Rumah Ahli Dirompak

TANTA, 27 November – Salah seorang ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), Saudari Amirah Faqihah binti Che Abidin, pelajar bidang Perubatan, Tahun Satu di Universiti Tanta telah diuji dengan musibah. Rumah sewa yang beliau duduki bersama empat orang sahabat yang lain telah dipecah masuk dan dirompak baru – baru ini.

Kejadian berlaku semasa ahli rumah tersebut ke kuliah yang terletak tidak jauh dari tempat kediaman mereka. Antara barangan yang telah dirompak termasuklah beberapa buah komputer riba, telefon bimbit serta sejumlah wang.

Wakil dari Unit Kebajikan BKAWM telah melawat saudari Amirah Faqihah di Tanta serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan yang menimpa mereka.

Pepatah ada menyebut, malang tidak berbau. Namun, segala ketentuan meskipun musibah telah ditetapkan dan haruslah kita terima dengan sabar. Semoga saudari Amirah Faqihah tabah menghadapi dugaan yang menimpa beliau.

BERITA LIGA MAHABBAH (DG AMALI)


Liga Mahabbah

Kaherah 9 November - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan sebuah perlawanan futsal yang bertempat di Nadi Syabab, Hayyu Sadis. Aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan melahirkan generasi pelapis yang mahir dalam bidang sukan ini telah dihadiri oleh ahli-ahli BKAWM, pelajar-pelajar dari Darul Rahim serta Badan Pengurus PMRAM, Saudara Muhammad Syazwan Bin Hamzah.




Pihak penganjur telah membuat persiapan 2 minggu sebelum perlawanan bagi mencari pemain-pemain, menyiapkan jadual perlawanan, menempah padang dan menyiapkan barang-barang perlawanan. Hasil pencarian pihak penganjur, sebanyak 6 buah kumpulan telah mendaftar untuk berentap. Mereka adalah X miro FC, Mujahidin FC, Algigi United, Bagaimana?, Team Cam Bagus FC dan Bersih FC.


Perlawanan yang diadakan berbentuk liga, bermula pada jam 8.10 malam. Semua kumpulan menunjukkan semangat yang tinggi untuk menjuarai perlawanan futsal ini, dan kumpulan X miro FC berjaya menjuarainya.



Perlawanan futsal ini mendapat respon yang baik dalam kalangan peserta, dan mereka berharap agar aktiviti begini dapat diadakan dengan lebih kerap. Ternyata objektif untuk merapatkan ukhuwah dan melahirkan generasi yang mahir dalam bidang sukan tercapai. Perlawanan berakhir pada jam 12.00 malam. Sebelum berangkat pulang, semua peserta sempat bergambar.  

'BKAWM Keluarga Kita'
'KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN'   

Majlis Perpisahan Mutiara BKAWM

KAHERAH, 13 November - Sebuah majlis perpisahan telah dianjurkan oleh Unit Kebajikan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) bagi meraikan kepulangan mutiara - mutiara yang telah banyak berjasa selama ini. Majlis dijalankan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

 Antara mutiara yang bakal pulang dan meneruskan perjuangan di Malaysia ialah mantan Yang Dipertua BKAWM sesi 2011/2012, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain, mantan Naib Pengerusi HEWI 1 BKAWM sesi 2011/2012, saudari Nurul Hanna binti Mohammad Bokhari, serta mantan Naib Pengerusi HEWI 2 juga sesi lepas, saudari Siti Norhalimah binti Saleh. Seterusnya saudari Hazirah binti Yusof  serta saudari Khairul Bariah binti Azhar ,aktivis-aktivis yang cukup banyak membantu BKAWM dari dahulu sehingga kini.
                Majlis bermula sejurus selepas menunaikan solat maghrib dengan solat hajat dan bacaan tahlil yang diketuai oleh Yang Dipertua BKAWM, saudara Muhd Bazli bin Zakaria. Selesai solat Isya’, majlis diteruskan dengan penyampaian kalam taujihad daripada mutiara - mutiara BKAWM.
Discipline is the key of success”, antara pesanan keramat saudari Nurul Hanna binti Mohammad Bokhari. Selain itu, mereka turut berpesan kepada mahasiswa mahasiswi   yang masih berjuang di Mesir  lagi supaya meneruskan perjuangan dan mengutip ilmu dan pengalaman seterusnya dapat pulang ke Malaysia sebagai modal insan kelas pertama untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Kepulangan mutiara – mutiara ini tentunya merupakan sebuah kehilangan yang besar buat BKAWM. Semoga kita terus kekal dalam medan dakwah tidak kira di mana kita diletakkan seterusnya mendoakan kebersamaan dan kesatuan BKAWM terus utuh dan kukuh.

'BKAWM Keluarga Kita'
'KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN'

Jaulah Abu Ala' - Persediaan Musim Sejuk


KAHERAH, 7 November – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) di bawah Unit Perumahan dan Rehlah telah mengadakan lawatan ke Abu ‘Ala, gedung pakaian musim sejuk yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Lawatan telah dijalankan pada 7 November yang lalu. Lawatan ini bertujuan sebagai persediaan buat para ahli, terutama pelajar-pelajar baru untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sebuah bas mini (coaster) telah ditempah yang memuatkan 22 orang siswi, termasuk empat orang pengiring siswi serta enam orang siswa termasuk dua pengiring siswa. Rombongan ini telah bertolak jam 7.00 malam dan tiba di Abu ‘Ala pada jam 8.00 malam setelah melalui lalu - lintas yang agak sesak.

Para peserta rombongan sangat teruja sepanjang lawatan berlangsung. Pelbagai perkara baru telah mereka pelajari terutama cara berkomunikasi dalam berjual – beli dengan masyarakat Arab Mesir. Ikatan persaudaraan sesama ahli juga semakin erat.

“Lawatan ini sememangnya aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Unit Perumahan dan Rehlah semata – mata bagi memastikan kebajikan ahli – ahli BKAWM sentiasa terjaga,” ujar Saudara Ahmad Faris, Ketua Unit Perumahan dan Rehlah pada sesi ini.
Rombongan tiba di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) pada jam 10.30 malam.

‘BKAWM Keluarga Kita’
‘KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN’

Blogroll

Loading...