[ KALAM PIMPINAN: KEWAJIPAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR ]
Allah SWT berfirman:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah ali-Imran: 104)
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menetapkan bahawa tugas menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar adalah fardhu kifayah kepada umat Islam. Apabila hukum ini dicuaikan, maka akan berdosalah seluruh umat itu.
Tugas berdakwah, iaitu menyeru manusia ke jalan Allah dan menjauhi jalan-jalan syaitan adalah tugas seluruh manusia. Namun, yang diberatkan untuk tugas ini adalah golongan ulama atau orang-orang yang berilmu. Sementara bagi masyarakat umum pula, menjadi kewajipan bagi mereka untuk belajar dan berusaha menambah pengetahuan Islam.
Justeru, pentingnya amar makruf nahi mungkar ini sehinggakan Allah akan menurunkan bala kepada mereka yang mencuaikannya. Dalam sejarah telah tercatat, seorang sahabat, Ibnu Abbas r.a bertanya kepada Rasulullah SAW:
"Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun di dalamnya terdapat orang-orang yang soleh?
Rasulullah SAW menjawab, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhakai Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya. Begitu sekali kepentingan melaksanakan amar makruf nahi mungkar bagi orang-orang Islam. Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa, maka hendaklah dicegah dengan lisan, jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Ertinya kerja amar makruf nahi mungkar ini perlu dibuat oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan perbuatan mungkar dan perlu mencegah dengan cara apa sekalipun. Hinggalah apabila tidak mampu, ia mesti membenci perkara mungkar. Kebencian seumpama itu disifatkan oleh baginda sebagai tahap iman yang paling lemah. Bagaimana jika seseorang itu melihat kemungkaran yang berleluasa di depan matanya tanpa rasa benci sedikit pun? Mungkin ini menunjukkan tiada iman langsung dalam diri manusia itu. Kita berlindung kepada Allah agar dijauhkan perangai sedemikian rupa.
Oleh itu, amar makruf nahi mungkar tidak boleh dipandang remeh dan dicuaikan. Namun, pelaksanaannya memerlukan adab-adab yang perlu dipatuhi. Ianya mesti dipenuhi dengan hikmah dan bijaksana serta tidak boleh mencari kesalahan orang lain.
Allah Taala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim: 6)
Ayat ini menjelaskan kewajipan setiap individu agar menghindari dosa dan kemungkaran yang boleh menjerumuskan mereka dan keluarga ke dalam api neraka. Usaha membaiki diri dan keluarga serta mendekatkan diri kepada Allah dan mencegah dari segala bentuk kemungkaran mestilah dilaksanakan oleh setiap yang beriman.
Kini, berbagai kemungkaran telah berlaku di hadapan mata kita. Ia telah melanda masyarakat dalam semua peringkat khususnya di Mesir, iaitu keruntuhan akhlak dan moral seperti berkedudukan, merokok, dadah, zina dan sebagainya.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menjadikan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sebagai medan untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Semoga dengan usaha kecil ini dapat meraih rahmat dan reda dari Allah SWT.
Disediakan oleh:
LUQMAN HAKIM BIN HAJI KAMARUDDIN,
Timbalan Yang Dipertua BKAWM sesi 2018/2019
"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment