Kalam Pimpinan: Mencapai Kejayaan Dalam Kehidupan

               

             Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Rabbul Izzati atas segala nikmat dan ujian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT di dunia mahupun di akhirat kelak. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda serta sahabat-sahabat Baginda.
                Firman Allah SWT di dalam Al-Quranul Karim :
Mafhumnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.(Surah Al-Mukminun Ayat 1-2 Juzuk 18).
                Kejayaan duniawi dan ukhrawi merupakan antara elemen yang sentiasa disematkan dalam mentaliti insan rabbani sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Terdapat pelbagai bentuk kejayaan yang dapat dilihat dalam aspek kehidupan rohani mahupun jasmani. Antaranya adalah tahap intelektualiti seseorang individu yang sering diimpikan oleh golongan mahasiswa seperti kita. Maka, unsur ini diserapkan dalam jiwa kita sebagai misi dalam mengutip mutiara ilmu di Mesir ini khususnya. Indikatornya tidak lain dan tidak bukan adalah kecemerlangan akademik yang menjadi cerminan imej seseorang penuntut ilmu. Persoalannya, bagaimanakah kita ingin mencapai kejayaan dalam kehidupan yang serba mencabar ini?
                Kejayaan yang hakiki hanya mampu dicapai menerusi fokus yang tinggi pada matlamat yang ingin dikecapi. Hal ini kerana terdapat anasir-anasir luar yang cuba mempengaruhi minda kita dalam menggapai impian kita. Antaranya ialah pengaruh Barat, hasutan syaitan dan hawa nafsu. Sekiranya anasir-anasir luar ini tidak dibendung, maka misi kita akan mengambil jangka masa yang panjang dan mungkin tidak dapat menghasilkan kualiti kecemerlangan yang diidamkan. Kadangkala, kejayaan tersebut tidak dapat dihasilkan sama sekali angkara benih-benih kurang baik yang mempengaruhi perjalanan ke arah matlamat kita. Analoginya kita umpama nakhoda yang mengemudi kapal dan matlamat kita merupakan destinasi kita. Sekiranya kita terpesong daripada jalan yang membawa ke arah destinasi kita kerana tidak fokus terhadap tempat terakhir kapal bakal berlabuh, maka tidak mustahil kapal akan karam di tengah lautan. Maka, kita sebagai individu muslim wajib fokus terhadap matlamat kita sebagai hamba Allah, khalifah Allah dan dai’e Allah untuk mencapai puncak kecemerlangan.
                Kisah Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya menjadi contoh figura yang hebat bagi kita. Kejayaan beliau dalam menawan kota Konstantinopel dalam usia muda merupakan hasil fokus beliau dalam memacu pergerakan tenteranya untuk membuka bumi bersejarah ini. Semakin kita fokus terhadap sesuatu matlamat, semakin mudah untuk kita menakluk kejayaan yang bukanlah angan Mat Jenin semata-mata.
                Sempena dengan permulaan fasa dua bagi pengajaran dan pembelajaran di universiti, marilah sama-sama kita menanamkan azam untuk fokus terhadap pelajaran sama ada pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Perkara ini bertujuan untuk memusatkan segala informasi yang bakal ditimba di medan ilmu. Harapan ibu bapa kita untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam akademik seharusnya dijayakan dengan sebaik mungkin sebagai target utama kita dalam kembara ilmu di bumi kinanah ini. Justeru itu, kita selaku mahasiswa proaktif seharusnya meningkatkan kecemerlangan akademik kita dengan memperkasakan konsentrasi kita dalam memenuhkan ilmu di dada.
Kita di peringkat BKAWM sentiasa memegang teguh terhadap kecemerlangan akademik sebagai salah satu elemen utama dalam kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di bumi kinanah ini. Hal ini kerana kecemerlangan akademik merupakan indikator intelektual seseorang individu. Namun begitu, untuk mencapai matlamat utama ini, fokus yang tinggi wajib diwujudkan dalam jiwa semua ahli yang dikasihi. Maka, BKAWM sebagai medium kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir sentiasa memberikan sokongan dan bantuan dalam meningkatkan pemacuan perhatian kita dalam akademik. Justeru itu, kita sebagai ahli BKAWM yg bersatu atas dasar akidah Islam sewajarnya mewujudkan konsentrasi yang tinggi dalam menimba ilmu di perantauan ini untuk melahirkan mahasiswa proaktif selari dengan misi pertama BKAWM, dan kecemerlangan akademik hanya boleh dikecapi menerusi fokus yang jitu.

