Kempen “Smart Entrepreneur Campaign”

Pada tanggal 17 April 2014, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir di bawah Unit Ekonomi telah melancarkan satu kempen “Smart Entrepreneur Campaign” dengan bertemakan “Kemapanan Ekonomi Penggerak Agenda”. 

Malam perasmian kempen dimulakan terlebih dahulu dengan slot motivasi anjuran Unit Pendikan dan Pengetahuan dan diteruskan lagi dengan slot perasmian kempen. Majlis di serikan dengan kehadiran ahli Wilayah Persekutuan  yang ramai sehingga memeriahkan lagi suasana pada malam itu. Kempen ini telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman selaku Yang Dipertua BKAWM.

 Selain itu, antara objektif kempen adalah menjana ekonomi BKAWM, menggalakkan penyertaan ahli dalam aktiviti perniagaan, meminimumkan masalah hutang serta memperkasa amalan menabung.

 Disamping itu juga, pelbagai aktiviti yang telah direncana di bawah kempen ini seperti Bazaria Wilayah Persekutuan, Bengkel Keusahawanan, Anugerah Pelanggan Setia, Tabung Belia, Modal Niaga. Seterusnya, Saudara Abdul Basit bin Abdullah selaku pengarah kempen mengharapkan agar segala aktiviti yang disusun di bawah kempen dapat menarik minat ahli untuk sertainya serta beliau mengharapkan juga agar kita sama-sama memberi kerjasama untuk menjayakan kempen ini.

Ziarah Mahabbah Mengukuh Keluarga BKAWM


KAHERAH, 25 April 2014- Lajnah Kebajikan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan Ziarah Mahabbah 2014 pada 23 April 2014 yang lalu bagi Kepimpinan AJK HEWI BKAWM 2013/2014. Ziarah Mahabbah pada kali ini diadakan bagi mencapai objektif utamanya iaitu merapatkan hubungan antara barisan kepimpinan BKAWM dengan ahli yang tinggal di rumah sewa. Selain itu, ziarah ini juga bertujuan untuk memantau kebajikan ahli terutama sekali dari sudut keselamatan.

          Sebanyak enam buah rumah sewa di sekitar Hayyu Sabie berjaya dilawati pada hari tersebut. Antaranya ialah Bait Mumtaz, Bait Tijarah, Bait Villa, Darul Falah, Bait Kushairi dan Bait Rayyan. Perjalanan ke rumah-rumah sewa dimulakan tepat jam 8.00 malam. Sepanjang ziarah berlangsung, beberapa aktiviti telah dilaksanakan iaitu taaruf sesama ahli, penyampaian Syantah Imtihan dari Lajnah Kebajikan dan pengedaran bahan cetakan dari Unit Penerangan dan Penerbitan serta Unit Pendidikan dan Pengetahuan. Selain itu, pihak saf kepimpinan yang hadir turut mengambil peluang yang ada untuk mengambil sebarang aduan permasalahan yang dihadapi oleh ahli terutama sekali dari sudut keselamatan dan kerosakan.

          “Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli yang terlibat dalam ziarah kali ini kerana sudi memberi komitmen dalam menjayakan Ziarah Mahabbah 2014. Tanpa ahli, maka tiada apalah pada kami, barisan kepimpinan,” ujar saudari Zahidah Izzati binti Mohd Johari, Naib Pengerusi HEWI 1 BKAWM sesi 2013/2014. Semoga Ziarah Mahabbah yang diadakan ini benar-benar dapat mencapai objektifnya dan seterusnya dapat mengukuhkan lagi keluarga BKAWM. BKAWM Keluarga Kita!

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”

The Apprentice Siri 2 Meningkatkan Kualiti Pelapis

KAHERAH, 25 April 2014- The Apprentice 2014 siri ke-2 telah berjaya dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) di bawah Lajnah Perancang BKAWM sesi 2013/2014 pada tanggal 15 dan 16 April 2014 yang lalu. Program ini merupakan program lanjutan daripada siri pertama yang telah diadakan sebelum ini. Dengan bertemakan “Pelapis Berkualiti Pengukuh Organisasi”, The Apprentice pada kali ini telah dirangka dengan beberapa aktiviti dan pengisian menarik bagi mencapai objektif program ini, iaitu:

1. Melahirkan ahli yang faham tanggungjawab sebagai generasi pelapis BKAWM.
2. Melahirkan ahli yang memahami sejarah BKAWM.
3. Menjalin hubungan yang erat antara AJKT dan mentee BKAWM.

