MEKAR '12 - Mengerat Kesatuan, Menyubur Pengorbanan

Kaherah, 27 OKTOBER –  Setiap tahun, sambutan Hari Raya Aidil Adha disambut dengan penuh meriah  di segenap pelusuk negara Islam. Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) juga tidak terkecuali untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini.

Majlis Eidul Adha dan Sambutan Ulang Tahun BKAWM (MEKAR ’12) telah disambut dengan meriah selama 3 hari di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Pelbagai persiapan telah dibuat bagi menjayakan program ini antaranya termasuklah program gotong-royong khas sempena MEKAR ’12 yang menerima penglibatan daripada kesemua penghuni ARWP.
Selari dangan temanya pada tahun ini, iaitu ‘Taat dalam Pengorbanan Memacu Keunggulan Sahsiah’, MEKAR’12 mempunyai objektif utama untuk memacu keunggulan sahsiah melalui pengorbanan yang perlu dilakukan dalam kehidupan di samping merapatkan ukhuwah antara ahli BKAWM sebagai sebuah institusi keluarga bagi menggantikan keluarga yang jauh di Malaysia. Selain itu, tidak lupa juga untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S.
                Program yang bermula pada 25 Oktober 2012 telah dirasmikan oleh Pengurus ARWP iaitu Encik Ahmad Yahya Bin Mohd Haniff. Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Saudara Zuhari Zainal Abidin, Badan Pengurus angkat BKAWM serta Saudari Intan Soraya Hashim, HEWI angkat BKAWM.

                Sebanyak seekor unta, dua ekor khoruf dan 12 ekor kambing telah dikorbankan pada tahun ini. Sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak termasuklah penghuni ARWP dan juga ahli BKAWM di peringkat cawangan.
 Antara beberapa slot yang dijalankan sepanjang MEKAR ’12 berlangsung termasuklah majlis suai kenal bersama pegawai JAKIM, Iftar Mahabbah, slot  Gema Takbir serta sesi penyembelihan dan melapah beramai-ramai. Turut serta ucapan Perutusan Rasmi Eidul Adha 1433H oleh Ustaz Abdul Aziz Bin Ali, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). BKAWM juga telah menganjurkan talk show bertajuk ‘Pengorbanan dengan Amal Islami’  bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa-mahasiswi islam tentang kepentingan pengorbanan dalam kehidupan.
Apa  yang menariknya pada tahun ini ialah Slot Bait Muslim dan  majlis walimatul urus yang turut dilangsungkan di dalam MEKAR ’12. Seramai tiga pasang pengantin diraikan serentak dalam majlis yang sama. Majlis berlangsung dengan penuh sederhana tetapi amat meriah. Kehadiran ahli BKAWM tidak diduga dengan jumlahnya yang ramai. Persembahan nasyid daripada Kumpulan Paradise turut menceriakan  suasana. Majlis tamat dengan sesi fotografi dan jamuan.

                  

DG Gabungan - Medan Pemerkasaan Ukhuwah Mahasiswi

Kaherah, 13 Oktober 2012 – Unit Fasilitator di bawah Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir  (BKAWM) sesi 2012/2013  telah menganjurkan Discussion Group Gabungan khusus buat mahasiswi di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, pada 12 Oktober 2012.

Discussion Group atau singkatannya DG merupakan nama khas bagi program usrah yang dijalankan secara mingguan pada setiap Jumaat. DG merupakan antara medium terpenting dalam membentuk kefahaman dalam kalangan ahli BKAWM juga sebagai saluran merapatkan ukhuwah.

Pembukaan  usrah bagi  sesi ini, Unit Fasilitator merancang untuk mengadakan DG Gabungan bagi mengeratkan lagi ukhuwah di antara mahasiswi lama dan baru. Selain itu, pencerahan mengenai perjalanan Discussion Group yang akan dijalankan pada setiap hari Jumaat turut diberi penekanan.

Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini telah dipengerusikan oleh saudari Afifah bt Ramli, Timbalan Unit Fasilitator. Antara aktiviti menarik yang telah diisi sepanjang pagi tadi, bermula dengan Slot “Riadhah” yang dikendalikan oleh saudari Siti Hawa bt Ahmad. Seterusnya Slot “Pecahkan Tembok Anda” pula dibawa oleh saudari Mardhiah bt Abdullah Rahim, dan  Slot “Mari Mendengar” disampaikan oleh saudari Ayeshah bt Awwalul Azmi, Timbalan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (UKKS).

Hasil dari pengisian – pengisian  yang telah dijalankan, respon dari ahli amat memberangsangkan dan malah mereka  mampu melontarkan pandangan tentang kepentingan berusrah. Maka jelaslah di sini bahawa tunjang kekuatan tarbiyah bermula dengan usrah. Seperti mana yang kita ketahui, Assyahid Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan tiga rukun usrah  yang perlu dijaga  iaitu Ta’aruf, Tafahhum, dan Takaful.

