Forum Motivasi Memorabilia dan Sambutan Hari 'Asyura

KAHERAH,29 November - Pada 24 November 2012 yang lalu, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKAWM) di bawah Unit Pendidikan dan Pengetahuan (UPEP) telah menganjurkan Forum Motivasi Memorabilia sempena imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Program diserikan dengan kehadiran tiga ahli panel yang dijemput khas dari kalangan pelajar pengajian islam dan perubatan bertepatan dengan usul Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)  pada tahun ini iaitu ‘memperkasakan hubungan baik antara mahasiswa pengajian islam dan sains kesihatan ’. Antara ahli panel yang dijemput ialah Saudara Mohamad Sarkawi bin Mohamad Salleh, mantan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir, saudari Mardhiah Nordin, Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa, HEWI PMRAM serta Dr. Aisyah Zahirah Sukeri, Timbalan Presiden II Persatuan Pelajar – pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN).
Forum motivasi kali ini bertajuk Sinergi: Sahsiah dan Ilmu, sejajar dengan tema pembawaan BKAWM sesi ini iaitu ‘Keunggulan Sahsiah Wasilah Keilmuan’. Topik ini telah dikupas dari pelbagai sudut dan telah membawa forum menjadi amat menarik dan bermanfaat. Ditambah pula dengan kehadiran moderator jemputan, iaitu saudara Jasri Raimy Johari yang begitu bersemangat dan bertenaga dengan pelbagai persoalan yang diajukan.
Antara isi yang menarik ialah penekanan terhadap niat dalam menuntut ilmu, bertepatan dengan hadith pertama dalam Matan Arba’in Nawawi,
‘Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat.’
Seterusnya, panel menjelaskan pula, perkara – perkara yang dapat membentuk sahsiah diri, iaitu hati, nafsu dan akal, dikuatkan lagi dengan kisah – kisah para fuqaha seperti Imam Syafie dan pelbagai kisah lain. Program menjadi segar apabila moderator bijak mengawal suasana dengan gurauan bersahaja yang mencuit hati para hadirin.
Sebelum program menutup tirai, para hadirin telah disajikan dengan sedikit halwa mata iaitu tayangan video dari WIMAC dan hidangan bubur a’syura yang disediakan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) bersempena Hari ‘Asyura. Majlis berakhir pada jam 11 malam.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll

Loading...