Kalam Pimpinan: AMANAH BERSAMA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Segala puji ke atas zat Yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih yang di atas limpahan kurnia-Nya, hamba-hamba-Nya masih lagi dapat meneruskan hayat di alam yang fana ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam yang tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan-Nya.

                Selawat dan salam ke atas junjungan besar, baginda Nabi Muhammad bin Abdullah SAW, Rasul utusan Allah S.W.T ke dunia bagi meratakan rahmat-Nya ke seluruh alam. Tidak dilupakan ahli bait serta para sahabat baginda.

Definisi  yuran ialah wang yang dibayar pada waktu yang tertentu kepada sesebuah persatuan. Membayar yuran tahunan adalah sebahagian daripada tanggungjawab tahunan ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Yuran yang dibayar oleh ahli adalah salah satu sumber kewangan dan digunakan untuk pengurusan pentadbiran, aktiviti-aktiviti BKAWM dan perkara-perkara lain yang difikirkan perlu.  Kewajipan membayar yuran tahunan dan ketetapan-ketetapan berkaitan kewangan yang diputuskan disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan BKAWM di dalam Bahagian Kewangan Fasal 21 dan Fasal 22.

Amatlah penting bagi setiap ahli BKAWM untuk membayar yuran keahlian bagi memudahkan gerak kerja di peringkat badan kebajikan berjalan dengan lancar. 

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Imran, ayat 92 bermaksud :
“Tiada akan tercapai oleh kamu kebaikan itu sehingga kamu membelanjakan apa-apa yang kamu sayangi. Dan apa jua pun yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (untuk memberi balasan)”.

Ironinya, setiap ahli BKAWM wajar menyemak status keahlian mereka dengan menjadi ahli BKAWM supaya pembayaran yuran tahunan dan tanggungjawab ahli terlaksana. Pastikan anda menjadi pemegang saham kekuatan kewangan persatuan dan pastikan anda lulus ketika dipersoalkan di Padang Mahsyar kelak dalam bab tanggungjawab asasi tahunan terhadap jemaah perjuangan Islam ini.

Bersegeralah untuk berjumpa dengan Bendahari Agung Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) anda dan jelaskan yuran tahunan anda sebagai ahli BKAWM yang bertanggungjawab.


Wan Abdul Hakim bin Wan Ismail
Bendahari Agung
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2012/2013

RISALAH:SYEIKH AHMED YASSIN SYAHID DALAM SERANGAN HELIKOPTER ISRAEL لعنة الله عليه




SYEIKH AHMED YASSIN SYAHID DALAM SERANGAN HELIKOPTER ISRAEL  لعنة الله عليه
        
          Semasa kejadian, Syeikh Ahmed Yassin, ketua dan pengasas Hamas berada di masjid Akademi Islam yang dibinanya di Gaza, selepas solat Subuh (22 Mac 2004) tiba-tiba Israel menyerangnya dengan 3 peluru berpandu, salah satunya jatuh tepat ke atas beliau (As-Syaheed) sehingga beliau menemui syahadah bersama ramai lagi yang lain termasuk dua orang pembantu beliau yang menolak kerusi rodanya. Serpihan badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan.

Di tengah jalan antara rumah Syeikh Ahmed Yassin dan masjid Akademi Islam kira-kira beberapa ratus meter jaraknya, darah kelihatan di merata tempat dan cebisan-cebisan daging manusia melitupi dinding sebuah rumah dua tingkat di timur jalan. Pihak ambulans dan penduduk tempatan sama-sama mengutip dan mengumpulkan cebisan anggota tubuh manusia di jalanan dan bumbung beberapa buah rumah berhampiran.

Kerusi roda yang dinaiki beliau hancur lebur dan dipenuhi dengan darah. Saksi yang tinggal berhampiran masjid itu memberitahu : "Aku tercari-cari di mana Syeikh Ahmed Yassin selepas peluru berpandu pertama jatuh lalu aku terlihat beliau terduduk di atas tanah dan kerusinya hancur.Orang ramai tergesa-gesa ke kanan dan ke kiri. Kemudian, selepas itu jatuh 2 peluru berpandu yang lain."
Saksi yang lain berkata : "Tatkala peluru berpandu pertama dilepaskan ke arah Syeikh Ahmed Yassin, saya melihat beliau bersama 2 pembantunya, apabila peluru kedua jatuh, saya lihat Syeikh Ahmed Yassin bertukar menjadi cebisan-cebisan daging yang berterbangan di udara."

