Kalam Pimpinan: Kebajikan Ahli Tanggungjawab Bersama



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

          Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan mengurniakan akal fikiran yang berharga, Tuhan yang telah menjadikan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia yang dihiasi dengan akhlak yang sangat mulia, Tuhan yang telah menciptakan seluruh mahkluk ini. Segalanya di langit dan di bumi berada di bawah kekuasaan-NYA. Syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang tidak terhingga. Dalam Al-Quran, surah Al-Ahzab ayat 56, Allah SAW menyatakan yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-NYA berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk untuk nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.” 

          Maka selawat dan salam buat Baginda SAW penghulu segala para nabi. Baginda sebagai qudwah ikutan seluruh manusia hingga akhir zaman.

          Firman Allah SWT juga di dalam Surah Ali Imran ayat 92, mafhumnya:

“Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” 

          Berdasarkan ayat Al-Quran di atas maka, jelaslah kepada kita selaku muslim yang taat perintah-NYA perlu untuk menginfakkan sebahagian daripada harta kita di jalan Allah sebelum kita dapat memperolehi kebajikan sama ada daripada manusia mahupun daripada Sang Pencipta yang hakiki. Justeru, dengan infak yang kita lakukan secara tidak langsung dapat membantu sesama saudara kita khususnya dari sudut kewangan.

          Oleh yang demikian, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sebagai sebuah persatuan mahasiswa khusus untuk anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir telah menyediakan satu platform bagi menyalurkan kebajikan kepada ahli yang berdaftar di bawahnya khusus dari sudut kewangan yang diberi nama “Tabung Kebajikan". Tabung yang diwujudkan di bawah Lajnah Kebajikan ini mempunyai beberapa skim. Antaranya Skim Pinjaman, Skim Pelaburan, Skim Sumbangan dan Skim Kecemasan. Objektif utama tabung ini adalah untuk membantu ahli yang bermasalah dalam aspek kewangan dan juga ingin melahirkan ahli BKAWM yang bersikap pemurah serta suka membantu antara satu sama lain.

          Selain itu, Lajnah Kebajikan BKAWM juga turut menitikberatkan kebajikan ahli dari sudut keselamatan. Memandangkan keadaan Mesir yang masih belum pulih sepenuhnya ini maka, isu keselamatan amatlah penting untuk kita semua ambil cakna. Selaku badan kebajikan mahasiswa, BKAWM sedaya upaya memastikan keselamatan semua ahli berada dalam keadaan yang terpelihara samada yang tinggal di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) mahupun di rumah sewa di samping mengharap perlindungan dari Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh kerana itu, hakikatnya kita memerlukan antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin umpama sebuah bangunan yang tersusun kukuh seperti yang telah tertulis dalam kalam Allah surah As-Saff ayat yang keempat.

          Kesimpulannya, Islam adalah agama yang berkebajikan khusus kepada penganutnya dan kepada bukan Islam umumnya. Justeru, kebajikan yang dibawa oleh Islam mencakupi dari semua aspek kehidupan. Maka dengan rasa amanah dan tanggungjawab, Lajnah Kebajikan BKAWM pada sesi ini mensasarkan beberapa sudut kebajikan yang bersesuaian dengan sesebuah persatuan mahasiswa seperti yang telah dinyatakan seiring dengan PMRAM yang menekankan kebajikan ahlinya. Akhir kalam, kebajikan ahli adalah keutamaan kami demi memastikan kesatuan BKAWM berkekalan hingga ke generasi akan datang.

Sekian.



“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”



Nur Hazimah binti Mat Basri
Naib Pengerusi HEWI II
Merangkap Timbalan Lajnah Kebajikan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Kepulangan Mutiara BKAWM Dirasai



KAHERAH, 24 JUN 2014- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) menyaksikan kepulangan seorang lagi permata yang telah banyak menyumbang bakti buat persatuan ini pada hari Ahad yang lalu. Beliau adalah saudari Nurhaziratul Naim binti Sidek yang merupakan mahasiswi tahun akhir Jurusan Usuluddin Bahagian Hadis Universiti al-Azhar cawangan Kaherah.

