[ BERITA: HARI TAUTAN UKHUWAH 2016 (HTU '16) ]

Hari Tautan Ukhuwah 2016 (HTU ‘16), Medan meribat ukhuwah di antara mahasiswa/wi baru.


KAHERAH, 24 Julai 2016 – Kehadiran mahasiswa/wi baru pada bulan Jun & Julai yang lalu ke bumi Mesir melalui Urusetia Sambutan Mahasiswa/wi Baru 2016 (USMB ‘16) , dirancakkan lagi dengan Hari Tautan Ukhuwah (HTU) yang telah berlangsung pada 23 & 24 Julai yang lalu. 

Melalui pembawaan tema “Perintis Cemerlang, Kesatuan Gemilang” dan bermatlamat bagi memupuk semangat ukhuwah dan kesatuan dalam kalangan ahli serta membentuk intelek dan thaqafah kepada mahasiswa/wi baru, program yang telah berlangsung selama dua hari tersebut dimulakan dengan majlis perasmian, yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKAWM) saudara Adam Syukri bin Mohamad dan diselangi dengan ucapan pengarah program Urusetia Sambutan Mahasiswa/wi Baru 2016 (USMB ‘16) saudara Sheikh Muhamad Faeez bin Mohd Nasir. Program diteruskan lagi dengan pengisian “Penerangan Mesir & Azhar” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Faris bin Muhamad Zaini, Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang dan diakhiri dengan gerak kerja berkumpulan.

HTU telah diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk “UBM, Hisbah & UBS”, yang menampilkan Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2015/2016 saudara Abdul Wafi bin Alias berserta Ketua Unit Bait Muslim BKAWM sesi 2015/2016 saudara Muhamad Bazli bin Zakaria . Seterusnya, program dihangatkan lagi dengan pengisian “Sejarah BKAWM” yang telah disampaikan oleh Ketua Penasihat BKAWM sesi 2015/2016 saudara Muhammad Ilman bin Abdul Razak dan dimeriahkan lagi dengan ramah mesra bersama Ahli Jawatan Kuasa Tadbir(AJKT) & Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKAWM bersama mahasiswa/wi baru. Hari pertama program diakhiri dengan “Senat Fakulti” yang menerangkan pengenalan awal di setiap fakulti dan bidang melalui wakil-wakil kuliah yang dilantik. 

Hari kedua program dibuka dengan diskusi kitab yang bertajuk “Kewajipan Pemuda Islam pada Hari ini” yang telah dibentang dan disampaikan oleh saudari Hafizah binti Shafie, Fasilitator BKAWM sesi 2015/2016. Program diteruskan lagi dengan pengisian yang menarik iaitu “Forum Mahasiswa : Mahasiswa Islam Mendepani Akhir Zaman”. Forum tersebut menampilkan beberapa panel jemputan yang dikelolai oleh saudari Nurizzah Salihah binti Abdul Malek sebagai moderator dan panel jemputan iaitu saudara Nik Mohammad Azahari bin Nik Salleh dan saudari Nur Hidayatul Aiman binti Johan.

HTU diteruskan lagi dengan pengisian “Dialek Ammiah” oleh saudara Muhammad Shafie bin Abdul Halim merangkap Ketua Unit Pendidikan & Pengetahuan BKAWM sesi 2015/2016. Seterusnya program berlangsung dengan acara Outdoor di Hadiqah Dauliyah bagi sebelah siswi dan di Hadiqah Lotus di sebelah siswa.

HTU yang telah berlangsung selama 2 hari tersebut kini tiba ke kemuncak pada malam harinya dengan dengan majlis perasmian penutupan yang telah diserikan dengan kalam daripada Yang Dipertua BKAWM dan ucapan perasmian penutup dari Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan Ustaz Ahmad Fadli bin Adam. Beliau berharap semua mahasiswa/wi yang baru dapat mengambil ilmu dan manfaat dari Hari Tautan Ukhuwah yang telah berlangsung. Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid dari mahasiswa baru.