          Program bermula seawal jam 4.00 petang dan dimulakan dengan slot yang pertama iaitu Slot Pembentangan MBO, KPI & MO yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKAWM sesi 2013/2014 sendiri, iaitu saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman. Para peserta didedahkan tentang cara-cara untuk menyediakan MBO (Management by Objective), KPI (Key Performance Indicator) dan MO (Modus Operandi) sesuatu program. Pengetahuan berkaitan perkara ini adalah amat penting bagi para peserta memandangkan tujuan pelaksanaannya adalah bagi menghasilkan program yang berkualiti dan mereka merupakan generasi yang bakal mengemudi program-program BKAWM pada masa akan datang. Kesemua 30 orang peserta yang hadir mengambil bahagian dalam pembentangan yang dilakukan.

          Kemudian, program diteruskan dengan Slot Dengar & Patuh yang disampaikan oleh saudara Ahmad bin Jaafar, Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sesi 2014. Konsep ‘Dengar dan Taat’ amat penting terutama sekali dalam sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana ianya dapat mewujudkan peranan setiap ahli dan meningkatkan kualiti kerja ahli dalam sesebuah organisasi.

          Seterusnya, para peserta dihidangkan pula dengan pengisian dari Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2014, saudari Nurul Izzati binti Rohani yang bertajuk Fiqh Aulawiyat. Mereka
didedahkan tentang suatu konsep bagi memahami kepentingan dalam sesuatu perkara. Slot terakhir adalah Kuliah Haraki: Kefahaman Beramal yang disampaikan oleh saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM).

          Selain aktiviti berbentuk pengisian, para peserta juga menjalani aktiviti berkumpulan. Mereka melaksanakan aktiviti praktikal bagi kesemua teori yang telah dibentangkan oleh para pengisi sebelumnya. Aktiviti ini bertujuan bagi menguji kefahaman para peserta berkaitan pengisian yang disampaikan. Kesemua peserta mengambil bahagian secara aktif dan memberangsangkan.

          Majlis penutup The Apprentice 2014 berlangsung pada 16 April 2014 bertempat di Maktabah Darul Madani. Ucapan penutup dan kalam taujihat telah disampaikan oleh Yang Dipertua BKAWM merangkap Pengarah The Apprentice 2014. Usai ucapan, sesi penyampaian hadiah diadakan. Dua orang peserta telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik The Apprentice 2014 siri ke-2, iaitu saudara Muhammad Syakir bin Rosnan dan Shreen Banu binti Nasurudeen. Program The Apprentice 2014 dilabuhkan tirainya tepat jam 7.oo pagi. Harapan dari pihak BKAWM agar program yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada para generasi harapan BKAWM dalam mempersiapkan diri mereka bagi mencapai misi BKAWM pada sesi ini iaitu ‘Membina Generasi Pelapis yang Berkualiti’.

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”

Kalam Pimpinan: Akal yang Cerdas dari Badan yang Sihat



بسم الله الرحمن الرحيم

          Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Ilahi atas kurniaan kekuatan dan kesihatan dariNya sehingga kita masih lagi mampu untuk menikmati hidup di alam nan indah ini.

Sabda nabi Muhammad S.A.W :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Dari Ibnu Abbas, dia berkata: Nabi bersabda: “Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu luang”. [HR Bukhari, no. 5933].

          Imtihan yang semakin hampir telah menghantui seluruh mahasiwa di Perlembahan Nil ini. Pada ketika ini, ramai di antara kita yang sedang sibuk mengulangkaji silibus pelajaran masing-masing tidak kira sama ada mahasiswa Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Disebabkan kesibukan yang mencengkam para mahasiswa sehingga ada yang telah mengabaikan penjagaan kesihatan di musim peperiksaan ini seperti yang diceritakan di dalam hadis di atas. Selaku mahasiswa Azhari dan Azhariyat, perlulah kita menerapkan eleman yang terdapat dalam dasar utama pegangan ini, iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam jiwa kita dengan mengamalkan segala isi kandungannya dan mengambil pengajaran daripadanya.

Sabda nabi S.A.W:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu , beliau berkata, Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allâh Azza wa Jalla daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan.

           Oleh yang demikian, hendaklah kita memelihara diri bagi menjadi hamba yang kuat dari segala sudut di samping memiliki kesihatan yang baik dalam kehidupan yang menjadi tempat untuk beramal menuju ke alam akhirat. Dalam suasana imtihan yang semakin menghampiri, selain daripada kita mempersiapkan diri dari segi pembelajaran, sangat penting juga untuk mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental.

          Maka, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa khususnya anak-anak Wilayah Persekutuan untuk sama-sama menitik beratkan aspek kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan ini di samping menjaga hubungan dengan Allah S.W.T. Semoga usaha dan pergantungan mahasiswa semua kepada ALLAH S.W.T dalam menghadapi imtihan ini bakal membuahkan kejayaan yang hakiki serta memberi manfaat pada ummah seluruhnya.

“BKAWM Keluarga Kita”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”



Nur Hidayahtul Aiman binti Johan
Timbalan Unit Perumahan dan Rehlah
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Ziarah Kelahiran Baru BKAWM





KAHERAH, 22 April 2014- Barisan Kepimpinan AJK Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah menziarahi seorang ahli yang telah menyambut kelahiran seorang mujahidah pada Sabtu yang lalu.

           Iffah Syatirah binti Mohd Mawardi telah selamat dilahirkan pada tanggal 13 April 2014 yang lalu. Puteri sulung Mohd Mawardi bin Md Zain dan pasangannya ini seberat 3 kilogram ketika dilahirkan dan selamat disambut secara normal pada jam 6.30 pagi di Hospital Badawi, Abbas El-Aqad.

          Sebelum pulang, pihak AJK HEWI BKAWM yang diwakili oleh NAIB PENGERUSI HEWI 1, saudari Zahidah Izzati binti Mohd Johari menyampaikan sedikit cenderamata kepada pasangan tersebut. Semoga dengan kehadiran srikandi kecil ini bakal menjadi penyeri bahtera rumahtangga yang dibina seterusnya menjadi srikandi pejuang harapan ummah pada masa akan datang.


“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”

Kursus Hospitaliti Menambah Kemahiran Ahli



10 April, Kaherah – Unit Perumahan dan Rehlah Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan sebuah kursus iaitu “Kursus Hospitaliti” yang merupakan suatu kursus yang memberi pendedahan tentang pengurusan penyediaan jamuan dan hidangan dalam skala yang besar. Dengan bertemakan “Mahasiswa Berkemahiran Tunjang Ummah Berkualiti”, kursus ini telah dijalankan bagi mencapai objektifnya iaitu untuk melahirkan pelapis baru dalam pengurusan hospitaliti di samping menambah pengetahuan ahli dalam bidang pengurusan hospitaliti.


           Kursus ini telah diadakan di Dewan Sri Putra, ARWP dan disertai oleh 12 orang peserta siswa dan 22 orang peserta siswi. Kursus ini adalah kursus yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh BKAWM dan telah bermula pada 8.30 malam dimulai dengan slot pertama , iaitu slot “Cook For Everyone” yang disampaikan oleh seorang pengisi yang sangat berpengalaman dalam bahagian masakan bagi program-program yang besar, iaitu Saudara Saifullah bin Abdul Wahab. Pelbagai input menarik yang telah dibentangkan oleh beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Emas PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Antaranya ialah berkaitan operasi dapur, asas makanan, amali keselamatan, amali sanitasi dan nilai-nilai murni dalam memasak. Sebelum beliau mengakhiri slotnya, sempat beliau berpesan agar setiap dari kita haruslah melakukan gerak kerja Islam tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun termasuklah dalam bidang masakan.


           Seterusnya, kursus ini diteruskan lagi dengan slot kedua iaitu “Etika Hidangan VIP” yang disampaikan oleh saudara Muhammad Ilman bin Abdul Razak. Slot kedua ini membicarakan mengenai etika yang telah digariskan kepada Prasaji dalam penyediaan makanan mahupun layanan bagi tetamu khas sesebuah program. Beliau juga sempat membentangkan etiket sosial yang perlu difahami oleh setiap peserta dalam penyediaan makanan VIP (Very Important Person). 


           “Alhamdulillah kursus ini telah berjalan dengan jayanya bersama harapan yang besar bahawa BKAWM dapat melahirkan lebih ramai ahli yang mahir untuk berkecimpung dalam bidang pengurusan hospitaliti,” komen saudara Muhammad Hakimi bin Rosli, Pengarah Kursus Hosptaliti BKAWM .

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal







Kursus Setup Laptop Membina Generasi Berkemahiran

KAHERAH, 9 April- Unit Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah mengadakan Kursus Setup Laptop 2014 pada hari Isnin yang lalu. Kursus yang bertemakan ‘Mahasiswa Berkemahiran Pencetus Transformasi’ ini diadakan bagi mencapai beberapa objektif, iaitu:

1. Memberi pendedahan kepada ahli tentang ‘hardware’ komputer.
2. Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ahli tentang cara-cara penjagaan komputer yang sebenar.
3. Melahirkan pelapis dan aktivis BKAWM yang berkualiti dan berkemahiran serta berpengetahuan tinggi.

          Kursus sehari ini mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada ahli Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, tetapi juga ahli rumah sewa. Seramai 26 orang peserta telah hadir memenuhi kuota yang ditetapkan oleh pihak penganjur kursus yang diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan ini.

          Kesemua peserta yang hadir tidak melepaskan peluang bagi menimba ilmu dari pengisi yang sangat berpengalaman dalam bidang teknologi maklumat, iaitu saudara Mohammad Firdaus bin Mohammed Muzi yang juga merupakan mantan Pengarah PMRAM Multimedia Crew (PMC). Pelbagai persoalan diajukan bagi memanfaatkan ruang yang disediakan.

          “Kursus ini dirangka dengan tujuan khususnya iaitu bagi melahirkan mahasiswa yang berkemahiran tinggi memandangkan komputer riba telah menjadi suatu keperluan yang tinggi untuk dimiliki oleh para pendakwah dewasa ini seiring dengan perkembangan teknologi yang rancak,” ujar Pengarah Kursus Setup Laptop 2014 iaitu saudara Muhammad Luqman Hakim bin Abdul Halim.

          Diharapkan agar kursus ini dapat melahirkan aktivis dan pelapis yang berkualiti dan berkemahiran seiring dengan misi BKAWM sesi ini iaitu membina generasi pelapis yang berkualiti. Melalui kursus ini juga diharapkan agar dapat menjadi bekalan kepada para mahasiswa untuk terjun ke medan dakwah yang sebenar kelak.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"




Secretary Workshop 2014 Lahirkan Setiausaha Berketerampilan




6 APRIL, Kaherah – ‘Kecemerlangan Melalui Keterampilan’, merupakan tema yang telah dibawa dalam program Secretary Workshop 2014 anjuran Jabatan Setiausaha Agung (JASA), Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Program yang telah dijalankan pada 5 April ini telah disertai oleh 16 orang peserta termasuk setiausaha setiap Jabatan, Lajnah dan Unit di bawah organisasi BKAWM. Program telah dijalankan di Perpustakaan Darul Madani, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan bermula jam 4.00 petang.

          Antara objektif dalam penganjuran program ini ialah membentuk aktivis yang mahir dan berkebolehan dalam bidang kesetiausahaan dan protokol majlis bagi meningkatkan pengurusan pentadbiran BKAWM serta melahirkan pelapis setiausaha yang berketerampilan dan bakal menjadi sumber tenaga BKAWM.

          Majlis perasmian telah dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, seterusnya kalam harapan daripada pengarah, Saudara Muhammad Yasin bin Awang merangkap Setiausaha Agung BKAWM. Ucapan perasmian pula telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKAWM, Saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman. Beliau mengharapkan agar program ini dapat melahirkan para pelapis berkualiti terutamanya dalam bidang pengurusan organisasi.

          Slot pertama bertajuk ‘Peranan Setiausaha dalam Sejarah Islam’ telah disampaikan oleh saudara Muhammad Iqbal bin Hj Atan, Fasilitator Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), PMRAM Cawangan Selangor. Penyampaian beliau yang begitu bersemangat telah menaikkan motivasi para peserta dalam menjalankan gerak kerja khususnya selaku seorang setiausaha.

