[ RISALAH MU'MEN: JANGAN JADI ORANG YANG MENYESAL ]




Jangan Jadi Orang Yang Menyesal

Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk, ayat 29 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros), kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal."

Antara intipati ayat ini ialah anjuran untuk tidak boros yang menyebabkan seseorang menjadi menyesal kerana keborosannya tersebut. Menjauhi sifat boros pula membawa kepada pengertian untuk mengetepikan sebahagian harta untuk digunakan bagi keperluan masa depan iaitu menabung.

Bukannya sedikit masyarakat yang menganggap bahawa ajaran Islam tidak mendorong umatnya untuk menabung. Mungkin hal ini timbul kerana ada pendapat bahawa dengan menabung seolah-olah kita tidak percaya akan adanya rezeki dari Allah SWT, serta merupakan sikap menimbun harta. Rasulullah SAW pernah bersabda, ”Allah akan memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha dari yang baik, membelanjakan wang secara sederhana, dan dapat mengetepikan lebihan untuk menjaga saat dia miskin dan memerlukannya.” [HR Muslim & Ahmad] 

Hadis-hadis lain juga ada menyatakan:

“Rasulullah menyimpan makanan untuk keperluan keluarga selama setahun.” (H.R Bukhari dan Muslim)

“Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (HR. Bukhari).

“Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin.” (HR Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis-hadis tersebut, maka kita dapat mengetahui bahwa menabung adalah salah satu ajaran Islam. Ternyata Rasulullah SAW sudah mengajar kita untuk menabung sejak seribu tahun yang lalu.

Menabung tidak mencerminkan bahawa kita tidak bertawakal kepada Allah SWT. Bahkan sebaliknya. Kerana tawakal itu tidak bermaksud kita pasrah kepada Allah SWT semata-mata tanpa berbuat apa-apa. Tawakal harus dimulakan dengan usaha yang bersungguh, setelah itu barulah kita berserah diri kepada Allah SWT. Menabung adalah upaya maksimal kita untuk menjaga kemungkinan akan adanya keperluan pada masa akan datang. Setelah menabung, barulah kita berserah diri (pasrah) kepada Allah SWT.

Menabung juga bukanlah menunjukkan sikap tidak percaya akan adanya rezeki daripada Allah SWT. Menabung adalah sebuah pengurusan yang baik ke atas rezeki Allah SWT. Menabung adalah cermin dari sikap amanah kita akan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.

Selain itu, menabung bukanlah bermaksud untuk menimbun harta. Dengan menabung, kita memiliki perspektif waktu jauh ke hadapan. Kita tidak melihat pengeluaran dalam kaca mata jangka pendek sahaja, melainkan sudah membuat perkiraan apa-apa saja yang harus dikeluarkan pada masa mendatang.

Namun demikian, menabung bukanlah sebuah penghalang bagi seseorang untuk berinfak ataupun mengeluarkan zakat. Orang yang imannya kuat dan terbiasa menabung akan mampu mengeluarkan zakat dengan baik dan berinfaq dengan lebih banyak ke jalan Allah SWT. Malah, orang yang menabung akan mendapati pelbagai pintu kebaikan dibukakan baginya seperti rezeki untuk menunaikan umrah, melancong, memenuhi keperluan diri bahkan akan menjadi penyelamat di masa susah seperti ketika ditimpa kemalangan atau sakit.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 18:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Kesimpulannya, semestinya kita sentiasa berharap musibah itu tidak akan menimpa kita. Namun, tatkala Allah SWT berkehendak terhadap sesuatu untuk berlaku, ia tetap akan berlaku dan peranan kita ialah mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Salah satu cara untuk menghadapi hari esok adalah dengan cara menabung. Mulakanlah langkah pertama untuk menabung dan janganlah jadi mereka yang menyesal kemudian hari.



Disediakan oleh:
Unit Khidmat Pelanggan dan Tugas-tugas Khas,
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2015/2016

Blogroll

Loading...