[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]


(وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ)
[Surat al-Baqarah 30]

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Tugas sebagai seorang khalifah adalah sangat besar. Kerana tanggungjawab untuk melaksanakan syariat Allah akan ditentang habis-habisan oleh musuh-musuh Islam. Namun, kita sebagai pemuda perlu berjiwa besar dalam berhadapan musuh-musuh Islam. Sebagaimana yang pernah disebut oleh saidina Ali r.a:

Jika kamu mahu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A

Daripada kata-kata Saidina Ali r.a. telah menunjukkan bahawa, jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan pemuda masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang. Ironinya, remaja kini dikenali sebagai ‘Generasi Z atau Alpha’, semakin hari semakin tidak memahami tujuan hidup mereka sebagai manusia, malah sepanjang masa berada di media sosial. Bila seronok di media sosial akhir sekali ramai yang terjebak ke lembah gejala sosial yang tidak bermoral. Bersuka ria di kelab malam, terlibat dalam perlumbaan haram, penyalahgunaan dadah, seks rambang, minum arak, berzina dan sebagainya, seolah-olah ia menjadi rutin wajib bagi mereka.

Ditambah lagi budaya Barat tidak henti- henti meluru masuk, mahu ‘membunuh’ jiwa-jiwa ‘murni’ ini dengan racun hedonisme, sekularisme, liberalisme dan bermacam-macam lagi ideologi. Mereka diburu dari segenap arah pemikiran, pakaian, pergaulan, hiburan dan cara hidup. Tanpa kita sedar, musuh-musuh Islam sering mengintai-intai segenap ruang dan peluang untuk memesongkan pemuda pemudi Islam jauh dari landasan dan syariat Islam yang sebenar.

Andai tiada pertahanan yang kuat, mereka akan tersungkur rebah dalam semua ‘serangan’ tersebut. Gagasan hidup akan hancur, malah hanyut dibawa arus dan deras globalisasi yang menyesatkan. Fenomena ini bukan lagi asing, bahkan telah menjadi darah daging kita, yang mana sukar untuk dihapuskan. Kesannya, pemuda pemudi Islam hidup dengan tidak berlandaskan syariat, bahkan mengikut corak kehidupan Barat. Buktinya, masih ramai yang menyibukkan diri dengan perkara-perkara lagha (lalai), jauh dari tujuan hidup di atas muka bumi ini.

(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)
[Surat At-Tawbah 71]

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Tidak dapat disangkal lagi pemuda-pemudi Islam mesti bekerjasama dalam menyebarkan agenda dakwah kepada semua masyarakat.

Menelusuri sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh, sebaik-baik raja dan mempunyai sebaik-baik tentera, menakluki Kota Konstantinopel (Istanbul) ketika remaja, seawal umur 21 tahun sehingga berjaya membuktikan hadis Nabi S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:

”...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kemudian, bergegak gempitalah seluruh umat Islam ketika itu, hadis Baginda S.A.W ternyata benar, wilayah Islam kian menyinar. Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh. Hanya Sultan Muhammad Al-Fateh sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud dan rawatib sejak baligh sehingga saat beliau meninggal dunia. Pemuda-pemuda itu telah pun membuktikannya. Ternyata, barisan pemuda juga adalah penjulang panji-panji Islam satu ketika dahulu. Adakah kita tidak pernah menoleh ke belakang sebentar? Belajar dari sejarah, agar nanti kita juga bakal mencipta sejarah yang juga megah. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk sebuah kemenangan yang diimpikan semua masyarakat Islam terutamanya.

(وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ)
[Surat al-Anfal: 60]

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Justeru, pemuda pemudi haruslah mempunyai jati diri yang teguh berpaksikan aqidah yang mantap dan bersifat dengan akhlak yang terpuji merupakan asas dan kekuatan utama ke arah tertegaknya masyarakat Islam seterusnya negara yang berpaksikan dengan syariat Islam. Di samping itu, mereka juga mampu ‘bertahan’ ketika persekitaran cuba menekan dan mempengaruhi dari segenap pelusuk dan arah supaya musuh-musuh yang cuba meracuni akal fikiran dapat dipertahankan dengan sebuah benteng yang kuat, bernama iman dan takwa.

(وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ)
[Surat Ali-Imran: 104]

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Ia merupakan kewajipan kepada seluruh umat Islam memahami tujuan dan matlamat perutusannya ke atas muka bumi ini selaku hamba kepada Allah S.W.T untuk melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar sekaligus merangkap khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi.

Syarat untuk pemuda mengubah masa depan negara mesti mengubah satu per satu. Ulama telah memberikan garis panduan kepada kita supaya mudah untuk kita laksanakan syariat Islam diatas muka bumi Allah S.W.T. Antaranya :

1. Peribadi Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khilafah Islam
7. Memimpin Alam

Jika benar-benar kita aplikasikan garis panduan ini. InsyaAllah mudah kita laksanakan syariat Islam satu per satu.

Akhir sekali marilah kita bersama-sama menjadi seorang pemuda (Azhari) yang dapat melaksanakan perintah Allah di atas muka bumi khususnya di negara tahah air Malaysia melalui wasilah dakwah Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM).

Disediakan oleh:

LUQMAN HAKIM BIN HJ KAMARUDDIN
Timbalan Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]