[ KALAM PIMPINAN: IRSYAD QIYADAH ]


[ KALAM PIMPINAN: IRSYAD QIYADAH ] 

بسم الله الرحمن الرحيم 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين 

Pertama dan utamanya kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad pesuruh Allah juga kekasih Allah. 

Mengajak kepada seluruh pembaca agar sama-sama kita merenung nikmat yang diperolehi pada hari ini. Mungkin ada daripadanya telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Juga ada yang tidak pernah pun dipinta, tetapi ia tetap hadir mencurah kepada kita. 

Sekilas pandang kelebihan yang diperoleh ini mungkin memberi kesan yang sedikit. Hakikatnya nilaian Allah itu telah dijanjikan bahawa baik buruk itu dinilai walaupun sekecil zarah sekalipun. 

Allah SWT telah berfirman dalam kitab al-Quran: 

وَلَوۡ أَنَّمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ مِن شَجَرَةٍ أَقۡلَٰمٞ وَٱلۡبَحۡرُ يَمُدُّهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦ سَبۡعَةُ أَبۡحُرٖ مَّا نَفِدَتۡ كَلِمَٰتُ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ 

Maksudnya: "Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Luqman: Ayat 27) 

Kekuasaan dan ilmu Allah itu tidak akan pernah cukup jika dikumpulkan seluruh tujuh lautan untuk mengungkapkannya. Betapa kayanya Allah yang Maha Kuasa ini yang mana adakah kita benar-benar beriman ataupun hanya terlintas di bibir kata. 

Coretan penulisan ini hanya secebis sahaja buat perkongsian kita bersama agar peroleh manfaat dan sandaran. Berkongsi dengan pembaca semua satu tajuk yang sangat signifikan buat umat Islam yang adat dan syariatnya pasti memerlukannya. 

Tajuk yang diberikan untuk dikupas serba sedikit iaitu Irsyad Qiyadah ataupun mudah kita fahami oleh kata itu adalah Petunjuk Kepemimpinan. 

Senario kehidupan manusia tidak mesti tidak adanya kumpulan atau kelompok. Pada kelompok itu pula mesti ada ketua atau pimpinan yang memimpin. 

Kadangkala pemimpin itu tidak perlu ada orang sekeliling pun untuk mentadbir. Namun, sudah memadai sekadar wujudnya diri sendiri untuk membimbing ke jalan yang benar. 

Tanggungjawab sebagai pemimpin itu sangatlah dititikberatkan seperti mana hadis nabi SAW yang masyhur berbunyi: 

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ 

Maksudnya: “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpin, penguasa yang memimpin manusia dia akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya, seorang lelaki (kepala keluarga) adalah pemimpin keluarganya dan dia diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya, dan seorang perempuan (isteri) adalah pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya dan juga anak-anaknya dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya, dan budak juga pemimpin terhadap harta tuannya dan akan diminta pertanggungjawaban terhadapnya. Ketahuilah, setiap kalian bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari) 

Apa yang dipimpin oleh kita semuanya akan dihitung dan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Dalam melaksanakan amanah-amanah ini amatlah dititikberatkan agar ditunaikan segala hak dengan panduan dan petunjuk yang betul. 

Petunjuk atau panduan yang dapat dikongsikan buat kita terlebih utama dipundakkan sebagai kepimpinan ini adalah: 

BERPANDUKAN WAHYU ALLAH SWT 

Sabda Nabi Muhammad SAW: 

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ 

Maksudnya: "Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya". 

Dua perkara yang diturunkan kepada nabi kemudian disampaikan kepada kita sehingga kini iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Segala petunjuk dalam melunaskan tanggungjawab serta melaksanakan syariat telah termaktub dalam dua wahyu agung daripada Allah SWT. 

Setiap perkara itu pasti ada cara-cara untuk melaksanakannya hatta barangan yang dibeli pun diselitkan sekali manual penggunaan bagi memudahkan untuk menggunakannya. 

Apatah lagi kehidupan di muka bumi ini yang tujuannya menggapai mardhatillah pasti ada panduan dan rujukan dalam menjalankan segala perintah Allah dan tinggalkan larangan-Nya. 

Apabila rujukan sebagai pimpinan itu baik, maka hasil dari kepimpinannya itu pasti akan baik kerana terpandu oleh wahyu yang tidak menyimpang daripada arahan Sang Pencipta. 

MERASAKAN 'IHSAN' DALAM SETIAP TINDAKAN 

Satu istilah yang mana perlu diterapkan dalam diri umat Islam umumnya dan buat seluruh yang memipin khususnya iaitu ihsan dalam ibadah mahupun kerja-kerja yang dilakukan seharian. 

