RIADHAH SEBELUM IMTIHAN

 KAHERAH , 22 Disember 2013 – Semalam Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan  sesi 2013/2014 telah menganjurkan aktiviti futsal sempena imtihan yang bakal berlangsung tidak lama lagi khusus bersama anak-anak Wilayah Persekutuan di padang futsal Gunners, Nadi Syabab.
Aktiviti bermula seawal jam 8.00 sehingga 10.00 malam. Turut hadir Badan Pengurus angkat Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Hanifulfuad bin Hussin bagi memeriahkan lagi aktiviti futsal.
“Kita bermain futsal bukan sekadar untuk mengeratkan ukhuwwah silaturahim antara kita tapi untuk mencari jaringan gol sebagai target untuk mendapat kemenangan.
Begitu juga dalam peperiksaan  ini, kita memerlukan matlamat yang jelas iaitu mendapat kecemerlangan agar kita dapat berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai target tersebut” ujar Ustaz Hanifulfuad bin Hussin, Timbalan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2013.
Aktitviti futsal ini juga sebagai salah satu platform untuk menjayakan misi Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) iaitu melahirkan mahasiswa Islam yang proaktif.
 Harapan BKAWM ialah agar seluruh ahli dapat memberi sepenuh komitmen terhadap segala aktiviti yang dijalankan oleh persatuan untuk meneruskan survival BKAWM.
"BKAWM Keluarga Kita"
"Meneguh Ukhuwwah, Menjana Tarbiyah"

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

Kepulangan Tokoh Mahasiswi BKAWM

KAHERAH, 18 Disember 2013- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) menyaksikan kepulangan seorang lagi permata yang telah banyak menyumbang bakti buat persatuan ini. Beliau adalah saudari Afifah binti Ramli yang merupakan graduan Ijazah Bahasa Arab Universiti al-Azhar cawangan Mansurah.

Meskipun berada jauh di Mansurah, beliau tetap aktif memberikan sumbangan kepada BKAWM sama ada dari segi tenaga, masa mahupun buah fikiran. Pengalaman selama 6 tahun di Mesir tidak dibazirkan malah disalurkan sepenuhnya dengan berbakti kepada persatuan. Beliau merupakan antara tokoh yang bersama-sama melakar sejarah BKAWM dan menyaksikan secara langsung perpindahan secara rasmi anak-anak Wilayah Persekutuan ke Asrama Rumah Wilayah Persekutuan pada tahun 2009.

Saudari Afifah pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan sesi 2010/2011, Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan sesi 2011/2012 dan Timbalan Ketua Fasilitator sesi 2012/2013. Beliau juga telah menerima Anugerah Tokoh Mahasiswi pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKAWM kali ke 15 baru-baru ini.

Sebelum meninggalkan bumi Mesir, beliau sempat merakamkan penghargaan serta sedikit nasihat buat siswa-siswi yang masih berada di bumi anbiya ini di dalam sebuah majlis ringkas bersempena kepulangan beliau. Beliau mengingatkan tentang empat perkara yang perlu kita lahirkan kepada pimpinan menurut Imam Said Hawwa iaitu al-hub (kasih sayang), al-taqdir (penghargaan), al-ihtiram (penghormatan) dan at-taat (ketaatan). Beliau berharap agar generasi yang sedang dan bakal menerajui BKAWM tidak berasa sempit dada dan susah hati. Kerana kita bukanlah pemula atau pengakhir jalan dakwah ini, tetapi kitalah penerus mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Beliau juga berharap agar semua ahli dapat menjaga kesatuan BKAWM khususnya dan PMRAM serta Perubatan amnya.

BKAWM mengucapkan selamat pulang ke tanah air tercinta kepada saudari Afifah binti Ramli. Semoga beliau terus istiqamah dan thabat dalam jalan dakwah menyebarkan risalah Islam di Malaysia.

Generasi Cemerlang Harapan Ummah



KAHERAH, 14 Disember 2013- Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2013/2014 telah menganjurkan sebuah program motivasi 'Hamlah Nahjul Mutafawwiqin' bersempena peperiksaan yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Program ini adalah khusus untuk ahli-ahli BKAWM sama ada yang menetap di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) mahupun yang tinggal di rumah sewa. Pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi para ahli yang hadir. Program yang bertemakan 'Generasi Cemerlang Harapan Ummah' ini dimulakan seawal jam 4.50 pagi dengan solat Subuh berjemaah dan alunan qasidah dengan kerjasama Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan BKAWM sesi 2013/2014.


Majlis diteruskan dengan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Saudara Tuan Muhammad Akmalhakim bin Tuan Mazri, mahasiswa perubatan dari Universiti Ain Syams. Terdapat juga sesi pemeriksaan kesihatan dan pergigian yang dikelola oleh unit khas sains kesihatan, Team Medik. Program terus dimeriahkan oleh DJ pagi dan pameran 'Success after Failure' yang berlangsung sepanjang program.



Program motivasi ini diserikan dengan Majlis Ramah Mesra bersama AJKT dan HEWI BKAWM sesi 2013/2014. Majlis tersebut diadakan khusus untuk memperkenalkan barisan kepimpinan BKAWM sesi ini yang terdiri daripada 17 orang AJKT dan HEWI kepada ahli selain makluman awal tentang program-program terdekat yang bakal dilaksanakan oleh setiap unit. Di samping itu, turut diselitkan sesi penerangan ringkas tentang dua buah kempen lagi yang akan turut sama dilancarkan pada malam itu, iaitu penerangan tentang Kempen Biah Solehah anjuran Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan dan Kempen Biah Solehah anjuran Unit Perumahan dan Rehlah.  Majlis Ramah Mesra diakhiri dengan kalam nasihat daripada Yang Dipertua BKAWM sesi 2013/2014, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman.