Munira binti Mahammad Noor
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir

Sesi 2013/2014

Pelapis Berkualiti Pengukuh Organisasi


KAHERAH, 19 Mac 2014- Lajnah Perancang Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah menganjurkan program The Apprentice 2014 iaitu sebuah program bagi melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dan terlatih serta bakal meneruskan kesinambungan BKAWM di masa hadapan. The Apprentice 2014 yang bertemakan ‘Pelapis Berkualiti, Pengukuh Organisasi’ ini diadakan bagi mencapai beberapa objektif, iaitu:

1. Melahirkan ahli yang faham tanggungjawab sebagai generasi pelapis BKAWM.
2. Melahirkan ahli yang memahami sejarah BKAWM.
3. Menjalin hubungan yang erat antara AJKT dan mentee BKAWM.

     Program bermula seawal 4.00 p.m dengan penyertaan seramai 19 orang peserta di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan. Peserta program bersiri yang berkonsepkan ukhuwah ini disajikan dengan beberapa slot yang ringkas tetapi padat selain aktiviti di dalam kumpulan yang dilaksanakan bersama fasilitator dan mentor masing-masing. Antaranya ialah slot yang bertajuk Ukhuwah Islamiah oleh Ustaz Safuan bin Saberi, Sejarah BKAWM oleh saudari Rafida binti Haniffa, Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi 2013/2014 dan Bicara Pimpinan oleh Ustaz Abdul Aziz bin Ali, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sesi 2013.      

     The Apprentice 2014 diadakan khusus bagi menjayakan misi BKAWM sesi 2013/2014 iaitu ‘Membina Generasi Pelapis yang Berkualiti’. “Semoga dengan usaha kita dalam membina pendokong BKAWM yang lebih jitu ini akan membawa kepada BKAWM yang lebih cemerlang di masa hadapan kelak,” ujar saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman, Yang Dipertua merangkap Ketua Lajnah Perancang BKAWM sesi 2013/2014.


    Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang mampu melahirkan generasi pelapis bagi tampuk kepimpinan pada masa akan datang. Semoga program The Apprentice 2014 yang dilaksanakan ini berjaya melahirkan generasi pelapis harapan BKAWM.

Kursus Intensif WIMAC Membina Generasi Berkualiti




KAHERAH, 20 Mac 2014- Unit Penerangan dan Penerbitan (UPP) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah mengadakan Kursus Intensif WIMAC (Wilayah Multimedia Centre) pada 18 Mac 2014 yang lalu.

   Kursus satu hari ini bermula pada Jam 9.00 malam dan diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Seramai 16 orang peserta memenuhi kuota pendaftaran yang terdiri daripada ahli ARWP dan juga ahli rumah sewa.

   Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli khususnya AJK WIMAC dan AJK UPP tentang peralatan multimedia dan cara-cara pengendaliannya. Selain itu, kursus ini juga diadakan bagi melahirkan pelapis BKAWM yang mahir dalam pelbagai bidang kemahiran.

   Kursus ini telah dikendalikan oleh saudara Muhammad Yasin bin Awang, Setiausaha Agung BKAWM sesi 2013/2014 yang juga merupakan mantan Ketua UPP sesi 2012/2013. Peserta yang hadir memanfaatkan peluang yang ada dan tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi menimba ilmu kemahiran, yang mampu menjadi nilai tambah kepada diri. Sepanjang program, pelbagai persoalan diajukan sama ada semasa slot penerangan mahupun praktikal.