          Saudari Nurhaziratul Naim pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM 2008/2009, Timbalan Unit Ekonomi BKAWM 2009/2010, Naib Pengerusi HEWI 2 merangkap Timbalan Lajnah Kebajikan 2010/2011, Penasihat BKAWM 2011/2012, Naib Pengerusi HEWI BKAWM 2012/2013, dan Penasihat BKAWM 2013/2014. Beliau juga giat melibatkan diri dalam menyumbang kepada PMRAM di peringkat pusat.

          Sebuah majlis perpisahan telah dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan BKAWM bagi meraikan kepulangan beliau pada hari sebelumnya. Majlis ringkas tersebut telah dijalankan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

          Majlis bermula sejurus selepas menunaikan solat maghrib dengan solat hajat dan bacaan doa selamat yang diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua BKAWM merangkap Ketua Lajnah Kebajikan sesi 2013/2014, saudara Nik Mohammad Azahari bin Nik Salleh. Majlis diteruskan dengan penyampaian kalam taujihad daripada yang diraikan.

          Beliau merakamkan penghargaan serta sedikit nasihat buat siswa-siswi yang masih berada di bumi anbiya supaya menghayati sirah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Kota Madinah dan para sahabat untuk menyebarkan Islam. Begitu juga dengan kita yang berhijrah ke Mesir meninggalkan keluarga bagi menuntut ilmu. Beliau juga mengingatkan kepada yang hadir agar menjaga keakraban ukhuwah yang menjadi keistimewaan Islam. Terutama sekali ukhuwah antara ahli yang baru dan ahli yang lama seperti para Muhajirin dan Ansar.

           Kepulangan sebutir mutiara ini tentunya merupakan sebuah kehilangan yang besar buat BKAWM. Semoga kita terus kekal dalam medan dakwah tidak kira di mana kita diletakkan seterusnya mendoakan kebersamaan dan kesatuan BKAWM terus utuh dan kukuh.

”BKAWM Keluarga Kita”
”Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”



Kalam Pimpinan: Berjaya Bersama


          Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah SWT atas nikmat iman dan Islam serta segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚفَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (Surah al-Nahl:43)

          Kejayaan adalah suatu impian yang diimpikan oleh semua manusia dalam kehidupan ini. Namun, untuk mencapai kejayaan tersebut perlulah melalui liku-liku perjalanan yang panjang terutama sekali dari sudut menambahkan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan ahli. Konsep “Berjaya Bersama” perlu disematkan di dalam hati bagi mencapai kejayaan bersama kerana seharusnya semua manusia menginginkan kejayaan tanpa melihat sahabat-sahabat seperjuangan mereka gugur di dalam usaha bagi mencapai kejayaan tersebut.

          Ayat di dalam surah al-Nahl di atas menegaskan bahawa sekiranya kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara maka bertanyalah kepada mereka yang berpengetahuan tentangnya. Ini merupakan salah satu teknik yang diajar oleh Allah untuk mencapai kejayaan iaitu dengan bersama orang yang berpengetahuan khususnya golongan ulamak, para masyaikh, para ustaz dan ustazah serta sahabat-sahabat seperjuangan yang menuntut ilmu di kuliah.

          Kita dapat lihat saban tahun apabila tibanya musim peperiksaan, betapa ramai mahasiswa mula melarikan diri dari kelompok masyarakat dengan alasan untuk belajar bersendirian supaya dapat lebih fokus tanpa menghiraukan sahabat-sahabat mereka yang lain. Kekuatan ukhuwah dan berjemaah di dalam pembelajaran semakin dilupakan. Malah mereka mula menggunakan cara pembelajaran secara individu.

          Sedangkan, jika kita perhatikan antara faktor untuk memahami sesuatu pembelajaran tersebut adalah dengan belajar bersama, iaitu belajar di dalam kumpulan dan saling mengulangkaji dengan sahabat-sahabat lain. Selain itu, antara teknik untuk menghafaz al-Quran pula ialah melalui teknik “tasmi’” (membaca dan mendengar). Teknik ini memerlukan seseorang untuk mendengar bacaan dan memperbaiki bacaan kita. Ianya tidak dapat dilakukan jika berseorangan malah memerlukan individu lain terutama sekali seorang syeikh ataupun sahabat-sahabat yang lain.