"Saya lihat 3 helikopter berlegar-legar di udara selepas ketiga-tiga peluru berpandu itu, saya bersama orang ramai segera untuk menolong Syeikh dan mangsa yang cedera, akan tetapi ia telah bertukar menjadi cebisan-cebisan daging. Saya
nampak mukanya, peluru berpandu mengena kepala beliau menyebabkan otaknya terhambur keluar ke atas tanah menyebabkan saya menangis.
Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin (kebanyakan mereka dalam keadaan menangis) keluar ke jalan-jalan raya bandar Gaza. Berdas-das tembakan dilepaskan ke udara.

Salah seorang jemaah berkata, Syeikh Ahmed Yassin sememangnya mendambakan mati syahid dan beliau benar-benar telah mencapainya. Beliau pernah berkata kepada saya, “Saya tidak takut mati syahid, bahkan saya sukakan mati syahid, ketika mereka inginkan daku, mereka boleh mendapatkanku di kerusi rodaku, saya tidak bersembunyi."

Ulama menyeru tindakan balas ke atas pembunuhan Syeikh Ahmed Yassin, serta menyeru pembesar-pembesar negara Arab dan Islam, rakyat dan kerajaannya supaya membantu perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi serangan Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin. Dr. Yusof Al-Qardhawi ketika dihubungi oleh Islam-Online berkata "Saya ucap takziah kepada saudara-saudaraku dalam Hamas dan di Palestin, saya juga ucap takziah kepada kaum muslimin dan juga kepada saya sendiri" dengan menekankan bahawa Syeikh Ahmed Yassin bukan sahaja lambang bagi perjuangan rakyat Palestin tetapi juga bagi orang-orang Islam seluruh tempat.

Syeikh Ahmed Yassin telah dibunuh oleh tangan-tangan yang zalim dan taghut ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjidnya selepas menunaikan solat Subuh. Beliau telah menemui Tuhannya dalam keadaan suci, bersolat, menyerah diri kepada Allah, redha dan diredhai Allah, tidak ada yang lebih afdal lagi daripada mayat ini akan tetapi 

"Mati syahid ini tidak akan berlaku sebagaimana yang dijangkakan Sharon dan konco-konconya, Israel tidak akan mencapai kestabilan dan keamanan".

Beliau menjelaskan bahawa "Pembunuhan Syeikh Ahmed Yassin dalam bentuk ini akan menjadi api dan laknat ke atas Israel, darahnya akan mengakhirkan hayat Israel yang sudah semakin hampir."
Dr. Yusof Al-Qardhawi menyeru seluruh umat Islam di segenap penjuru dunia supaya menyokong dan membantu perjuangan Palestin, sambil menegaskan bahawa pembunuhan Syeikh Ahmed Yassin menunjukkan bahawa apa yang dinamakan rundingan damai dan segala perbincangan itu adalah bohong semata-mata, tidak layak melayan thugah ini melainkan dengan kekuatan dan jihad.

Inilah dia zionisme, ia tidak berperikemanusiaan dan tidak berakhlak. Beliau juga meminta rakyat Palestin supaya berada dalam saf yang satu, untuk  menentang kebejatan zionisme yang didalangi oleh Amerika. Beliau menambah, “Rakyat Palestin dengan segala kemampuannya, wajib meninggalkan segala selisih faham dan sama-sama bangkit menuntut bela di atas kematian Syeikh Ahmad Yassin dan pembantu-pembantunya."

Syeikh Al-Azhar, Dr. Mohamed Syed Tantawi mengutuk pembunuhan yang dilakukan ke atas Syeikh Ahmed Yassin. Beliau menegaskan bahawa pemimpin Hamas itu adalah orang yang membenarkan yang haq dan menyalahkan yang batil, apabila dia mengatakan sesuatu, beliau berkata bagi tujuan mempertahankan agamanya dan tanah airnya.

Ditanya tentang peranan Al-Azhar terhadap apa yang menimpa rakyat Palestin oleh tangan penjajahan Israel, Tantawi berkata: "Peranan Al-Azhar adalah kutukan yang keras, dan menyeru umat Arab dan Islam supaya berada di saf yang satu bagi mempertahankan hak rakyat Palestin, dan juga mengajak dunia supaya memerangi Israel dan mengisytiharkan perang ke atasnya.
Sumber:http://mazuki5.tripod.com/syeikh_yassin.htm
Disediakan oleh :

Unit Biah Solehah,         
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan ,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2012/2013


BKAWM Cakna Kebajikan Ahli di Cawangan


Dumyat, 16 Mac - Unit Kebajikan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah mengunjungi seorang ahli BKAWM di Dumyat iaitu Saudara Saufi bin Basarah yang telah mengalami kecelakaan.

