Kalam Pimpinan: Menghayati Sejarah Israk dan Mikraj



Dengan nama Allah yang Maha Pemudah lagi Maha penyayang.

"Maha suci mu Ya Allah, yang telah menperjalankan hamba-Nya yakni Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram(Makkah/Bakkah) ke Masjidil Aqsa(Baitul Muqaddis) yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."
(Surah al-Israk, ayat 1)

           Israk Mikraj merupakan suatu peristiwa yang telah berlaku ke atas Rasulullah S.A.W. Ianya merupakan sebuah perjalanan yang penuh dengan seribu satu pengajaran. Israk Mikraj adalah sebuah hadiah daripada Allah s.w.t buat kekasihNya Muhammad S.A.W iaitu ketika baginda sedang bersedih di atas kematian dua orang pendokong dakwah baginda iaitu bapa saudara baginda, Abu Talib dan isterinya, Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah radiallah anha serta penolakan dakwah baginda di Taif.

          Dalam sebuah hadith yang diceritakan oleh Aisyah radiallahu anha:
Suatu ketika Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasul s.a.w. : “Wahai Rasulullah, pernahkah engkau merasa lebih pahit dan sengsara dari hari Uhud?”

Jawab baginda: “Bahkan, iaitu ketika menghadapi bangsa kau (Arab) dan yang paling dahsyat sekali ialah ketika aku memperkenalkan diriku dan berdakwah di kalangan puak Ibn Yalil Abdi Kalal di mana tawaran dan dakwahku tadi tidak diterima langsung dan aku beredar dari situ dengan perasaan yang tak keruan. Bila sampai ke suatu tempat bernama Qiran Tha’alib, baru aku sedar ketika aku mengangkat kepala melihat ke atas, tiba-tiba sekumpulan awan meneduhiku dan aku nampak Jibril alaihissalam memanggilku dan berkata:


“Sesungguhnya Allah azzawajalla telah mendengar setiap perkataan bangsa kau dan tindakan mereka terhadap kau. Dan Allah telah mengutuskan Malaikat segala gunung untuk kau. Suruhlah sekehendakmu.” Kata Rasulullah lagi:

"Malaikat segala gunung tadi memanggil dan memberi salam kepadaku dan katanya, "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaummu dan tindak balas mereka terhadap seruanmu. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa saja, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu, aku boleh hempap ke atas mereka Bukit Al-Akhsyabin."

Jawab Rasulullah: “ Tapi apa yang aku harapkan agar lahir dari keturunan mereka golongan yang menyembah Allah tanpa mensyirikkan-Nya.”
[HR Bukhari dan Muslim]

           Saban tahun pada tanggal 27 Rejab, umat Islam akan menyambut peristiwa besar ini. Namun, sebesar manakah kesan sambutan Israk dan Mikraj itu ke atas iman kita sepertimana besarnya kesan Israk dan Mikraj itu sendiri kepada gerak kerja dakwah Rasulullah s.a.w. Pelbagai peristiwa yang berlaku ketika Rasullah diisrakkan sehinggalah baginda dimikrajkan. Namun, peristiwa yang paling penting dalam peristiwa ini adalah kewajipan solat lima waktu sehari semalam.

           Perintah solat yang Nabi terima langsung daripada Allah s.w.t. ini menunjukkan akan ketinggian nilai solat itu sendiri. Solat merupakan sumber tenaga jiwa kerana ia memiliki nilai yang sama dengan Israk Mikraj yang telah mengecas semula tenaga jiwa Nabi s.a.w. untuk terus gencar dalam dakwah.

           Justeru, tingginya nilai solat menyebabkan wujudnya hikmah yang mendalam bagi sesiapa sahaja yang ingin melakukan perubahan dalam dirinya. Melalui penghayatan daripada peristiwa ini, pelbagai pengajaran yang boleh kita ambil sebagai teladan dalam menghadapi liku-liku dakwah.

           Antaranya ialah apabila kita menghadapi sesuatu dugaan mestilah kita berserah harap pada Allah dahulu. Seseorang daie itu haruslah menilai semula kelemahan diri jika menghadapi kesukaran dalam berdakwah dan bukanlah dengan menyalahkan orang lain. Yakini diri bahawa tugas kita hanyalah untuk menyeru, malah yang memberikan hidayah adalah Allah azzawajalla.

