Panitia - Agenda Dakwah Diteruskan


KAHERAH, 24 Februari – Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan Panitia yang telah dijalankan pada 20 Februari yang lalu. Panitia telah berjalan bermula jam 8.00 malam di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP), Hayyu Sabi’.

Panitia pada kali ini menampilkan Ustaz Muhammad Sufi bin Mohd Yusof, Ketua Fasilitator, PMRAM Cawangan Selangor.
Tajuk yang telah diberi penekanan dalam Panitia kali ini ialah dalil perjuangan. Dalam pengisiannya, beliau turut menerangkan tujuh fasa dalam amal dakwah secara terperinci iaitu individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, pembebasan tanah air, kerajaan Islam seterusnya pemerintahan Islam.
Semoga dengan pengisian seperti ini akan memberi kesan yang positif dalam gerak kerja penyebaran dakwah Islam amnya.
Panitia tamat pada jam 9.00 malam.

Diskusi Kitab - al-Islam Syariah az-Zaman wal Makan

KAHERAH, 24 Feb-Sebuah slot Diskusi Kitab bertajuk al-Islam Syariah az-Zaman wal Makan telah berlangsung dengan jayanya anjuran Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan(LDPI), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir(BKAWM). Slot diskusi ini telah dijalankan semalam di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabi’ bermula jam 8.00 malam.


Pengisi yang telah dijemput khas, Ustaz Zuhaili bin Zanal Ali merupakan pemangku Pengerusi Felo Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL).
Pelbagai isu telah dikupas dengan begitu menarik sepanjang pengisian diskusi tersebut. Antara perkara yang diberi penekanan ialah peranan seorang muslim untuk cakna dengan semua keadaan di sekelilingnya, memahami hakikat sesuatu perkara dengan sempurna dan mempunyai keinginan untuk melaksanakan manhaj Rabbani yang bertepatan dengan kehendak syara’.

Selain itu, pengisi juga menegaskan tidak sewajarnya seorang Muslim menolak syariah dan undang-undang Islam kerana telah terbukti begitu banyak perkara yang diambil oleh masyarakat bukan Islam daripada syariah Islam sendiri seperti sistem syura, sistem talak, riba dan sebagainya.

“Kupasan pelbagai isu yang menarik sememangnya membuka minda terutamanya kita sebagai seorang mahasiswa yang merupakan agen perubah masyarakat,” ujar saudara Nik Muhd Azahari Nik Salleh, Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan.
Diskusi ditamatkan pada jam 10.00 malam.

"BKAWM Keluarga Kita"
"KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"

Mutiara BKAWM: Jasamu Dikenang


KAHERAH, 16 SEP 2012 - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) menyaksikan kepulangan seorang lagi permata yang telah banyak menyumbang bakti selama penubuhan BKAWM. Beliau yang dimaksudkan ialah saudari Nawwar binti Hashim, graduan Ijazah Syariah Islamiyyah Universiti Al-Azhar cawangan Kaherah.
Saudari Nawwar binti Hashim merupakan antara ikon yang tidak asing lagi dalam rentetan sejarah BKAWM yang dahulunya pernah dikenali sebagai Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (BKAKLM). Pelbagai pengalaman pahit manis telah beliau tempuhi bersama sahabat – sahabat seperjuangan yang lain. Malah beliau juga antara tokoh yang telah berjuang untuk mendapatkan Asrama Rumah Wilayah Persekutuan.

Saudari Nawwar binti Hashim telah memberikan sumbangan yang terlalu besar kepada BKAWM. Antara jawatan yang pernah beliau sandang dalam organisasi BKAWM ialah Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Sambutan pada sesi 2003/2004, serta Lajnah Dakwah dan Tarbiah pada sesi berikutnya. Seterusnya, beliau juga telah diamanahkan taklifan sebagai Naib Pengerusi HEWI pada sesi 2005/2006. Semasa sesi dua tahun berikutnya, Saudari Nawwar telah memegang jawatan sebagai Penasihat BKAWM.
Barisan kepimpinan serta seluruh ahli BKAWM mengucapkan selamat pulang ke tanah air tercinta kepada mutiara BKAWM. Harapan dari seluruh ahli BKAWM untuk melihat anda terus berjuang dalam menyampaikan risalah Allah dan Rasulullah SAW di Malaysia pula.

