[ KALAM PIMPINAN: ADAB PEMULA KEHIDUPAN ]


[ KALAM PIMPINAN: ADAB PEMULA KEHIDUPAN ]

  ﺍَﻟﻠﻬُﻢَّ ﺻَﻞِّ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ ﻭَﻋَﻠَﻰ ﺁﻝِ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ
  
Kenikmatan Islam yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil dakwah Nabi Muhammad SAW menyebarkan panji Islam ke serata dunia yang bukanlah hanya dengan ilmu dan wahyu semata tetapi dengan akhlak dan adab yang dibawa oleh baginda. Ia juga menyebabkan ramai musuh-musuh Islam kembali kepada agama fitrah iaitu Islam itu sendiri. 

Adab dalam pandangan Islam bukanlah perkara yang remeh. Bahkan ia menjadi salah satu inti ajaran Islam. Demikian penting perkara ini, hingga para ulama salaf menyusun kitab khusus yang membahas tentang adab ini.
Adab adalah menggunakan sesuatu yang terpuji berupa ucapan dan perbuatan atau yang terkenal dengan sebutan al-Akhlaqul Karimah.

Dalam Islam, masalah adab dan akhlak mendapat perhatian yang serius. Hal ini kerana syariat Islam adalah kumpulan dari akidah, ibadah, akhlak dan muamalah. Ini semua tidak boleh dipisah-pisahkan. Manakala jika seseorang mengetepikan salah satu dari perkara tersebut seperti akhlak, maka akan terjadi buruk dalam perkara dunia dan akhiratnya. Satu sama lain adalah saling berkaitan sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah ia berbuat baik terhadap tetangganya.” 

(HR Muslim)

Di sini terlihat jelas bagaimana kaitan antara akidah dan akhlak yang baik. Oleh kerana itu, Nabi ﷺ menafikan keimanan orang yang tidak menjaga amanah dan janjinya.

لاَ إِيْمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ، وَلاَ دِيْنَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ

“Tidak ada iman bagi orang yang tidak menjaga amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menjaga janjinya.” 

(HR Ahmad dan Ibnu Hibban)

Bahkan suatu ibadah tidak ada nilainya jika adab dan akhlak tidak dijaga. Nabi ﷺ bersabda (yang ertinya): 

“Barang siapa tidak meninggalkan ucapan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak ingin dengan (amalan) meninggalkan makan dan minumnya (puasa).” Yakni puasanya tidak dianggap.

(HR Bukhari)

Allah Taala telah menjelaskan bahawa adab memiliki pengaruh yang besar untuk mendatangkan kecintaan dari manusia, sebagaimana firman-Nya:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut, terhadap mereka. Seandainya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun pada mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.” 

(Surah Ali-Imran: Ayat 159)

Akhlak baik seorang tokoh agama menjadikan manusia itu tertarik untuk memeluk agama Allah Taala dan menjadikan mereka senang dengan agama-Nya. Di samping itu, pelakunya akan mendapat pujian dan pahala yang khusus. Sebaliknya, akhlak yang teruk seorang tokoh agama akan menyebabkan orang lari dari agama dan benci kepadanya, dan bagi pelaku akan mendapat celaan dan hukuman yang khusus. 

Akhirnya, kita sebagai manusia lebih-lebih lagi umat Islam pada hari ini perlulah menjaga adab dan akhlak dalam pelbagai sudut kerana adab menunjukkan cerminan diri kita dan memudahkan kita untuk berdakwah kepada orang ramai di luar sana. Berapa ramai umat Islam yang berdakwah di luar sana tetapi futur dan gagal dalam berdakwah kerana tidak mencukupi kriteria pendakwah yang diperlukan iaitu adab. 


Disediakan oleh:
MUHAMMAD FARHAN BIN BADRI
Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2021/2022

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]