Saudara Saufi yang juga merupakan Perwakilan Mahasiswa (PERMAS) cawangan Dumyat telah mengalami patah ibu jari kaki semasa mewakili Wilayah Persekutuan dalam Dumyat Challenge League, anjuran Dewan Perwakilan Mahasiswa Dumyat baru-baru ini.

 Rombongan Unit Kebajikan ini diwakili oleh dua orang Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM iaitu Saudara Muhammad Ilman bin Abdul Razak dan Saudara Ahmad Faris bin Mazlan serta Saudara Muhammad Ali Hafiz bin Mohd Nazri sebagai Ketua Unit Kebajikan. Rombongan ini telah menyerahkan sejumlah wang sumbangan bagi meringankan bebanan Saudara Saufi.

Semoga beliau dikurniakan kesembuhan dan semakin bersemangat dalam menjalankan gerak kerja Islam.

“BKAWM Keluarga Kita”
“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”

TERMA DAN SYARAT-SYARAT FIST CONTEST

TERMA DAN SYARAT- SYARAT FIST CONTEST

TEMA : “PALESTIN FOR ALL”


PERTANDINGAN PUISI
1. Terbuka kepada semua ahli BKAWM.
2. Penyertaan mestilah mengikut tema yang ditetapkan.
3. Puisi yang dipertandingkan haruslah hasil karya dan ciptaan sendiri sahaja, yang belum pernah dibukukan atau diterbitkan oleh mana - mana penerbit.
4. Penggunaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab sahaja dibenarkan. ( Bagi penyertaan dalam Bahasa Arab, satu salinan terjemahan diperlukan)

PERTANDINGAN REKAAN POSTER / WALLPAPER
1. Pertandingan dibuka untuk semua ahli BKAWM.
2. Penyertaan mestilah mengikut tema yang ditetapkan.
3. Saiz poster terpulang kepada peserta.
4. Peserta bebas memilih elemen dan effek serta font yang bersesuaian dengan elemen yang dipersembahkan namun haruslah mampu dibaca dengan jelas.
5. Peserta dilarang sama sekali meniru hasil karya pihak lain.

"BKAWM Keluarga Kita"
"KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"

JALAN '13-Meribat Ukhuwah Pimpinan dan Ahli


Kaherah, 11 Mac 2013 - Jaulah AJKT dan AJK HEWI (JALAN '13) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah dijalankan pada 7 dan 9 Mac lalu. Jaulah ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan dan membina kemesraan antara barisan kepimpinan BKAWM dengan ahli-ahli di cawangan. Selain itu, JALAN '13 juga mempunyai objektif bagi memperkasa peranan Perwakilan Mahasiswa (PERMAS).

Rombongan JALAN '13 telah mengunjungi ahli di Tanta pada 7 Mac 2013. Majlis ramah mesra dijalankan pada jam 4.00 petang di Dewan Pelajar Tanta. Dalam majlis tersebut, barisan AJKT dan AJK HEWI telah memperkenalkan diri serta portfolio masing-masing. Seterusnya, Saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Muhammad Razman selaku pengerusi majlis telah membuka sesi soal dan jawab. Penerangan program mega terdekat iaitu Festival Mesra Wilayah 2013 (FAMILY '13) oleh pengarah program, Saudara Ahmad Bushra bin Mohd Salleh turut dijalankan.

Barisan kepimpinan BKAWM meneruskan perjalanan ke bumi Iskandariah pada malam itu dan tiba sedikit terlewat daripada perancangan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, ahli-ahli BKAWM cukup komited dan majlis ramah mesra berjalan seperti biasa di bangunan asrama Majlis Amanah Raya Berhad (MARA).

Berikutnya, JALAN '13 diteruskan pada 9 Mac 2013. Kali ini, bumi Zaqaziq menjadi destinasi kunjungan AJKT dan AJK HEWI BKAWM untuk beramah mesra bersama ahli. Majlis ramah mesra dijalankan di Malaysian Student's Hall pada jam 4.00 petang. Pada sebelah malam pula, rombongan JALAN '13 turut turun padang meluangkan masa menziarahi ahli di rumah-rumah sewa.

JALAN '13 berjalan dengan jayanya dan mencapai objektif yang telah disusun. Sambutan yang diterima daripada ahli-ahli di cawangan juga menggalakkan. Tidak lupa juga jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada PERMAS yang telah melicinkan lagi program JALAN '13.