Akhir sekali , semoga dengan pengisian Hari Tautan Ukhuwah sedikit sebanyak dapat mencapai matlamat dan objektif yang telah disusun selaras dengan tema pembawaan USMB ’16. Semoga dengan kehadiran mahasiswa/wi baru yang hadir ke bumi Mesir ini memberikan kita semangat baru dalam menuntut ilmu di bumi Anbiya’ ini.


“Perintis Cemerlang, Kesatuan Gemilang” 
“Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kesatuan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

[ RISALAH KEMPEN BIL 03: RUMAHKU SYURGAKU ]


BIL 03  : RUMAHKU SYURGAKU

Sebagaimana kita semua sedia maklum, Kempen Rumahku Syurgaku adalah sebuah kempen yang telah dilancarkan di bawah Lajnah Kebajikan dan Perumahan. Kempen ini merupakan program tahunan sepanjang sesi, bermula daripada awal sesi sehinggalah akhir sesi kepimpinan. Tujuan kempen ini dijalankan adalah untuk memastikan setiap rumah, sama ada di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan mahupun rumah-rumah sewa, sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, ceria dan mempunyai persekitaran yang baik.

Tema yang dibawakan bagi kempen untuk sesi ini adalah "Kebersihan Dilestari, Ukhuwah Terpatri". Secara umumnya yang dapat difahami daripada tema ini ialah melalui penjagaan kebersihan, suasana kekeluargaan dapat diwujudkan. Demi merealisasikan tema kempen ini, Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Perumahan (LKP) BKAWM sesi ini telah pun menggariskan beberapa objektif sebagai kayu ukur untuk mencapai taraf "Rumahku Syurgaku" seperti yang diimpikan, iaitu;

1) Meningkatkan kebersihan dan keselesaan kediaman ahli BKAWM.

Memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas dan teratur. Dalam hal ini, setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan kekemasan dan kebersihan rumah sentiasa berada di tahap yang memuaskan sesuai dengan status sebagai seorang mukmin sejati dan selari dengan maksud kebersihan yang digariskan Islam. Islam itu agama yang bersih dan menganjurkan penganutnya untuk menjaga kebersihan. 

Suasana yang bertentangan dengan hal ini tidaklah memberikan apa-apa faedah kepada kita melainkan keburukan. Tempat yang kotor akan menjadi sarang syaitan. Maka, mulalah ahli yang menginap di kawasan yang kotor itu diserang sikap-sikap negatif seperti malas, tidak bersemangat, suka melepak, banyak membuang masa dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung suasana yang tidak kondusif tadi telah mengubah sebahagian cara hidup kita ke arah yang lebih pasif dan negatif.

2) Mewujudkan suasana biah solehah di rumah sewa dan asrama.

Sebagai seorang mukmin yang proaktif, kita perlulah hidup dalam suasana yang baik dan terpelihara. Sesuai dengan usul pembawaan BKAWM sesi ini iaitu “Memperkasa biah solehah dalam kalangan ahli”, maka LKP juga turut menyelitkan objektif yang sama bersama kempen ini sebagai interprasi ke dalam kehidupan seharian. Setiap individu perlulah berganding bahu dan saling mengingatkan di antara satu sama lain berkenaan hal-hal kebaikan. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud, "Iaitu orang-orang yang beriman dan melalakukan amal soleh, sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran." (Surah al 'Asr : 3)

Persekitaran yang baik boleh diwujudkan dengan cara mengamalkan gaya hidup Islam sebenar. Seorang mukmin yang baik tidak akan rela melihat saudara seakidahnya terus leka dibuai angan-angan kosong, hanyut dalam dunia fantasi dan sikap bermalas-malasan dalam beribadah. Sekiranya waktu solat telah masuk, sama-samalah ajak ahli rumah kita turun solat berjemaah di surau atau masjid berhampiran, mengajak sahabat kita membaca Alquran dan sebagainya. 

Suasana proaktif juga dapat diwujudkan melalui pengamalan nilai akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, menghidupkan sunnah baginda di dalam rumah, menghiasi rumah dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dan sebagainya. Seterusnya, menjaga lidah dari berkata perkara-perkara dusta dan sia-sia apatah lagi mengeluarkan kata-kata tercela. Dengan mengamalkan cara hidup Islam yang menyeluruh, maka persekitaran yang baik dapat diwujudkan di dalam rumah seterusnya menjadikan rumah tersebut dibanjiri dengan rahmat Allah SWT.

3) Mengukuhkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKAWM.

Sekiranya seseorang itu faham akan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ahli rumah, maka secara tidak langsung hubungan sesama ahli rumah dapat dieratkan sebagai sebuah keluarga seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sesama ahli BKAWM. Culas dalam melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai ahli rumah akan mendorong kepada keretakan ikatan ukhuwah. Justeru akan ada yang terasa hati, memendam marah dan seterusnya ada yang mula menyendiri kerana tidak tahan dengan situasi yang tidak selari dengan kehendak yang sepatutnya. Jika masing-masing melaksanakan tugasnya dalam rumah tersebut seperti yang telah disepakati, maka perkara ini tidak akan berlaku. Oleh itu, setiap individu perlu sematkan dalam diri, rasa tanggungjawab dan cakna dengan keadaan rumah masing-masing.

Begitulah serba sedikit pencerahan berkaitan objektif untuk kempen ini. Sama-samalah kita menjadi seorang mukmin yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran, kerana Allah SWT sangat suka hambanya yang bersih. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersih" ( Surah al Baqarah : 222). 

Kesimpulannya, menjaga kebersihan itu adalah sebuah tanggungjawab, dan bukannya hobi semata-mata. Kerana hakikatnya ia adalah tuntutan syariat bahkan pembuka kepada segala ibadah. Maka, jika kita ingin segala pekerjaan seharian kita dinilai sebagai ibadah, maka mulakanlah dengan pembersihan jiwa, diri dan persekitaran. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan membersihkan kita dari segala sifat negatif.

'Clean for healthy life.' 

Nukilan:
Mior Ahmad Fitri Bin Mior Shahridan
Kuliah Usuluddin, Tahun 2


Disediakan oleh:
UNIT KHIDMAT BAKTI
LAJNAH KEBAJIKAN DAN PERUMAHAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR
SESI 2015/2016

[ RISALAH AL-HIKMAH Bil 01: UMMAH MEMANGGILMU, SAUDARAKU! ]



Bil 01: Ummah Memanggilmu, Saudaraku!

“Ibu, ibu! Budak Syria ini mahu mengambil anak patung saya!” jerit Meryam, sambil berlari ke belakang ibunya, memeluk kuat. Meryam mengintai dari ekor matanya anak Syria itu. Geramnya bukan kepalang. Ibu baru sahaja menghadiahkannya patung itu, sempena keputusan peperiksaannya yang cemerlang tempoh hari. 

“Mudah-mudah saja mahu meminta, hish!” rengusnya.

Ibunya hanya memandang, lantas mengeluarkan sekeping syiling dari dalam dompetnya dan dihulurkan kepada anak malang itu. Anak Syria itu, seusia anaknya barangkali. Anak perempuan, dalam 8 tahun, kulitnya pucat, matanya cengkung, bibirnya bergetar menahan kesejukan bumi Turki. Senyum anak itu mengambil wangnya, sambil melafazkan syukur dan terima kasih.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berbicara tentang situasi yang sedang melanda masyarakat islam di seluruh dunia sememangnya tidak akan berkesudahan. Ketika mula menaip artikel ini, hadis nabi yang sering kita dengar kembali terngiang-ngiang di telinga, digambarkan keadaan umat akhir zaman ini dengan begitu teliti oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

“Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya manusia menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Baginda menyambung, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”
HR. Ahmad, al-Baihaqi, Abu Dawud No 3745

Menelusuri konflik yang sedang ganas membaham masyarakat beragama Islam di seluruh dunia sememangnya membuatkan kita sedih juga keliru. Sedih kerana tiada kuasa daya upaya untuk membantu. Keliru kerana berita yang sampai melalui lembaran media belum tentu benar, malah dijungkir-balikkan supaya kebenaran tidak tersingkap. Maka, watak antagonis yang bertopengkan manusia terus bebas terselamat, sedang yang lemah dijadikan kambing hitam untuk mengaburi muslihat mereka.