          Slot ‘Peranan dan Skop Tugas Setiausaha’ telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Yasin bin Awang selaku Setiausaha Agung BKAWM. Penerangan yang jelas beserta penekanan dalam skop pengurusan BKAWM telah memberi banyak informasi kepada para peserta dalam menjalankan tugas sebagai setiausaha. Turut diterangkan etika umum Jabatan Setiausaha Agung (JASA).

          Dalam mencapai objektif membentuk aktivis yang mahir dalam pengurusan protokol majlis, slot ketiga telah disusun iaitu slot ‘Panduan Protokol Majlis dan Etiket Sosial’. Slot menarik ini telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi, Setiausaha Agung, Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang (BKMIP), PMRAM Cawangan Pahang.

          Turut dijalankan sesi Gerak Kerja Berkumpulan iaitu latihan berbentuk praktikal dalam kumpulan berkaitan slot-slot yang telah dibentangkan.

          “Secretary Workshop 2014 merupakan sebuah program yang dirangka dan dijalankan bagi meningkatkan kualiti pengurusan BKAWM bermula dari peringkat Jabatan, Lajnah dan Unit melalui pembentukan setiausaha-setiausaha berketerampilan,” ujar pengarah program, Saudara Muhammad Yasin.

          
          Keizzahan sesebuah organisasi sering kali diukur melalui kecekapan sistem pengurusannya. Setiausaha pula merupakan tulang belakang dalam skop ini. Justeru, adalah diharapkan melalui penganjuran Secretary Workshop 2014 dengan tema ‘Kecemerlangan Melalui Keterampilan’ ini dapat memberi impak positif kepada BKAWM dalam menjalankan fungsinya sebagai badan yang memelihara kebajikan mahasiswa Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini. Dalam masa yang sama, segala ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk dimanfaatkan di sini sahaja, tetapi merupakan antara kelengkapan penting apabila kita memasuki alam kerjaya kelak.

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”

Majlis Ramah Mesra Mempererat Hubungan Antara Dua Pihak


KAHERAH, 4 April 2014- Pihak Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) telah menganjurkan sebuah Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi MAIWP dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) pada 2 April yang lalu. Majlis yang dikelolakan oleh Unit Pendaftaran dan Sambutan BKAWM sesi 2013/2014 ini telah dihadiri hampir 100 orang anak Wilayah Persekutuan yang tinggal di sekitar Kaherah dan juga cawangan.

          Tujuan utama majlis ini diadakan adalah supaya pihak delegasi yang terdiri daripada Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Encik Mohd Nizam bin Haji Yahya dan Penolong Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Encik Ahmad Fadli bin Adam dapat membuat tinjauan perihal kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir di samping dapat merungkai persoalan dan kemusykilan daripada mereka berkaitan Baitulmal MAIWP.

          Majlis bermula dengan penerangan daripada pihak Delegasi MAIWP tentang status terkini Baitulmal MAIWP yang sedang dikemaskini sistemnya ke arah sistem yang lebih baik. Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi soal jawab daripada para mahasiswa yang hadir. Majlis berjalan dengan lancar dan meriah. Pelbagai permasalahan yang membelenggu mereka diselesaikan dan dirungkai oleh pihak delegasi. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada PPMM dan BKAWM kepada pihak delegasi.

          "Kita mengharapkan agar mahasiswa-mahasiswa Wilayah Persekutuan di Mesir dapat memberi komitmen kepada BKAWM, bukan hanya mengharapkan bantuan semata-mata," kata Encik Nizam dalam ucapan penutupan. Beliau juga mengharapkan agar hubungan antara BKAWM dengan Baitulmal MAIWP akan menjadi lebih erat selepas daripada ini. Pihak delegasi bakal menamatkan lawatan kerja mereka ke Mesir dan Jordan pada malam ini. Mereka mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan persoalan untuk diajukan sepanjang masa berbaki mereka di sini agar tindakan segera dapat diambil sekiranya perlu.

          Barisan kepimpinan BKAWM berbesar hati dengan kehadiran pihak delegasi ke bumi kinanah ini. Semoga dengan majlis yang diadakan dapat memperkukuh hubungan antara BKAWM dan MAIWP yang merupakan penaung rasmi BKAWM dan dapat melancarkan gerak kerja kedua-dua pihak dalam menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang sedang menuntut di Mesir.

Blogroll

Loading...