[ KALAM PIMPINAN: RASULULLAH TELADAN SEPANJANG ZAMAN ]


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi nikmat iman dan Islam kepada kita dengan menjadikan wahyu serta hadis sebagai rujukan hidup dan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan terunggul sepanjang zaman.


Firman Allah SWT:


لَقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِىۡ رَسُوۡلِ اللّٰهِ اُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنۡ كَانَ يَرۡجُوا اللّٰهَ وَالۡيَوۡمَ الۡاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيۡرًا


Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengaharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah."

(Surah al-Ahzab: 21)


Mendepani arus kemodenan hari ini, salah satu perkara yang sulit ditemui bagi umat Islam adalah kehadiran role model atau teladan yang baik untuk dijadikan panduan dalam hidup kerana terdapat segelintir daripada umat Islam menjadikan beberapa tokoh yang mereka kagumi sebagai panduan hidup yang kita lihat personalitinya tidak bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah. 


Oleh itu, firman Allah SWT di atas menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah suri teladan yang terbaik sepanjang zaman bagi setiap manusia yang perlu kita jadikan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.  

 

Kedatangan Rasulullah SAW di muka bumi ini merupakan pesuruh Allah yang diutuskan kepada umat Islam seluruhnya. Baginda ialah orang yang paling sempurna dalam kalangan manusia dan merupakan qudwah yang terbaik kerana segala gerak gerinya adalah wahyu daripada Allah SWT. Segala yang keluar daripada mulut baginda, yang dilakukan olehnya dan yang ditaqrirkan olehnya merupakan wahyu daripada Allah SWT. Baginda juga dikenali dengan sifat wajib yang lazim kita ketahui iaitu jujur, amanah, menyampaikan dan bijaksana malah jika kita telusuri lembaran sejarah Nabi Muhammad SAW, baginda merupakan contoh teladan dalam segala aspek kehidupan baik dalam ruang lingkup peribadi, keluarga dan masyarakat.


Sebagai umat Islam, antara teladan Nabi Muhammad SAW yang perlu kita pasakkan dalam jiwa serta menjadikannya sebagai prioriti dalam kehidupan ialah:


1. Teladan sebagai seorang pemimpin iaitu adil dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah seperti perletakan semula hajarul aswad dan sabar dalam menyampaikan risalah Islam walaupun baginda dicemuh dan disakiti oleh penduduk Mekah ketika itu. Di sebalik kesibukan sebagai seorang pemimpin, baginda juga dikenali sebagai seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dengan tidak membiarkan isterinya menguruskan rumah sendirian dan memberi didikan Islam sepenuhnya terhadap anak-anak.


2. Salah satu bentuk pengamalan yang baginda lakukan ketika bermuamalah atau berinteraksi dengan manusia ialah berlemah lembut sehingga ia memberi kesan terhadap pengikutnya yang terdiri daripada golongan bukan Islam menjadi tertarik dengan Islam. Maka dengan itu, Islam mengajar umatnya bersikap lemah lembut dalam berdakwah agar risalah Islam terus tersebar luas di muka bumi.

Firman Allah SWT:


ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ


Maksudnya: "Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (lemah lembut) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik”.

(Surah an-Nahl: 125)


 3. Teladan asasiah iaitu keteledanan Nabi Muhammad SAW dalam ibadah wajib dan sunat seperti solat, zakat, puasa, haji dan ibadah yang lain. Ia dapat digambarkan melalui hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dan sunah yang diajarkan oleh baginda seperti menghabiskan waktu malam dengan solat, zikir, membanyakkan selawat ke atas baginda agar mendapat syafaat di akhirat kelak dan galakan kepada umatnya untuk melakukan solat berjemaah kerana ia lebih baik daripada solat bersendirian.


وقال صلى الله عليه وسلم: صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Nabi SAW bersabda: “Solat berjemaah lebih utama daripada solat bersendiran dua puluh darjat”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)


Jika kita lihat pada hari ini, runtuhnya akhlak sebahagian umat Islam disebabkan pengaruh dari luar sehingga mengaburkan mata hati manusia untuk mengikut acuan Islam yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Meskipun baginda telah pergi meninggalkan kita, malah teladan yang ditinggalkan menjadi lentera penerang buat umat Islam dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran. 


Justeru itu, marilah kita menghayati lembaran sirah Nabi Muhammad SAW yang menjadi bukti kesempurnaan akhlak baginda serta berusaha merealisasikan keteladan baginda dalam kehidupan sebagaimana petikan dalam firman Allah SWT:


‎وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya: "Apa saja yang Rasul berikan kepada kalian, terimalah. Apa saja yang Dia larang atas kalian, tinggalkanlah. Bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya."


(Surah al-Hasyr: 59)


Disediakan oleh: 

NUR ALIA FARHANA BINTI MOHD ZAKI,

Timbalan Lajnah Kebajikan dan Perumahan,

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020.


"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]