Bumi Syria kini sudah umpama padang jarak, padang tekukur. Tanah perang. Malah, ditambah pula dengan dingin musim sejuk yang terus menggigit. Rakyat marhaen menjadi pelarian. Dibaluti baju-baju usang di khemah-khemah yang dibina atas ehsan. Sedangkan dahulu, mereka punya rumah, harta dan segala bentuk kekayaan. Inilah yang berlaku apabila kuasa-kuasa besar semakin rakus membina kekuatan yang kononnya melambangkan kedudukan masing-masing di mata dunia. 

Perang sivil di Syria menyebabkan rakyatnya sudah putus harap, dan mencari jalan untuk meneruskan hidup di negara lain. Namun, tidak semua berjaya tiba ke destinasi. Ada yang gagal, tersungkur syahid, tenggelam di lautan dan pelbagai lagi kisah duka mereka. Jasad kaku adik Aylan Kurdi masih segar di ingatan kita, terbaring di pantai laut Turki, sebagai satu bukti betapa besarnya dugaan yang mereka lalui.

Campur tangan negara-negara asing berkuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Arab Saudi, Iran dan Turki nampaknya tidak mampu meredakan perang di Syria. Anggota tentera yang diupah dan dijenamakan dengan Islamic State (ISIS) pula menjadi bara api yang berterusan menghangatkan suasana.

Sengaja penulisan ini memfokuskan konflik di bumi Syria bagi memberi gambaran akan situasi yang melanda umat Islam kini, serta permainan yang sedang dijalankan oleh pihak kuasa besar dunia. Menjadi suatu tanggungjawab terpundak di bahu kita, bukan sahaja sebagai mahasiswa, tetapi selaku manusia untuk mengambil tahu akan nasib saudara seagama. 

Manusia. Diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah yang Maha Esa. Pastinya punya tugas yang lebih besar selain belajar dan bekerja semata-mata. Masa lapang sewajarnya kita manfaatkan bagi membantu sesama jiran tetangga, sahabat, saudara-mara malah saudara seakidah walau di mana mereka berada. Bukankah mukmin itu bila disepadukan umpama bangunan yang tersusun kukuh? Bukankah kita umpama batu-bata yang diperlukan untuk membinanya? Mengapa masih lalai, saudaraku?


Umat Islam di dunia bermula dengan belasan manusia yang beriman dengan baginda Nabi Muhammad SAW ketika awal penurunan wahyu. Kini, jumlahnya sudah menjangkau puluhan malah ratusan juta. Bagaimana jelasnya visi baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan dakwah Islam serta membina kekuatan sebuah empayar Islam yang digeruni. Pepatah yang biasa kita dengar, umat Islam kini sedang berada dalam tidur yang nyenyak, bermimpikan dunia yang penuh kenikmatan, berbantalkan emas permata, bersayapkan wang kertas. Bilakah agaknya kita akan terjaga dari mimpi itu, bangkit dari tidur yang panjang, keluar dari buaian iblis?

“Bicara memang mudah, saudara? Mahu laksanakan bagaimana?”bisik suara dari dalam kepala.

Menguasai isu semasa sebagai langkah pertama. Maka, wajibkan diri membaca. Tidak ada masalahnya jika melayari internet 24 jam sehari jika itu dapat menambah pengetahuan kita dalam isu semasa, bukan sekadar untuk membaca tentang haiwan peliharaan dan resepi masakan. Kuasai bahasa asing, seperti Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Malah, baginda Rasulullah SAW pernah memerintahkan seorang sahabat untuk menguasai bahasa pertuturan musuh bagi memudahkan strategi penyebaran Islam pada ketika itu. 

Masa yang terluang isilah dengan aktiviti berfaedah berbentuk sukarelawan dan kemasyarakatan. Libatkanlah diri dengan persatuan-persatuan yang baik dan bermanfaat untuk meningkatkan potensi dan kemahiran diri. Pembinaan jati diri muslim yang berwawasan perlulah bermula dari diri sendiri. Bacalah dan kutiplah motivasi dari sejarah tokoh-tokoh gerakan Islam yang begitu cekal berjuang mempertahankan agama dan saudara seakidah dari didominasi musuh-musuh Islam. 

