Kunjungan HEWI BKAWM Serikan Kelahiran

9 Ogos, Kaherah - Barisan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (AJK HEWI), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah mengadakan kunjungan melawat keluarga Saudara Muhammad Haziq bin Hj Rosli, dan pasangan, Saudari Akmal Hafiza binti Mohamad Fuad yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata perempuan pada 27 Julai yang lalu.

Seramai tujuh orang AJK HEWI telah turut serta dalam kunjungan ini.

Saudari Nurhaziratul Naim Sidek, selaku Naib Pengerusi HEWI merangkap Unit Kebajikan telah menyerahkan sumbangan berbentuk kelengkapan bayi kepada pasangan ini.

Barisan kepimpinan dan seluruh ahli BKAWM mengucapkan tahniah kepada keluarga Saudara Muhammad Haziq. Semoga zuriat yang dikurniakan bakal menjadi penerus dakwah Rasulullah SAW.

'BKAWM Keluarga Kita'
'KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN'



Bakti Siswa BKAWM bersama Pelajar Tajaan MAIWP Disambut Baik

Kuala Lumpur, 3 Ogos – Urusetia Bakti Siswa, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan sesi 2012/2013 telah menjalankan program bersama pelajar-pelajar tajaan MAIWP yang bakal meneruskan pengajian di Mesir. Program telah dijalankan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program ini bertujuan memperkenalkan fungsi serta peranan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), membantu mempersiapkan diri untuk ke Mesir dan membina hubungan rapat dengan BKAWM sejak dari Malaysia lagi.

Sambutan pada program bakti siswa ini amat memberangsangkan dengan kehadiran pelajar tajaan MAIWP seramai 34 orang, juga kehadiran ahli-ahli BKAWM yang lain yang turut membantu menjayakan program ini.

Program bakti siswa ini bermula dengan slot pengenalan Mesir yang mana disampaikan oleh Saudara Fitry Iskandar Ismail. Berikutnya, slot pengenalan persatuan-persatuan di Mesir disampaikan oleh Saudara Muhammad Adlly bin Mohamad Bokhari dan diteruskan dengan slot terakhir pengenalan kuliah-kuliah yang berada di Mesir.

Program diakhiri dengan ucapan dari Pengarah Bakti Siswa bersama pelajar tajaan MAIWP iaitu Saudara Muhammad Yasin bin Awang sebagai penggulungan program.


“BKAWM Keluarga Kita”
“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”

Iftar Mahabbah Eratkan Hubungan BKAWM dan ILMAM


Kuala Lumpur, 4 Ogos - Pihak Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) dengan kerjasama Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Wilayah Persekutuan (ILMAM Wilayah Persekutuan) telah mengadakan majlis berbuka puasa (Iftar Mahabbah) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Majlis berbuka puasa ini bertujuan mempererat hubungan antara mahasiswa/wi dan bekas mahasiswa/wi, berkongsi pandangan dalam meneruskan kesinambungan mahasiswa/wi al-Azhar dan Timur Tengah serta memperbaharui maklumat bekas mahasiswa/wi Wilayah Persekutuan. Seramai 57 orang yang hadir pada majlis ini. Turut hadir Ustaz Azhar bin Yahya selaku mantan Yang Dipertua kedua Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (BKAKLM) yang merupakan nama asal BKAWM.

Majlis bermula dengan ucapan wakil BKAWM iaitu Saudara Fitry Iskandar Ismail selaku Timbalan Yang Dipertua BKAWM disusuli dengan ucapan dan tazkirah wakil ILMAM Wilayah iaitu Ustaz Azhar bin Yahya. Kemudian sesi pengenalan kepada semua yang hadir pada majlis itu.

Majlis diteruskan dengan sesi berbuka puasa serta solat maghrib. Usai solat Isyak, sesi bergambar dijalankan beserta solat terawih dan diakhiri dengan slot tayangan video ucapan khas dari Yang Dipertua BKAWM Saudara Muhd Bazli Zakaria sebagai pergulungan majlis berbuka puasa (Iftar Mahabbah) BKAWM dengan ILMAM Wilayah.


“BKAWM Keluarga Kita”
“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”

Pertemuan BKAWM dengan KPE MAIWP


Kuala Lumpur, 2 Ogos - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir  (BKAWM) telah mengadakan kunjungan hormat dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tuan Haji Zainal Abidin bin Jaffar pada 31 Julai yang lalu di bangunan PERKIM, Kuala Lumpur.

4 orang wakil daripada BKAWM yang telah membuat kunjungan ialah Saudara Fitry Iskandar Ismail, Saudara Muhammad Yasin Awang, Saudari Shahanim Shakirah Mhd Kaim dan Saudari Siti Hawa Ahmad. Turut hadir pada pertemuan ini ialah Penolong pengurus Baitulmal Tuan Faridilatras Abdul Rahman.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ini ialah mengenai skim-skim bantuan dan zakat pelajar, isu keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Susulan dari perbincangan ini, akan diadakan pertemuan sekali lagi pada masa akan datang.

Pada akhir pertemuan, kedua-dua pihak iaitu BKAWM dan MAIWP telah bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda penghargaan


"BKAWM Keluarga Kita"
 "KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"

Blogroll

Loading...