Semoga hubungan erat yang terbina antara barisan kepimpinan dan ahli melalui JALAN '13 ini akan lebih utuh dan kukuh agar kebajikan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada seluruh ahli BKAWM termasuk di cawangan.




"BKAWM Keluarga Kita"
"KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"

Rehlah Tarbawi Capai Objektif


DUMYAT, 6 Mac – Rehlah Tarbawi Dumyat di bawah kelolaan Unit Perumahan dan Rehlah telah berjaya dianjurkan pada 16 Februari bagi siswa dan 2 Mac bagi siswi. Jaulah yang bertemakan 'Telusuri Duniawi Mengingati Ilahi' ini telah disertai oleh 30 peserta siswa dan 36 orang peserta di sebelah siswi. Manakala musyrif penerangan seramai tiga orang telah dijemput khas dari PMRAM Cawangan Dumyat.
Seawal jam 8.00 pagi, Ustaz Muhammad Saufi yang merupakan ketua musyrif penerangan telah memberi sedikit sebanyak maklumat tentang Dumyat dan kisah-kisah yang berkaitan dengannya. Antara tempat menarik  yang telah dilawati adalah Roksu Bar. Tempat ini dikenali dengan tempat bertemunya Sungai Nil dan Laut Mediterranean.
Seterusnya, rombongan Rehlah Tarbawi juga tidak melepaskan peluang bagi mengunjungi  tempat pembinaan kapal. Di sini dapat dilihat proses-proses pembuatan kapal dan bagaimana kapal dilepaskan ke laut. Sesuatu yang menjadi kenangan yang indah bagi peserta jaulah apabila para peserta dibenarkan untuk menaiki kapal yang baru siap dibina dan melihat di sekitarnya.
Rombongan Rehlah Tarbawi juga melawati makam Sayyid Abu Al-Ma’athi serta Masjid Amru Al-‘As yang mempunyai reka bentuk yang sama dengan Masjid Amru Al-‘As yang terletak di Kaherah.
Pengisian turut dijalankan di persisiran pantai Dumyat. Antaranya ialah slot isu semasa dan ‘tarbiyyah jasadiah’. Banyak input dan ilmu yang peserta dapat ambil dan amalkan sepanjang pengisian ini dijalankan.

Selaras dengan objektifnya, Rehlah Tarbawi Dumyat ini berjaya mengutuhkan lagi ukhuwah sesama ahli BKAWM selain para peserta dapat mengambil ibrah daripada keindahan dan kebesaran penciptaan Ilahi.

Rombongan bertolak pulang pada jam 8.30 malam dan tiba di ARWP pada 11.00 malam.

Serambi Gabungan - Pengisian Santai, Membuka Minda



KAHERAH, 1 Mac – Serambi Wilayah telah dijalankan secara gabungan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan semalam.
     Serambi Wilayah merupakan aktiviti di bawah Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang dijalankan bagi memberi pengisian secara mingguan terutamanya kepada ahli-ahli di Kaherah.

      Serambi Wilayah di bawah kelolaan Unit Perumahan dan Rehlah adalah aktiviti yang dinanti-nanti pada setiap minggu oleh ahli. Hal ini kerana, pelbagai aktiviti menarik berbentuk pengetahuan serta kesenian yang dibawakan di dalam Serambi Wilayah. Serambi Wilayah juga menjadi platform untuk ahli meningkatkan kemahiran dalam penyampaian serta membina keyakinan diri.

     Untuk minggu ini, Serambi Wilayah telah dijalankan secara gabungan (Serambi Gabungan). Serambi Gabungan bermula selepas solat Isyak dengan bacaan Surah al-Kahfi . Seterusnya, video qasidah memuji Nabi Muhammad SAW telah ditayangkan dan dialunkan secara beramai-ramai.

      Berikutnya, sebuah filem yang cukup memberi pengajaran serta meniupkan semangat telah ditayangkan, iaitu filem yang bertajuk Kutlar Vadisi Filistin (Valley of the Wolf). Filem yang berbahasa Turki ini mengisahkan tentang pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel.

      Diharapkan Serambi Wilayah bukanlah sekadar pengisian ilmu semata-mata, tetapi menjadi medan bagi membuka minda mahasiswa selain mengutuhkan ukhuwah sesama ahli BKAWM.

      Serambi ditamatkan pada jam 10.00 malam dengan jamuan ringan.

Blogroll

Loading...