KALAM PIMPINAN: Kebersamaan dalam BKAWM






Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi ruang dan peluang untuk menghirup udara yang segar dalam memastikan kehidupan ini terus berjalan walaupun tanpa membayar satu sen pun. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Pimpinan Agung kita iaitu Nabi Muhammad SAW serta kepada ahli keluarga Baginda, kaum kerabat, para tabi’ tabi’in dan seterusnya kepada para penyambung rantai perjuangan Islam yang sentiasa berjuang bagi memastikan Islam tetap berada di dada kita. Firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Ertinya : “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.“ (Surah Ali ‘Imran :103)

Kemudian dilanjutkan kembali di dalam al-Quran yang berbunyi:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya : “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” (QS. Al An’am :153)

Kedua-dua ayat al-Quran ini sangat jelas menunjukkan bahawa kunci kemenangan Islam tidak lain dan tidak bukan adalah kuatnya kebersamaan dan ukhuwah di antara orang-orang Islam. Lalu, mengapakah kita perlu menjaga kekuatan dan ukhuwah kita?

Hal ini tidak lain adalah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud,
“Hampir saja umat-umat menyerang kalian dari segala penjuru, bagaikan rayap-rayap yang menyerang tempat makannya sediri” Lalu para sahabat bertanya, “Apakah jumlah kita waktu itu sedikit ya Rasulullah?”“Tidak,” jawab Rasulullah, “Malahan pada waktu itu kalian berjumlah sangat banyak, tetapi kalian adalah buih bagaikan air bah. Sesungguhnya Allah SWT telah mencabut kewibawaan kalian dan pada waktu yang sama Allah menanamkan Wahn dalam hati kalian.” Para sahabat bertanya, “Apa Wahn itu ya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, "Cinta dunia dan takut mati."

Oleh hal yang demikian, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sebagai
persatuan gerakan Islam yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) amat mementingkan aspek kebersamaan dan ukhuwah Islamiah. Kesatuan mahasiswa BKAWM bukan sahaja untuk anak-anak Kuala Lumpur akan tetapi termasuklah juga anak-anak Putrajaya dan Labuan. Melalui kesatuan inilah akan terpupuknya sifat kerjasama dan saling membantu terutamanya dalam aspek pengajian dan kebajikan antara kita. Ketahuilah, persatuan ini sememangnya tidak menjanjikan pulangan material, kemasyhuran, pangkat dan kekayaan. Akan tetapi, persatuan ini adalah suatu platform untuk mendidik kita mengenal Islam secara syumul.

Perlulah kita sedari bahawa Khilafah Uthmaniyah yang jatuh pada 3 Mac 1924 adalah berpunca daripada tidak bersatunya dan bersamanya umat Islam pada zaman tersebut. Adakah kita ingin mengulangi sejarah ini? Jawapannya semestinya TIDAK. Sejarah BKAWM telah membuktikan, para pejuang terawal (abang-abang dan kakak-kakak lama) telah menubuhkan BKAWM bukan sahaja demi kebajikan dan pengajian bahkan demi kebersamaan ahli dalam menggapai keredhaan Allah SWT sekali gus melahirkan pelapis mata rantai perjuangan. Jadi, persatuan yang telah terbina ini janganlah pula kita bina yang baru, KESATUAN yang satu ini janganlah kita membilangkannya. Bersamalah kita dikala susah dan senang, suka dan duka. Sekiranya terdapat kekurangan dan kecacatan dalam persatuan ini, sama-samalah kita membantu dan menampungnya, janganlah sekadar suara itu berlalu di bibir sahaja.



MUHAMMAD YASIN BIN AWANG
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014.

Pimpinan BKAWM Ziarah Kelahiran Baru


KAHERAH, 19 Februari 2014- Barisan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan ziarah ke rumah ahli yang baru menerima kelahiran baru pada 16 Februari 2014 yang lalu. Saudara Muhd Bazli bin Zakaria dan pasangannya menyambut kelahiran cahaya mata yang kedua pada 10 Februari 2014 yang lalu.