Menuju ke Gerbang al-Quds


 ARWP, 14 Februari – “For Islam Sacrifice Together (FIST)”, merupakan kempen yang telah dilancarkan oleh Unit Penerangan dan Penerbitan bagi meningkatkan kesedaran ahli  akan isu semasa. Bersempena Serambi Gabungan pada minggu ini, sebuah slot isu semasa di bawah kempen FIST telah dianjurkan oleh Unit Penerangan dan Penerbitan, dengan kerjasama Unit Perumahan dan Rehlah pada 14 Februari lalu. Slot ini telah bermula jam 8.00 malam di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan.
Pengisi yang ditampilkan cukup mantap iaitu Ustaz Abd Muin bin Abd Manan, Pengarah Mini Pavilion - From Palestin with Love (MAP). Beliau telah membawakan tajuk ‘Menuju ke Gerbang al-Quds’ yang berkisar tentang kebangkitan umat Islam yang bakal membawa kita ke arah kemenangan Islam itu sendiri.
Antara isu Palestin yang ditekankan ialah permintaan rakyat Palestin kepada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa agar bukan sekadar menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan semata-mata. Tetapi, mereka menginginkan kebebasan untuk hidup di atas tanah tumpah darah mereka sendiri, tanah Palestin.
Antara resolusi yang diletakkan oleh Ustaz Abd Muin berkenaan langkah yang perlu kita ambil untuk menuju ke gerbang al-Quds ialah mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Turut diadakan pada malam itu ialah pameran berkenaan isu Palestin daripada pihak MAP. Antara wakil MAP yang  hadir ialah Timbalan Pengarah MAP, Ustazah Aminatul Saheera binti Che An serta setiausaha MAP, Dr Siti Hawa binti Ahmad.
Sebelum mengakhiri slot, sesi soal jawab telah dibuka, bagi memberi ruang kepada para mahasiswa melontarkan pendapat dan bertanyakan soalan kepada pengisi.
Serambi Gabungan ditamatkan dengan penyampaian cenderamata kepada pengisi, seterusnya sesi jamuan ringan.
Melalui penganjuran aktiviti seperti ini, diharapkan kesedaran ahli tentang isu ummah yang berlaku kini dapat ditingkatkan. Sebagai seorang mahasiswa, kita tidak seharusnya menjadi ‘seperti katak di bawah tempurung’ yang hanya berbicara dan membincangkan isu di sekitar kita sahaja. Mahasiswa sewajarnya mempunyai minda yang terbuka, memahami isu sedalam-dalamnya serta mampu memberi pandangan untuk menyelesaikannya.

“BKAWM Keluarga Kita”
‘KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”

Kalam Pimpinan: Sudahkah Kita Bersedia?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahi walhamdulillah
Segala puji ke atas zat yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih yang di atas limpahan kurnia-Nya, hamba-hamba-Nya masih lagi dapat meneruskan hayat di alam yang fana ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan-Nya.
 
     Selawat dan salam ke atas junjungan besar, baginda Nabi Muhammad bin Abdullah SAW, rasul utusan Allah SWT ke dunia bagi meratakan rahmat-Nya ke seluruh alam. Tidak dilupakan ahli bait serta para sahabat baginda.
Sedar tak sedar kita telah  menjengah ke fasa kedua setelah hampir dua minggu kita melalui cuti pertengahan penggal. Dalam mengisi masa cuti ini, pelbagai aktiviti telah disusun rapi. Ada yang bercuti, tidak kurang juga yang sibuk bekerja dalam menjalankan tugas masing-masing. Kini, adakah kita sudah bersedia untuk kembali ke medan pengkuliahan? Tepuk dada tanya iman. Antara persediaan yang perlu kita persiapkan adalah persediaan mental dan fizikal yang rapi.
Antara persediaan mental yang perlu dititik beratkan ialah memperbaharui niat dalam mencari tujuan sebenar kita menuntut ilmu. Adakah menuntut ilmu kerana hendak mengejar pangkat duniawi atau ingin meraih pujian dari masyarakat sekeliling atau sekadar suka-suka. Sama-sama kita fikir sejenak di dalam lubuk hati kita. Bak kata pepatah, tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Kenapa pentingnya niat? Hal ini kerana dengan niatlah mencerminkan segala tingkah laku harian kita. Niat merupakan tunjang utama dalam kehidupan kita seperti mana yang telah diriwayatkan dalam hadis Imam Nawawi, mafhumnya,

Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya.
Di samping itu juga, selaku seorang mahasiswa kita perlulah mempunyai usaha untuk mencapai matlamat dengan membuat perancangan yang bersistematik. Antara kaedah yang efektif adalah membahagikan masa dengan melakar jadual di antara waktu ulangkaji dan waktu peribadi. Dengan adanya jadual ini akan melicinkan pengurusan harian kita agar tidak berlaku pertindanan.
Selain itu, antara perkara lain yang tidak boleh dipandang enteng ialah penyucian hati dan jiwa. Raja dalam tubuh badan kita adalah hati, sekiranya hati penuh dengan noda hitam, maka akan terjejaslah aktiviti rutin harian kita. Andai hati dan jiwa kita tenang maka akan menerbitkan rasa gembira untuk hadir ke kuliah dan secara automatiknya memudahkan kita untuk menerima mutiara-mutiara ilmu.
Setelah panjang lebar berkisar tentang persediaan mental, jom kita beralih ke persediaan secara fizikal sempena kembali ke kuliah. Pepatah ada mengatakan, akal yang sihat lahir daripada tubuh yang sihat. Mengapa? Hal ini kerana, jika tubuh kita sihat, pergerakan kita mampu menjadi lebih efektif tanpa halangan. Maka, ini akan membentuk jiwa dan diri seorang mahasiswa yang proaktif dalam menuntut ilmu.
Kita juga hendaklah mementingkan aspek pengurusan masa kerana masa itu tidak akan kembali andai ia terbuang dengan perkara-perkara yang sia-sia. Waktu itu ibarat emas maka hargailah ia walaupun sesaat kerana dengan sesaat yang terbuang akan mendatangkan kemudaratan. Allah telah memberi kita peluang menuntut ilmu jauh di bumi perantauan maka  gunakanlah waktu yang ada dengan melunaskan amanah kita sebagai mahasiswa dengan menghadiri kuliah sama ada di universiti mahupun kelas – kelas lain di luar.
Selain itu, setiap mahasiswa perlulah meletakkan target yang tinggi dalam menuntut ilmu agar kita senantiasa berusaha, menggembleng tenaga untuk merealisasikan impian kita walaupun di saat kita diundang rasa putus asa. Bukan mudah untuk mensasarkan target yang tinggi tetapi setidak-tidaknya kita akan mencuba sedaya mungkin untuk mencapai yang terbaik. Pada akhirnya, kejayaan itu akan menjadi milik kita jika kita  berusaha, berdoa serta meletakkan pergantungan kepada Allah. Tidakkah kita mahu mengecapi kejayaan yang diredhaiNya? Sudah pasti ya kerana hanya dengan redaNya, ilmu kita akan diberkati dan dapat dikongsi bersama. Bak kata pepatah, ilmu tanpa amal adalah ibarat pokok yang tidak berbuah.
Akhir kalam dari saya, marilah kita bersama-sama melangsaikan tanggungjawab kita dengan menghadirkan diri ke kuliah untuk meningkatkan pengetahuan demi menjamin masa depan yang cemerlang. Lakukanlah sedikit pengorbanan di dunia ini sementara waktu masih ada, kerana Allah telah menjanjikan ganjaran syurga buat penuntut – penuntut ilmu yang bermujahadah di jalan Allah. Saya tinggalkan kalian dengan satu petikan kalam :
“AKAL ITU MENTERI YANG MENASIHATI,
HATI ITU RAJA YANG MENENTUKAN,
MAKA TAJAMKAN AKALMU, PELIHARA HATIMU,
KECEMERLANGAN PASTI AKAN MENYUSUL.”
*BERJAYA BERSAMA*

Nurul Syahidah binti Hamzah
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2012/2013

Blogroll

Loading...