           Oleh yang demikian, kita di peringkat BKAWM amat menggalakkan ahli untuk bersama-sama menghidupkan suasana di rumah dengan belajar secara berkumpulan serta melazimi ulangkaji bersama mereka yang lebih berpengetahuan. Selari dengan tema dan misi BKAWM pada sesi ini, iaitu “Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah” dan “Meningkatkan kecemerlangan akademik di kalangan ahli”. Apabila ukhuwah di antara kita dijalinkan dalam setiap apa yang dilakukan terutama sekali di dalam pembelajaran maka, ia akan menghasilkan sebuah natijah yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat kelak.

Jom Berjaya Bersama.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Ahmad Faris bin Mazlan
Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Kalam Pimpinan: Jayakan Ekonomi BKAWM


          Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah menciptakan langit dan bumi yang padanya terdapat kebesaranNya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabiin serta kaum muslimin seluruhnya.

“Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang akan menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapi tahun sulit, kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur) .”

          Dalam ayat 48 dan 49 Surah Yusuf ini Allah azzawajalla telah menceritakan tentang putaran ekonomi dalam sesebuah negara. Kadang-kadang Allah S.A.W kurniakan kepada sesuatu negara itu ekonomi yang stabil melalui pelbagai sumber pendapatan dan kadang-kadang sebaliknya. Tatkala sesebuah kerajaan itu mempunyai sumber yang berkualiti maka ianya akan menatijahkan kestabilan ekonomi negara. Justeru, secara tidak langsung rakyat turut akan dapat menikmati kekayaan negara itu.

          Begitu juga dalam konteks sesebuah organisasi persatuan mahasiswa misalnya Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Ekonomi merupakan landasan terpenting dalam menjamin kelancaran gerak kerja sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, setiap pihak sama ada pimpinan mahupun ahli persatuan perlulah memainkan peranan tersendiri. Sebagai contoh dalam konteks pembayaran yuran keahlian BKAWM. Tatkala seseorang itu telah sah menjadi ahli BKAWM, maka perlulah beliau menjalankn tanggungjawab sebagai ahli dengan membayar yuran tahunan ini. Pembayaran yuran keahlian BKAWM menunjukkan komitmen ahli dalam mendokong BKAWM. Hal ini kerana, kutipan yuran ahli adalah salah satu sumber terpenting dalam menjana ekonomi PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan ini.

           Selain itu, antara alternatif lain yang boleh membantu untuk menjana ekonomi BKAWM adalah dengan membeli di koperasi persatuan. Koperasi BKAWM juga merupakan jambatan penghubung kepada ahli bagi mendapatkan barangan keperluan. Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita membeli sambil menyumbang di koperasi BKAWM sekaligus dapat membangunkan dan meningkatkan taraf ekonomi BKAWM.

           Di samping itu, Unit Ekonomi BKAWM mengingatkan kepada ahli agar merancang perbelanjaan dengan efisien sama ada perbelanjaan peribadi mahupun perbelanjaan persatuan melalui program yang dilaksanakan. Misalnya dengan meminimumkan perbelanjaan yang perlu sahaja bagi mengelakkan berlakunya pembaziran ataupun melalui penganjuran program yang bermanfaat serta boleh memberikan pulangan semula kepada persatuan. Jelas di sini bahawa perbelanjaan yang berhemah dan berkesan dapat turut membantu dalam pembangunan ekonomi BKAWM.

            Kesimpulannya, marilah kita berganding bahu memikul tanggungjawab sebagai ahli BKAWM agar kita serta generasi di masa hadapan dapat menikmati manfaatnya bersama kelak. Majulah ekonomi untuk BKAWM.

Sekian.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal”


Nurul Syahidah binti Hamzah
Timbalan Bendahari Agung
Merangkap Timbalan Unit Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Blogroll

Loading...