           Selain itu, hendaklah kita menjaga solat kerana ianya mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah sehingga Allah menjadikan solat sebagai amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Wajib kita menjaga solat walaupun dalam keadaan apa sekalipun kerana di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

           Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengambil manfaat daripada sambutan peristiwa besar ini dan bukan dalam golongan yang tidak mengambil tahu tentang peristiwa bersejarah dalam Islam serta tidak cakna dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar kisahnya semata-mata tetapi yang lebih penting ialah dengan usaha untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam serta berazam untuk sehidup dan semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam."


"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Abdul Hadi bin Daud
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Riadah Pemangkin Ukhuwah



 KAHERAH, 26 Mei 2014- Pada 23 dan 25 Mei yang lalu, Unit Kebudayaan, Kesenian, dan Sukan (UKKS) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah menganjurkan aktiviti bermain bowling di International Bowling Centre, Kaherah.
Antara tujuan penganjuran aktiviti ini adalah bagi mengukuhkan ukhuwah sesama ahli BKAWM melalui aktiviti sukan. Selain itu, aktiviti beriadah juga menjadi medium bagi merehatkan minda di musim imtihan ini. Pada 23 Mei, 20 siswa telah bertolak ke IBC selepas solat maghrib dan menamatkan satu pusingan permainan. Manakala bagi sebelah siswi pula, aktiviti telah dijalankan pada 25 Mei, dan bermula pada jam 11 pagi. Pihak UKKS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana telah menjayakan aktiviti bermain bowling pada kali ini. Semoga program yang dijalankan dapat memberi manfaat dan mencapai objektif yang telah disusun.




Kalam Pimpinan: Persekitaran Kondusif Menjamin Kesihatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

          Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Bersyukur kita kepada Allah kerana dengan limpah kurnia dan inayah-NYA kita masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat kehidupan. Melalui nikmat kehidupan ini, kita dapat merasai nikmat iman dan islam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, serta sahabat-sahabat baginda.

Firman Allah SWT, mafhumnya;

“…sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. “ ( Surah Al-Baqarah, ayat 222.)

          Berdasarkan ayat Al-Quran di atas maka, jelaslah kepada kita bahawa kebersihan itu adalah suatu keperluan yang mesti diterapkan dalam diri seorang muslim yang berpegang teguh dengan syari’at Allah SWT. Dalam fatrah peperiksaan yang kian menjelang tiba ini, amatlah wajar bagi kita untuk menjaga kebersihan sama ada diri, pakaian, tempat tinggal, masjid serta alam sekitar. Hal ini supaya kesihatan kita terjaga dan terpelihara. Sesungguhnya kesihatan yang baik itu berpunca daripada persekitaran yang bersih dan kondusif. Sehubungan dengan itu, maka perlulah kita menjaga kebersihan sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani.

          Seterusnya, kebersihan juga dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT seperti yang telah disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW “Kebersihan itu separuh daripada keimanan”. Oleh hal yang demikian, tidak syak lagi dengan sekecil-kecil perkara seperti menjaga kebersihan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Hal ini juga bertepatan dengan pendapat Imam Ghazali rahimahullah, ‘Kebersihan itu dapat menyingkirkan anggota badan dari perbuatan jahat dan dosa’.

          Dalam debaran bagi menghadapi fatrah peperiksaan, adalah diingatkan kepada semua ahli bahawa kebersihan diri dan tempat tinggal haruslah dijaga dengan rapi supaya kesihatan diri dapat terjamin serta dapat mewujudkan suasana belajar yang sempurna. Lantas, dapat memudahkan kita untuk beribadat kepada Allah SWT. Kerana apa? Kerana Allah itu cantik dan Allah suka kepada kecantikan.

          Akhir kalam, kebersihan itu amatlah penting di sisi Islam dan ianya bukan sekadar pada dialog sahaja, akan tetapi kebersihan itu perlulah dipraktikkan dalam setiap diri seseorang yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekian.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

الفقير الى الله عز وجل فى العلم
Muhammad Hakimi Bin Rosli
Ketua Unit Perumahan dan Rehlah
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Blogroll

Loading...