan untuk menjaga kebajikan ahli yang kurang kemampuan. Antara sumbangan yang diberikan ialah makanan asasi utama seperti minyak,gula dan tepung. Bilangan rumah yang menerima sumbangan ialah 20 buah rumah,10 sumbangan diedarkan ke semua rumah siswa dan siswi di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan Mesir(ARWP), 4 sumbangan diedarkan ke rumah sewa siswa, 2 sumbangan lagi diedarkan ke rumah sewa siswi, dan 4 sumbangan yang berbaki diedarkan kepada pasangan-pasangan mutazawwijin BKAWM.

Blogroll

Loading...