Turut diadakan dalam program motivasi tersebut sesi Bedah Buku Motivasi: "How to do Everything and be Happy" oleh saudari Farhaana binti Ishak, Timbalan Biro Penerbitan dan Penerangan Perubatan Cawangan Azhar.

Majlis ditamatkan dengan perasmian ketiga-tiga kempen ini iaitu Hamlah Nahjul Mutafawwiqin (Kempen Menuju Kecemerlangan), Kempen Biah Solehah dan Kempen Rumahku Syurgaku oleh Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff, Pegawai ARWP. Hadirin turut disajikan dengan pelancaran Discussion Group (DG) dan tayangan video.

Program yang berlangsung seharian ini mendapat sambutan yang hangat daripada ahli dengan kehadiran yang lebih daripada jangkauan pihak penganjur. Program yang dijalankan bukan sahaja berjaya meningkatkan motivasi ahli, bahkan telah mengukuhkan ukhuwah dan ikatan antara semua.

Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam disusuli dengan sedikit jamuan.

"BKAWM Keluarga Kita"
"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"



Kunjung Hormat Kepimpinan HEWI BKAWM Sesi 2013/2014 ke Pejabat HEWI PMRAM




KAHERAH, 14 Disember 2013- Barisan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKAWM sesi 2013/2014 telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat HEWI PMRAM yang bertempat di Hayyu Sabie. Majlis dimulakan dengan sesi perkenalan barisan HEWI BKAWM dan seterusnya perkenalan barisan HEWI PMRAM sesi 2013.

Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab daripada kedua-dua belah pihak. Pelbagai perkara dibincangkan bersama bagi memastikan kelangsungan dakwah dan kelancaran gerak kerja. Kemudian, ucapan daripada Naib Pengerusi Hewi 1 BKAWM sesi 2013/2014, Saudari Zahidah Izzati binti Mohd Johari yang mengharapkan agar hubungan antara kedua-dua belah pihak lebih erat terjalin dan berjalan dengan lancar.

Sebelum berakhir, Saudari Siti Sarah binti Bushari, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2013 menyampaikan ucapan penutup dan kalam nasihat. Beliau mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa sifat pertama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin adalah sikap ingin belajar dan sanggup berubah. Selain itu, seorang pemimpin juga harus memastikan gerak kerja yang dilakukan sistematik dan tahu keutamaan sesuatu perkara.

Majlis tamat sekitar jam 3.00 petang disusuli dengan sedikit jamuan dan sesi fotografi.

"BKAWM Keluarga Kita"
"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"

Mangsa Samun Terima Sumbangan


KAHERAH, 11 Disember 2013Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir mengucapkan takziah dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang kepada seorang ahli BKAWM yang telah dirompak saudara Fakhrullah bin Rasul pada hari Sabtu yang lalu. Sumbangan disampaikan oleh saudara Nik Muhammad Azahari bin Nik Salleh, Timbalan Yang Dipertua BKAWM Sesi 2013/2014 merangkap Ketua Lajnah Kebajikan.

Saudara Fakhrullah bin Rasul merupakan mahasiswa Pengajian Ulum Islamiah yang pada ketika itu sedang dalam proses pemindahan barang ke Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Kejadian berlaku sekitar jam 4.00 petang apabila saudara Fakhrullah menaiki teksi dari rumah sewanya di kawasan Abou Romy. Beliau tidak meminta bantuan daripada sesiapa disebabkan jarak perjalanan yang dekat. Ketika dalam perjalanan, pemandu teksi menggunakan jalan pintas dengan alasan jalan ketika itu sesak. Pemandu teksi itu mengambil kesempatan untuk merompak dan menjadikan beliau mangsa keadaan sehingga menimbulkan kecederaan.

Kerugian dianggarkan sekitar LE 5000 melibatkan sebuah laptop, passport, dokumen-dokumen penting pengajian dan pakaian.

Justeru itu, pihak BKAWM mengingatkan kepada semua ahli untuk lebih berwaspada dengan faktor sekeliling serta dinasihati untuk meningkatkan tahap keselamatan diri dan kediaman masing-masing serta sentiasa bergerak di dalam kumpulan.


"BKAWM Keluarga Kita"
"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"

Kunjungan Hormat Kepimpinan BKAWM Sesi 2013/2014 ke Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM)



KAHERAH, 29 November 2013 - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014, telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) yang bertempat di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara BKAWM dan PPMM.




Majlis bermula dengan ucapan Yang Dipertua BKAWM sesi 2013/2014 iaitu saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman dan sesi perkenalan semua barisan kepimpinan BKAWM. Seterusnya penerangan ringkas mengenai pembawaan BKAWM pada sesi ini yang disampaikan saudara Muhammad Luqman Hakim bin Abdul Halim, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2013/2014. Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab bersama pegawai. Pelbagai permasalahan dan cadangan penambahbaikan dibincangkan antara kedua-dua pihak. 


Sebelum berakhir, ucapan penutup disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Yahya bin Haji Mohd Haniff, Pegawai Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM). Beliau menyampaikan perasaan berbesar hati dengan kunjungan hormat yang dibuat oleh pihak BKAWM serta sedikit nasihat dan amanat bagi para pimpinan agar gerak kerja yang dibuat dapat berjalan dengan lancar.

Majlis tamat sekitar jam 9.30 malam disusuli dengan sesi fotografi dan jamuan ringan.



Blogroll

Loading...