[ BERITA: REHLAH SOIFIAH MATRUH '16 ]



KAHERAH, 13 Ogos 2016- Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah (UKSR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2015/2016 telah menganjurkan program rekreasi iaitu Rehlah Soifiah Matruh 2016 (REST ’16). Program ini diadakan semasa musim cuti penghujung semesta 2015/2016 Universiti Al-Azhar, Kaherah bertujuan meraikan ahli BKAWM serta anak-anak Wilayah Persekutuan di Perlembahan Nil khusus untuk ikhwah sahaja yang tidak pulang bercuti di Malaysia. Disamping mengamati keindahan semulajadi, program ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman para peserta melalui tempat-tempat yang diziarahi serta dapat mengikat jalinan ukhuwah dalam kalangan ahli BKAWM.

    Program mula bertolak dari Asrama Wilayah Persekutuan (ARWP). Dalam perjalanan para peserta berhenti singgah untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid kemudian meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi untuk bersarapan di Kafeteria di pertengahan jalan. Perjalanan diteruskan lagi sehingga tiba di Pantai Agiba. Dengan kesedaran yang ada tentang kepentingan menjaga kebersihan, sambil bermandi-manda, para peserta membersihkan sampah-sarap yang timbul diatas air berdekatan dengan kawasan pantai sambil AJK Program membakar ayam untuk santapan tengah hari.

    Aktiviti di Pantai Agiba diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai. Program diteruskan lagi dengan melawat Hamam Cleopatra. Seusai mendengar pengisian berkenaan Hamam Cleopatra, para peserta meninjau dan mengamati kawasan tersebut. Perjalanan diteruskan lagi ke destinasi terakhir iaitu Suq Libya. Para peserta meninjau sekitar kawasan tersebut sambil membeli-belah kemudian berkumpul di Masjid berdekatan untuk berehat seterusya solat maghrib dan isyak secara berjemaah kemudian bertolak pulang ke kaherah.

    Pihak program berharap semoga aktiviti rekreasi pada kali ini dapat memberi manfaat dan pengalaman baru kepada para peserta serta dapat mengikat hati anak-anak Wilayah Persekutuan di Perlembahan Nil dan dipayungi rahmat Allah SWT.


“Alam Dinikmati, Ukhuwah Terpateri”
"Memperkasa kefahaman, Meneguh kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
“Satu Fikrah Satu Amal”

Blogroll

Loading...