Majlis berakhir dengan bacaan doa Rabithah serta jamuan ringan.


'BKAWM Keluarga Kita'
'Keunggulan Sahsiah Wasilah Keilmuan'


 

HTU '12 - Menaut Ukhuwah, Membina Kebersamaan

Kaherah, 5 Oktober 2012 - Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) telah mengadakan program Hari Tautan Ukhuwah (HTU '12) bermula 1 hingga 3 Oktober 2012 yang bertujuan membina persediaan buat para peserta yang merupakan pelajar - pelajar baru yang tiba di Mesir 29 September lalu.

Pada sesi kali ini, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir telah menerima kedatangan 24 orang pelajar baru yang terdiri daripada 6 orang pelajar Pengajian Islam dan 18 orang pelajar Perubatan.
Program telah berlangsung dengan lancar dan diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

Pelbagai slot menarik telah dijalankan bertujuan memberi persediaan awal kepada mereka dalam memasuki alam mahasiswa di Mesir. Antara yang menarik ialah slot berbentuk pengisian seperti Slot Teknik Muamalah dengan Arab Mesir, Slot Talkshow Alam Mahasiswa, Slot Mesir: Antara Permata dan Kaca serta Slot Forum Motivasi dan Kecemerlangan.

Selain itu, mereka turut diberi pendedahan tentang universiti dan sistem pengkuliahan masing-masing melalui Slot Senat Fakulti. Slot Penerangan Discussion Group pula bertujuan memberi kefahaman akan keperluan dan kepentingan berusrah.
Bukan itu sahaja, para peserta juga mendapat pengisian berbentuk praktikal melalui slot Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) yang dikendalikan oleh para fasilitator.
Pada hari ketiga pula, para peserta telah dibawa melawat sekitar Kaherah bersama fasilitator bagi mengenali Mesir dengan lebih dekat. Antara tempat menarik yang dilawati termasuklah Universiti al-Azhar, Masjid al-Azhar, Makam Saidina Hussain dan Makam Imam Soleh Ja’fari.
Pengarah USMB, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Muhd Razman berkata HTU merupakan medium terbaik bagi pelajar baru menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya Mesir.

“Diharapkan para peserta mendapat input yang berguna sepanjang program berlangsung serta mempraktikkan perkara yang dipelajari dalam kehidupan sebagai mahasiswa Islam di Mesir,” ujar beliau lagi.
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru dan berharap mereka dapat menggunakan peluang yang ada untuk mengutip segala ilmu yang ada di sini dan seterusnya memberi khidmat bakti di Malaysia kelak.

'BKAWM Keluarga Kita'
'Keunggulan Sahsiah Wasilah Keilmuan'

Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai MAIWP Meriah

Kaherah, 1 Oktober 2012 - Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah diadakan bersempena dengan kedatangan dua orang pegawai  MAIWP iaitu Puan Wan Maizatun Wan Hassan dan Encik Mohd Saifuddin Md Tahir. Kedatangan kedua-dua mereka bertujuan mengiringi 24 orang pelajar tajaan MAIWP ke Mesir yang terdiri daripada pelajar Perubatan dan Pengajian Islam.
Majlis telah diadakan  di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) bermula pada jam 8.30 malam. Majlis berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran pelajar tajaan MAIWP dari seluruh Mesir.
Majlis bermula dengan ucapan Yang Dipertua, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2012/2013, saudara Muhd Bazli bin Zakaria yang mengalu-alukan kedatangan mahasiswa baru tajaan penaung rasmi BKAWM itu. Seterusnya ucapan turut disampaikan oleh Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff selaku pengurus Asrama Rumah Wilayah Persekutuan.
Majlis diteruskan dengan ucapan yang disampaikan oleh wakil pegawai MAIWP iaitu Puan Wan Maizatun binti Wan Hassan, Pegawai Kanan Hal Ehwal Akademik Baitulmal. Beliau turut menyampaikan amanat dan pesanan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin supaya seluruh pelajar Wilayah Persekutuan menjaga nama baik ibu bapa, penaja dan negara.
Selanjutnya, majlis diteruskan lagi dengan sesi soal jawab antara pelajar dan wakil pegawai MAIWP. Sesi berlangsung dengan begitu interaktif dengan keterlibatan aktif anak – anak Wilayah Persekutuan sepanjang sesi berlangsung.  

Majlis tamat pada jam 11.00 malam, disusuli dengan sesi fotografi anak – anak Wilayah Persekutuan bersama pegawai MAIWP.
'BKAWM Keluarga Kita'
'KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN'

Blogroll

Loading...