  “Kami di peringkat BKAWM teruja melihat sambutan hangat daripada ahli terhadap kursus ini sehinggakan ada yang meminta agar Kursus Intensif WIMAC siri kedua diadakan lagi pada masa yang akan datang,” ujar Ketua UPP, Saudara Muhammad Luqman Hakim bin Abdul Halim.



Semoga dengan kursus yang singkat ini dapat memberi manfaat kepada ahli yang hadir di samping mempersiapkan generasi pelapis yang berkemahiran tinggi seiring dengan misi BKAWM pada sesi ini, iaitu ‘Membina generasi pelapis yang berkualiti’.

Ziarah AJKT dan HEWI 2014

KAHERAH, 14 MAC 2014 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah menganjurkan Ziarah AJKT dan HEWI 2014 (ZIARAH ’14) pada 6 Mac 2014 di muhafazah Iskandariah dan Zagazig serta di muhafazah Tanta dan Mansurah pada 11 Mac 2014.
Beberapa objektif utama program Ziarah ’14 yang digariskan ialah:-
1.          Merapatkan ukhuwah antara pimpinan dengan ahli
2.          Mepertingkatkan peranan PERMAS di setiap cawangan.
3.          Menyampaikan maklumat dan isu

terkini BKAWM.
Sambutan yang diterima menggalakkan dengan kehadiran ahli-ahli ke program Ziarah ’14. Ini menunjukkan komitmen dan kecaknaan yang membanggakan ditunjuk oleh ahli-ahli di muhafazah yang diziarahi walaupun ada yang sibuk dengan kekangan masa dengan pelajaran.
Antara aktiviti yang dilakukan ialah ziarah ke rumah ahli-ahli di muhafazah serta terdapat Majlis Ramah Mesra bersama AJKT dan HEWI Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir 2013/2014. Antara pengisian ramah mesra ialah sesi pengenalan, penerangan berkenaan borang zakat dan tabung kebajikan. Akhir sekali dibuka sesi soal jawab antara barisan AJKT bersama ahli-ahli.
“Alhamdulillah ramah mesra pada kali ini berjalan dengan lancar serta kami mendapat beberapa respon positif dari ahli-ahli kita di muhafazah. Saya berharap agar ikatan ukhuwah antara kita bertambah erat dan program sebegini dapat dirancang dengan lebih baik pada masa hadapan”, ujar saudara Ahmad Mustaqim bin Ramli, Pengarah program Ziarah AJKT dan HEWI 2014 (ZIARAH ’14)


PERMAS Zagazig Menerima Sumbangan


KAHERAH, 7 Mac 2014- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) melahirkan rasa simpati atas musibah yang menimpa keluarga saudara Mohd Zubir bin Ahmad dan pasangannya. Puteri sulung pasangan ini telah ditahan di hospital di Zagazig bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas disahkan menghidap pneumonia iaitu jangkitan pada paru-paru. Ummu Humaira’ binti Zubir, 3 bulan telah dimasukkan ke wad kecemasan sejak 3 Mac yang lalu.

Saudara Mohd Zubir yang juga merupakan Perwakilan Mahasiswa (PERMAS) BKAWM cawangan Zagazig telah menerima sumbangan daripada pihak BKAWM semalam. Sumbangan disampaikan oleh saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman, Yang Dipertua BKAWM sesi 2013/2014 di dalam Majlis Ramah Mesra bersama barisan kepimpinan BKAWM sesi 2013/2014 yang diadakan di Zagazig Malaysian Student’s Hall, Zagazig.

Pihak BKAWM mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Mohd Zubir yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Ramah Mesra semalam dan kami mendoakan agar puteri beliau diberi kesembuhan dan dipelihara oleh Allah S.W.T daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

Blogroll

Loading...