Ihsan yang dimaksudkan adalah berpandukan daripada hadis Jibril iaitu: 

 فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ، قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ 

Dia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”. Nabi SAW menjawab, "Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” 

Kenapa perlu disematkan sikap ini dalam setiap tindakan? Agar kita merasai tindak-tanduk kita ini sentiasa diperhati dan akan dinilai. Justeru itu, pasti akan melaksanakannya dengan sehabis baik tanpa rasa leka dan lalai. 

Manusia yang sifatnya ingin dipuji dapat dikawal dengan adanya sikap ini kerana hanya pandangan Allah sahaja yang kita perlu utamakan. Yang penting adalah perkara itu benar di pandangan Allah walaupun tidak disukai di mata pandangan makhluk. 

MENJAUHI PERKARA YANG BOLEH MEROSAKKAN DIRI DAN AMANAH 

Pemimpin adalah lambang kepada sesuatu organisasi tersebut. Apa yang dilakukan oleh pimpinan akan memberi kesan sedikit sebanyak kepada apa yang dipimpin. 

Menjauhi dari segala perkara yang merosakkan diri atau mudah kata dosa dan maksiat sangatlah perlu dititikberatkan agar ia tidak menatijahkan hasil yang buruk buat diri dan sekeliling. 

Amanah yang digalas bukan permainan yang boleh suka-suka untuk memegangnya, akan tetapi perlu diamati sebaiknya supaya dapat dimanifestasikan ia tanpa sambil lewa. 

Perbaikilah diri dalam masa sama kita perbaiki masyarakat sekeliling kita seperti kata-kata:

أصلح نفسك وادع غيرك 

Maksudnya: "Perbaiki diri kamu dan mengajak juga selain kamu." 

Kita tidak boleh tunggu diri menjadi baik baru boleh laksanakan kepada masyarakat. Bahkan, ia bergerak seiring agar sama-sama dapat diperbaiki tanpa tertinggal sebahagian yang lain di belakang. 

Salah satu titik perubahan untuk kita perbaiki diri adalah dengan solat, berdasarkan fiman-Nya dari Surah al-Ankabut, ayat 45: 

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ 

Maksudnya: "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." 

Ibadah dan perintah yang utama ini apabila ditunaikan sebaiknya, sedikit demi sedikit akan melihat perubahan pada diri akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. 

Di samping itu, kita dapat mengaplikasikan dalam kepimpinan kita dengan perbanyakkan sabar. Firman Allah SWT: 

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ 

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah: Ayat 45) 

Memohon pertolongan dengan solat dan juga sabar dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu kerana di sisi orang yang bersabar itu adanya tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 

Mengakhiri kalam pada penulisan ini dengan memetik kata-kata Imam asy-Syahid: 

"Bagi pemimpin dalam dakwah mempunyai hak seperti bapa dalam ikatan hati, sebagai guru dalam faedah keilmuan, sebagai seorang syeikh dalam pendidikan kerohanian, seorang ketua dalam memutuskan siasah umum bagi dakwah. Malahan dakwah kita menghimpunkan seluruh pengertian ini." 

Perumpaan yang ditunjukkan itu perlu diterapkan oleh setiap yang bergelar manusia. Pemimpin itu dapat menjadi matang dengan merasakan sebagai apa yang disebutkan oleh Imam asy-Syahid. 

Setiap daripada kita, dalam menjalani kehidupan yang singkat ini perlu bersedia dari semasa ke semasa untuk berada di peringkat yang lebih tinggi. 

Jika hari ini kita seorang yang bujang, hari kemudian kita akan berkeluarga dan menjadi tonggak menggerakkan keluarga tersebut. Jika hari ini sebagai rakyat ataupun ahli, mungkin hari kemudian kita akan dilantik menjadi ketua atau di tampuk pimpinan. 

Kesediaan dari sekarang dengan adanya Irsyad Qiyadah itu dapat membantu untuk kita lebih bersedia menjadi رجال yang sanggup menghadapi cabaran yang perit dan genting di hadapan. 

والله تعالى أعلى وأعلم. وبالله التوفيق والهداية 

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Rujukan: 
1) Al-Quran al-Karim
2) Hadis Nabi asy-Syarif
3) Qaidul Qudwah ala Tariq ad-Dakwah, Mustafa Masyhur 

Disediakan oleh: 
KHAIRUL IEMAN BIN AZMI
Yang Dipertua BKAWM sesi 2021/2022 

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]