[ RISALAH BIAH SOLEHAH: SOLAT JEMAAH ]



Solat berjemaah merupakan salah satu tuntutan penting dalam Islam. Solat berjemaah menzahirkan syiar Islam dan memupuk semangat kesatuan dalam kalangan orang Islam. Jika solat itu diwajibkan ke atas setiap Muslim, maka solat berjemaah pula seakan-akan ganjaran berganda untuk Muslim.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّی اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : صَلَاةُ الجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعِ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang dengan dua puluh tujuh kali ganda”. Riwayat Bukhari dan Muslim.


HUKUM SOLAT BERJEMAAH

Para ulama sangat menekankan kepentingan solat berjemaah, sekalipun mereka berkhilaf tentang hukumnya. Ada yang berpendapat hukumnya fardu ain seperti Imam Auzaiey, Atoa’, Ahmad, Dawuud az-Zohiri dan sebahagian ulama muhaddithin dari mazhab Syafie dan ada yang menganggapnya sebagai sunat muakkad dan Imam Bukhari juga menganggap solat berjemaah itu wajib.

Secara keseluruhannya, hukum solat jemaah adalah sunat muakkad ataupun fardu kifayah mengikut pendapat Imam al-Nawawi dan beberapa tokoh ulama lain dalam mazhab Syafie yang mana kewajipan tersebut mesti dilakukan oleh mukalaf tertentu dan dengan perlaksanaan mereka itu, maka terlepaslah kefarduan tersebut itu kepada yang lain.


TUNTUTAN  SOLAT BERJEMAAH

Seseorang muslim dilonggarkan untuk meninggalkan solat berjemaah sekali-sekala, tetapi tidak harus baginya untuk meninggalkannya secara berterusan, seolah-olah tidak ada sebarang ikatan antaranya dengan solat berjemaah dan juga masjid, walhal Rasulullah amat memberi perhatian terhadap solat jemaah di masjid.

Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah bersabda: “...aku ingin menyuruh supaya dikumpulkan kayu api dan dibawa kepadaku, lalu menyuruh supaya azan dan aku menyuruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka”
Riwayat Bukhari dan Muslim.

Pernah suatu ketika, Rasulullah SAW berhadapan  dengan seorang lelaki buta, Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya: Ada seorang lelaki buta datang mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia tidak ada orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu, dia mengharapkan baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk menunaikan solat di rumahnya. Pada mulanya Nabi SAW membenarkannya, namun kemudiannya baginda menarik balik kebenaran tadi setelah baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan yang dikumandangkan di masjid.

Orang buta pun tidak terlepas daripada tuntutan solat berjemaah inikan pula kita, insan yang cukup sifat. Amatlah rugi seandainya nikmat kesihatan yang diberi Allah itu masih tidak mampu untuk membawa kita solat berjemaah di masjid mahupun surau.


KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

Solat berjemaah dapat menghidupkan dan mengimarahkan masjid serta ia merupakan tanda keimanan seperti firman Allah SWT: “Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid ialah orang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat…” Surah at-Taubah: 18.

Sabda Rasulullah SAW: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”. Riwayat Ahmad dan Tirmizi.

Jelaslah, solat berjemaah sangat dituntut oleh baginda SAW dan disukai Allah SWT, dan kerana itu Allah memberikan pelbagai kelebihan dan fadilat yang besar kepada hamba-hamba yang mengerjakan solat berjemaah.

Ayuhlah kita merebut peluang ini untuk memperoleh ganjaran Allah yang tidak terkira dan tidak ternilai ini.


Disediakan oleh:
Unit Biah Solehah | Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2018/2019

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]