Umat Islam seluruh dunia sedang memanggil kita dengan suara yang semakin sayup, cuba untuk mengejutkan kita yang terus leka menghabiskan saat kehidupan dengan kemewahan. Kemewahan yang bakal menjadikan kita bukan dari kalangan baginda Rasulullah SAW kerana malasnya kita untuk mengambil berat akan nasib saudara seagama yang diuji setiap saat dan ketika. Kemewahan yang bakal menjerumuskan kita ke lembah kehinaan di akhirat kelak, bila ditanya oleh anak-anak kecil Syria dan Palestin di hadapan Allah. Ayuhlah anak muda, usah bazirkan masa, marilah bersama sama mengangkat tangan dan mendoakan kesejahteraan saudara saudara kita ini.



DISEDIAKAN OLEH:
UNIT KHAS SAINS KESIHATAN
UNIT PENDIDIKAN DAN PENGETAHUAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR (BKAWM) SESI 2015/2016

[ BERITA:IHTIRAM '16 RAMADAN BULAN TARBIAH ]



KAHERAH, 5 Jun 2016 – Saban tahun kehadiran bulan Ramadan sentiasa dinanti oleh seluruh umat Islam di dunia, sehubungan dengan itu, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan program bagi memenuhi Ramadan anak-anak Wilayah pada kali ini dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang bermanfaat. Ihya‟ Tarbawi Ramadan 2016 (IHTIRAM '16) kali ini telah bermula pada 5 Jun 2016 dengan program Bicara Ambang Ramadan yang disampaikan oleh saudara Muhammad Hafiz bin Rasimi, Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) pada sebelah petang, dan diteruskan pula pada sebelah malam dengan Majlis Perasmian yang telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Fadhli bin Adam, Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Antara objektif program IHTIRAM '16 pada kali ini adalah untuk mengamalkan dan menghayati sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan. Selain itu, IHTIRAM '16 juga adalah sebagai medan kepada ahli untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.Tambahan pula, IHTIRAM '16 dilihat mampu menjadi medium kepada ahli dan masyarakat untuk melakukan amal kebajikan sepanjang bulan Ramadan, lantas kesemua objektif ini mendorong kepada peneguhan ukhuwah dan tali kesatuan antara ahli.

Bagi menjayakan keseluruhan objektif tersebut, pelbagai pengisian Ilmiah dan bermanfaat yang telah dihidangkan dalam IHTIRAM '16. Sebagai contoh, pada 9 Jun 2016, Wacana Kesihatan yang bertajuk “Menyanggah Mitos Rawatan Kesihatan” oleh saudara Ilman bin Abdul Razak, Ketua Penasihat BKAWM sesi 2015/2016. Manakala pada 13-15 Jun 2016, Daurah Fiqh Musafir dan Fiqh Saum oleh saudara Syed Ahmad Ridhwan bin Syed Md Zain telah membuka minda ahli-ahli BKAWM tentang segenap hukum hakam berkaitan musafir dan puasa. Pengisian diteruskan lagi pada 18 Jun dengan Bengkel Sony Vegas di bawah kendalian saudara Muhammad Syakir bin Mohd Rosnan, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2015/2016. Pengisian seterusnya adalah pada 21 Jun 2016 iaitu Ceramah Nuzul Quran dan Badar Kubra yang disampaikan oleh Presiden PERUBATAN sesi 2016/2017, saudara Muhammad Ikraam bin Abdul Latif. IHITIRAM ‟16 pada tahun ini diserikan lagi dengan Tazkirah Ramadan Khas oleh Ustaz Syafiq Zulakifli, lepasan Ijazah Sarjana Muda kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar (2009) pada 23 Jun 2016 yang telah menyemarakkan semangat anak-anak Wilayah Persekutuan dalam pemburuan mencari Lailatul Qadar. Khusus buat para mahasiswi pula telah diadakan Daurah Linnisa‟ : Tafsir Surah An-Nur pada 28Jun yang telah dibentangkan oleh saudari Nasuha Husna binti Mohd Nordin, Penasihat Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT).