Muhammad an-Nabawi bin Muhd Bazli lahir dengan berat 3.8 kg di Hospital Az-Zahra, Hayyu Rabaah. Turut disampaikan cenderahati daripada barisan kepimpinan BKAWM sesi 2013/2014. Semoga putera yang dilahirkan ini bakal menjadi pejuang harapan ummah dan memberi kekuatan kepada perjuangan menyebarkan dakwah Islam.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Kelahiran Mutiara BKAWM

KAHERAH, 14 Februari- Lajnah Kebajikan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menyampaikan sumbangan kepada saudara Muhd Bazli bin Zakaria bersempena kelahiran cahaya mata beliau yang kedua pada hari Rabu yang lalu.

Saudara Bazli yang juga merupakan Ketua Penasihat BKAWM sesi 2013/2014 telah menerima sumbangan daripada saudara Nik Mohammad Azahari bin Nik Salleh, Timbalan Yang Dipertua dalam kunjungan yang dilakukan oleh pihak Ahli Jawatankuasa BKAWM ke rumah beliau.

Saudara Muhd Bazli dan pasangannya, saudari Nur Hidayah bt Mohd Rafe telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 10 Februari 2014 seberat 3.8 kg.

Diharapkan semoga putera yang dilahirkan bakal menjadi aset yang berharga untuk umat dan penggerak utama perjuangan menegakkan agama Islam kelak.

Rehlah Syita' Siswi Mematri Ukhuwah


Kaherah, 9 Februari 2014- Unit Perumahan Dan Rehlah (UPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan Rehlah Syita’ Dumyat. Rehlah yang bertemakan “Alam Dihayati, Ukhuwah Terpatri” ini bukan sahaja disertai oleh ahli BKAWM sahaja, bahkan turut dimeriahkan oleh beberapa orang wakil dari BKAN Taakhi, iaitu Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

  Pendaftaran dibuka pada 8 Februari 2014, jam 11.00 malam. Semua peserta berkumpul dan diberikan taklimat disiplin dan keselamatan oleh Timbalan Unit Pengisian dan Disiplin. Perjalanan ke Dumyat dimulakan dan tiba ke destinasi sekitar jam 5.00 pagi. Aktiviti dimulakan dengan solat subuh berjemaah, membaca mathurat dan surah al-Waqiah beramai-ramai di Masjid ar-Rahman, Dumyat Jadidah. Kemudian, diteruskan lagi dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudari Zahidah Izzati binti Johari, Naib Pengerusi HEWI 1 merangkap penasihat program. Peserta sempat menikmati sarapan pagi sebelum bergerak ke pantai Dumyat.

Setibanya di sana, aktiviti pantai dimulakan dengan ucapan aluan dan bacaan doa dari Timbalan Pengarah program, saudari Nur Hidayahtul Aiman binti Johan dan seterusnya sukaneka serta acara bebas. Jam 11.30 pagi, majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan di samping menikmati ayam barbeque. Kumpulan terbaik sukaneka telah dimenangi oleh kumpulan Kucing.

Kemudian, para peserta bergerak ke destinasi yang seterusnya iaitu Ro’su Bar. Setibanya di Ros’su Bar, semua peserta menunaikan solat jama’ fardhu zohor dan asar secara berjemaah. Turut diselitkan dengan pengisian yang disampaikan oleh saudari Nurul Amaani binti Kushairi. Seterusnya, semua peserta bergerak menuju ke rumah api dan diberikan sedikit penerangan tentangnya oleh saudara Saufi Basharah, selaku musyrif jaulah.


