[ KALAM PIMPINAN: KEBAJIKAN DAN KESATUAN SATU TUNTUTAN ]


Bismillahirrahmanirrahim

   Segala puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan nasihat sebagai wasilah ukhuwah Islamiah antara orang mukmin. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan besar dan sebaik-baik pemberi nasihat untuk sekalian alam iaitu Nabi Muhammad SAW utusan yang terakhir, dan ke atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya yang diredai Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman:

وَجَعَلۡنَٰهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا وَأَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡهِمۡ فِعۡلَ ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّكَوٰةِۖ وَكَانُواْ لَنَا عَٰبِدِينَ

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

Surah Al-Anbiya, ayat 73

   Perkataan kebaikan (al Khair) atau kebajikan kerap disebut dalam al Quran dan al Hadis. Cuma kadang-kadang ia disebut dengan perkataan yang sinonim dengannya seperti perkataan al-Birr, al-Ihsan, al-Rahmah, al-Sadaqah , Tafrij al-Kurbah, Ighathah-al Malhuf dan sebagainya.

   Pendek kata, terdapat berbagai firman Allah SWT dan hadis Rasullullah SAW yang menyuruh umat Islam berbuat perkara kebaikan dan kebajikan sama ada dari sudut pertuturan, perbuatan, jihad dan sebagainya.

   Tuntutan bertutur dengan perkataan yang baik ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 83:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْناً

Maksudnya: Bertuturlah kepada orang lain dengan pertuturan yang baik

Dan hadis:

"مَن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقُل خيرا أو ليصمت"

Maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia bercakap perkara yang baik atau dia berdiam diri sahaja."

Arahan melakukan kebaikan ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 77 yang berbunyi:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Buatlah perkara yang baik mudah-mudahan kalian akan berjaya

Hadirin yang dihormati sekalian,

   Islam adalah agama kebajikan. Pengajarannya adalah untuk merealisasikan kedamaian dan kebaikan untuk semua makhluk. Terasnya adalah usaha untuk menegakkan kebenaran. Sebab itulah ia menjadikan usaha berbuat kebaikan adalah sejajar dengan kewajipan dalam menobatkan kebenaran.

   Dalam pola pemikiran Islam nilai al-Haq (kebenaran) sangat berganding rapat dengan al-Khair (kebaikan atau kebajikan). Dua nilai utama ini merupakan matlamat penting yang mesti menjadi kewajipan umat Islam untuk dilaksanakan. Tanpa kebenaran, sebuah perjuangan akan menyimpang ke kancah kebatilan. Tanpa kebajikan pula, sebuah perjuangan akan menjadi gersang dan tidak berupaya membawa kepada apa-apa kebaikan.

Matlamat utama agama Islam adalah untuk merealisasikan kebaikan ke dalam diri, keturunan, akal, harta dan nama baik .Sebab 0itulah para ulama muktabar telah merumuskan Maqasid al-Syariah merangkumi aspek-aspek perlindungan kepada agama, nyawa, zuriat keturunan, akal waras dan juga harta.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dari segi aspek kesatuan pula, Allah S.W.T telah berfirman:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.”
(Surah Ali-Imran: Ayat 103)

Imam al-Qurthubi berkata tentang tafsir ayat ini, “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kesatuan dan melarang dari perpecahan. Kerana sesungguhnya perpecahan itu merupakan kebinasaan manakala al-Jama’ah (kesatuan) itu merupakan keselamatan.”
(Al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an : 4/159)

Oleh yang demikian, dalam apa jua perkara, tidak dapat tidak mesti kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Amat penting dikalangan umat Islam untuk bersatu dan mengukuhkan kesatuan umat Islam yang telah sedia ada. Jika umat Islam benar-benar menitikberat perkara ini, maka mereka akan hidup bersaudara dan tidak meniupkan api permusuhan dan persengketaan sesama umat Islam yang lain. Hakikatnya setiap muslim itu memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. Bertepatan dengan sabdaan Baginda Muhammad S.A.W di dalam sebuah hadis yang masyhur:

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا ثُمَّ شَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

"Seorang mukmin terhadap orang mukmin yang lain seperti satu bangunan, sebahagian mereka menguatkan sebahagian yang lain, dan beliau menjalin antara jari-jarinya."

Sidang pembaca sekalian,

Sebagai kesimpulan, kebajikan dan kesatuan adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Umat Islam harus berganding bahu dalam menjayakan misi ini secara bersama-sama supaya perlaksanaan kebajikan dan kesatuan sentiasa diadaptasikan di dalam kehidupan seseorang mukmin mahupun masyarakat. Bertepatan juga dengan pembawaan BKAWM pada sesi kali ini, ingin melebarluaskan capaian kebajikan kepada anak-anak Wilayah Persekutuan secara amnya dan kepada ahli BKAWM secara khususnya agar matlamat kesatuan dapat dibina secara harmoni sejajar dengan tuntutan Islam itu sendiri.

"Solusi Bersama Islam"

Disediakan oleh:
AHMAD AMIRUDDIN BIN AHMAD SHUKRI
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
sesi 2019/2020

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]