Tidak terhad kepada pengisian ilmiah semata-mata, pelbagai aktiviti lain yang mampu menyempurnakan objektif program telah direncana. Antara aktiviti menarik sepanjang IHTIRAM '16 ialah, Masjid Hopping, Khidmat masyarakat, Qiamullail, Iftar Jamaie dan Mahabbah, Syantah Ramadan, Maidah Rahman, Bake-off yang telah dipimpin oleh Puan Rakina binti Li, isteri Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan. Meskipun dengan pelbagai aktiviti ini, aktiviti harian sepanjang Ramadan tetap dilaksanakan juga seperti Solat Tarawih, Moreh, Pantauan Borang Mutabaah Amal, dan Tadarus Al-Quran yang telah diadakan Majis Khatam Al-Quran pada 4 Julai yang lalu.

IHTIRAM '16 yang telah pun melabuhkan tirainya mendoakan agar amalan-amalan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang Ramadan dapat dikekalkan dan diterima Allah SWT.


"Tarbiah Ramadan, Pemangkin Jiwa Insan"
"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


[KALAM PIMPINAN TIMBALAN UNIT KEMASYARAKATAN, SUKAN DAN REHLAH: MANFAATKAN CUTI KULIAH]

[KALAM PIMPINAN TIMBALAN UNIT KEMASYARAKATAN, SUKAN DAN REHLAH: MANFAATKAN CUTI KULIAH]

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas rahmat dan kasih sayangNya, dapat kita merasai segala nikmat yang ada di dunia ini, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, para keluarga dan sahabat kerana tingginya semangat perjuangan mereka dapat kita lihat Islam itu tertegak sehingga hari ini.


Baginda bersabda :

اغتنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَحَيَاَتكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk dan masa hidup sebelum tiba masa mati.”

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi):

Seringkali kita merasa tidak cukup masa kerana banyaknya tanggungjawab. Allah menjadikan sehari 24 jam dari mulanya diciptakan dunia sehingga hari ini. Sepertimana yang kita ketahui sahabat baginda Anas bin Malik RA dapat meriwayatkan 2286 hadis dalam tempoh 20 tahun, dan baginda Rasulullah SAW dapat membangunkan Islam yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini dalam masa 23 tahun dengan 24 jam sehari yang Allah kurniakan sama seperti kita. Tiada sesaat pun daripada masa mereka yang dibazirkan.

Maka hendaklah kita merancang dan menyusun masa lapang kita dengan baik, isi dengan perkara-perkara yang bermanfaat agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi. Seperti yang disebutkan di dalam Al-quran:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan melakukan amal kebaikan, serta mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.”

Masa berlalu dengan amat pantas. Sesungguhnya masa tidak dapat diundur kembali walaupun baru seminit ia berlalu pergi. Imam Syafie ada menyebut, "Yang paling jauh bukannya bintang, matahari dan bulan. Tapi adalah masa yang telah berlalu dan tidak mungkin akan kembali. Semalam yang luput menjadi kenangan, semalam yang terluput mengukir sesalan. Yang ada hanya hari ini dan yang akan datang. Gunakan hari ini sebaik mungkin. Kerana esok belum pasti milik kita. Sedangkan semalam telah pergi buat selama-lamanya."

Akhirnya, isilah waktu cuti yang berbaki ini dengan ilmu, amal dan perkara-perkara yang bermanfaat sebelum datangnya tanggungjawab lain yang akan membataskan masa kita. Harapan saya juga agar dapat kita bersama-sama menjayakan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh BKAWM. InsyaAllah setiap aktiviti dan program yang dianjurkan memberi manfaat. Marilah kita sama-sama menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Wallahua’lam.



Nur Aeni binti Mohamad,
Timbalan Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah,
BKAWM Sesi 2015/2016.

"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

[RISALAH MU'MEN: SIFAT DERMAWAN SIFAT TERPUJI]



Sifat Dermawan, Sifat Terpuji

عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمْ يَقُوْلُ: لاَ حَسَدَ اِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ. رَجُلٌ آتَاهُ اللهُ مَالاً فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى اْلحَقّ. وَرَجُلٌ آتَاهُ اللهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِى بِهَا ويُعَلّمُهَا. (رواه البخاري)

Dari Ibnu Mas’ud RA, ia berkata, Nabi SAW pernah bersabda, “Seseorang tidak boleh iri (menginginkan), kecuali dua macam (iaitu) seseorang yang diberi kekayaan (harta) oleh Allah, lalu dipergunakannya semata-mata dalam perjuangan, dan seseorang yang diberi ilmu oleh Allah lalu digunakannya dan diajarkannya pada orang lain.” [HR. Bukhari ]

Ketahuilah bahawa antara ciri orang yang bersyukur ialah dia menyebarkan kebaikan atau kurniaan Allah SWT ke atasnya kepada yang lain. Nikmat harta boleh dikongsikan dengan menginfakkannya. Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah membuktikan kecintaannya kepada agama setelah menginfakkan seluruh hartanya, begitu juga sahabat-sahabat yang laara yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Sebagaimana yang dinyatakan pada hadis di atas, kekayaan itu merupakan kurniaan daripada Allah SWT dan Dia menginginkannya agar dimanfaatkan semata-mata untuk agama. Bahkan, dibolehkan merasa cemburu (Iaitu cemburu yang membawa kepada kebaikan) kepada mereka yang kaya dan sentiasa menginfak harta di jalan-Nya.

Teladan utama kita sebagai umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW telah jelas menunjukkan contoh ikutan yang terbaik. Semestinya sifat mulia ini terlebih utama bagi Rasul yang agung ini. Dari Musa bin Anas, dari bapanya berkata, “Tidak pernah Rasulullah SAW diminta sesuatu dalam Islam melainkan beliau pasti memberikannya.” (Anas RA) berkata, “Pernah datang seseorang yang meminta kepada baginda, maka baginda memberinya kambing yang berada di antara dua bukit. Maka, setelah orang itu kembali kepada kaumnya dia mengajak kaumnya dan berkata, “ Wahai kaumku, masuk Islamlah kalian, kerana Muhammad memberi pemberian yang sangat besar, seakan dia tidak pernah takut kemiskinan.” [HR Muslim]

Ini menunjukkan bahawa kedermawanan Rasulullah SAW tidak hanya dirasai oleh segelintir orang sahaja, akan tetapi dapat dirasakan oleh semua orang tanpa ada perbezaan bangsa dan agama. Bahkan bertambah-bertambah sifat dermawan Rasulullah SAW ketika mendekati bulan Ramadan. Para ulama’ menjelaskan antara perubahan amalan Nabi SAW pada bulan Ramadan, lebih-lebih lagi setelah bertadarus al-Quran bersama malaikat Jibril ialah bertambahnya sifat dermawan dalam diri baginda SAW. Membaca al-Quran dan memahami kandungannya mendorong baginda untuk semakin merasa cukup, dan bebas dari sifat tamak. Ditambah lagi pada bulan Ramadan, kurniaan Allah SWT kepada umat manusia berlipat kali ganda.

Sifat dermawan ialah satu sifat yang terpuji kerana ianya bertepatan dengan sifat yang ada pada diri insan yang terpuji, Rasulullah SAW. Dengan berinfaq, seseorang itu dapat mensucikan dirinya daripada sifat kikir dan cintakan dunia. Antara keajaiban infaq ialah setiap harta yang diinfak akan sentiasa dibalas berlipat kali ganda. Allah SWT juga akan menggantikannya dengan rezeki yang banyak dari arah yang tidak disangka-sangkakan. Maka, sangat rugilah mereka yang beralasan takut kepada kefakiran untuk tidak memberi kepada orang lain. 

Kesimpulannya, berikanlah dan penuhilah permintaan insan yang lain dengan menderma, bersedekah, menyumbang, mengeluarkan zakat dan sebagainya walaupun sedikit. Hal ini kerana ianya memiliki keutamaan yang sangat luar biasa. Walaupun kita bersedeqah dengan sebiji kurma, asalkan ianya diberikan dengan ikhlas. 

َ سَمِعْتُ عَدِيَّ بْنَ حَاتِمٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ
Dari ‘Adi bin Hatim RA, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebutir kurma.” [HR. Muslim]





Disediakan oleh:
Unit Khidmat Pelanggan dan Tugas-tugas Khas,
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2015/2016

Blogroll

Loading...