  Seterusnya, pada pukul 5.30 petang para peserta tiba ke destinasi yang terakhir, iaitu Port Said. Selepas menaiki feri menyeberangi Terusan Suez menuju ke Port Fuad, para peserta menunaikan solat jama’ fardhu maghrib dan isya’ secara berjemaah. Setelah selesai solat para peserta berkumpul dan telah diberikan sedikit penerangan daripada musyrif mengenai Port Said dan Port Fuad. Setelah itu, para peserta kembali semula ke feri untuk menuju ke Port Said untuk membeli belah di Suq Tijari di sekitar Port Said. Kemudian, para peserta bertolak pulang ke Kaherah dan dalam perjalanan pulang makan malam diedarkan di samping ucapan penutupan yang disampaikan oleh saudara Hakimi selaku Pengarah program.

"Terima kasih UPR kerana telah menganjurkan rehlah ini. Rehlah pada kali ini sangat menyeronokkan dan memberikan manfaat yang banyak kepada para peserta,” kata seorang peserta.

DG Gabungan Menyatukan Ahli

KAHERAH, 01 FEBRUARI 2014 – Semalam Unit Dakwah dan Pembangunan Insan sesi 2013/2014 dengan kerjasama Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan sesi 2013/2014 telah menganjurkan Discussion Group (DG) gabungan ahli Wilayah Persekutuan di padang futsal Markaz Nadi Syabab, Hayyu Sadis.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan dalam kalangan ahli DG. Seramai 25 orang hadir untuk sama-sama menjayakan aktiviti tersebut. Program bermula seawal jam 7.30 malam hingga 10.00 malam.

Turut hadir Pegawai Pengurusan MAIWP Mesir, Encik Yahya bin Hanif bersama beberapa orang barisan Badan Pengurus PMRAM diketuai BP angkat Wilayah Persekutuan, saudara Hanifulfuad bin Hussin.


“Alhamdulillah sambutan yang menggalakkan dari anak-anak Wilayah Persekutuan, semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar ukhuwah dapat dikekalkan sesama kita”, ujar saudara Mawardi bin Mohd Zain, Ketua Fasilitator Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014. 

SSD Meneguh Ukhuwah Ahli

KAHERAH, 30 Januari 2014 - Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan sebuah program khas bagi mahasiswi iaitu Siswi Sports Day (SSD) pada hari Khamis yang lalu. Program yang bertemakan “Solidifying Ukhuwah, Reviving Sunnah” ini telah dijalankan di  Markaz Syabab Musallas, Hayyu Asyir. Program ini telah berjalan dengan jaya dan meriah sekali. 

SSD bermula seawal jam 7.30 pagi dengan pendaftaran para peserta di lobi Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Hitam, Hijau, Merah Jambu, dan Ungu. Pada jam 8.30 pagi, para peserta menuju ke Markaz Syabab


Musallas, Hayyu Asyir dengan menggunakan dua buah van. Setelah semuanya selamat tiba ke destinasi, para peserta melakukan senaman aerobik. Turut diselitkan sesi tazkirah dari saudari Nur Hazirah binti Mat Basri dan taklimat disiplin dari saudari Emyliza binti Mohd Sajadi.

Pada jam 9.00 pagi, acara yang ditunggu-tunggu pun bermula iaitu perlawanan bola tampar. Perlawanan ini telah dihakimi oleh saudari Ashirah Hazirah binti Hassim. Perlawanan yang sengit ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Kemudian, program ditangguhkan untuk rehat dan solat Zohor. SSD diteruskan dengan acara sukaneka.  Aktiviti luar dewan ditamatkan dengan sesi fotografi semua peserta dan AJK Pelaksana.

Majlis penutup SSD  bermula sekitar jam 7.30 malam bertempat di Dewan Sri Putra, ARWP. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang majlis. Antaranya, persembahan Qasidah daripada kumpulan Qasidah BKAWM (siswi), persembahan khas daripada AJK HEWI BKAWM sesi 2013/2014 dan tayangan video. Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta. Perlawanan bola tampar telah dijuarai oleh kumpulan Hijau  sekaligus menjadi johan kesuluruhan program ini. Manakala bagi acara sukaneka pula, kumpulan Ungu telah dinobatkan sebagai kumpulan terbaik.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan.

Blogroll

Loading...