Kalam Pimpinan: Sambutan Maulidurrasul


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana masih memberikan dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat islam. Tidak dilupakan juga selawat dan salam buat junjungan besar kekasih Allah Nabi Muhammad SAW bersama ahli keluarga serta para sahabat baginda yang telah banyak berkorban demi menyampaikan risalah Islam kepada umat baginda.


Alhamdulillah juga kita masih diberikan kesempatan untuk menyambut hari yang  bersejarah buat umat Islam seluruh dunia. Pada tanggal 12 Rabiul Awwal telah lahir seorang bayi  yang sangat hebat iaitu kekasih Allah Nabi Muhammad SAW. Kelahiran baginda dipenuhi dengan kejadian-kejadian luar biasa, dimulai dengan peristiwa padamnya api di kerajaan Persia, hancurnya sembahan - sembahan batu di sana, dan penyerangan pasukan bergajah untuk menghancurkan Kaabah. Namun tentera ini dileburkan oleh burung-burung yang dikirimkan Allah dari syurga, kerana peristiwa itu, dinamakan kelahiran baginda Tahun Gajah.

Kelahiran baginda juga disifatkan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Dunia yang dulu tenggelam dek kegelapan dan kejahilan telah berubah ke arah sinar cahaya ilmu dan pengetahuan. Dunia yang dulu  dipenuhi manusia yang bersifat jahiliyah mula kembali lembut dengan nilai kemanusiaan. Agama yang dulu dianggap sebagai adat  mula bertukar menjadi dasar kehidupan gemilang.

Selama tiga tahun Rasulullah SAW menyebarkan Islam secara rahsia, seterusnya Allah menurunkan perintah agar dakwah Islam disebarkan secara terang-terangan. Sepanjang baginda menyebarkan dakwah Islam pelbagai rintangan dan tohmahan yang diterima oleh baginda dan para sahabat daripada kaum kafir Quraisy. Kemudian  Allah menurunkan kitab suci al-Quran sebagai hujah dan kekuatan untuk baginda menyampaikan dakwah Islam ini.

Pada tarikh 12 Rabiul Awwal juga berlaku penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Di Madinah inilah umat Islam hidup dengan damai dan tenteram. Setelah 10 tahun mambangun di Madinah, sampailah keinginan serta kerinduan para sahabat untuk pulang ke kampung halaman.

Di tengah umat islam semakin ramai dan kukuh dengan keimanan mereka, turunlah ayat ke 3 dari surah al-Maidah ‘’Pada hari ini Kusempurnakan agamamu untukmu, dan telah Kucukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Ku redha Islam sebagai agama kalian’’. Setelah ayat ini turun tahulah Saidina Abu Bakar, sahabat baginda bahawa Rasulullah SAW akan meninggalkan mereka selama-lamanya. Akhirnya pada tanggal 12 Rabiul Awwal , wafatnya kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Walaupun selepas wafatnya baginda, dakwah Islam tetap diteruskan oleh para sahabat sehingga ke hari ini.  

Sengaja saya bawakan sirah baginda Nabi Muhammad SAW kerana dengan harapan kita semua dapat mengambil ibrah dan lebih menghayati akan kisah hidup dan perjuangan baginda. Semoga dengan penghayatan ini akan membawa kea rah kecintaan yang murni dan luhur terhadap baginda serta menjadikan kita juga dalam kalangan umat yang baginda rindui.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama amalkan sunnah-sunnah baginda dalam kehidupan seharian kita. Selain itu, sempena memperingati hari kelahiran baginda, banyakkanlah berselawat yang mana selawat ini akan menjadi syafa’at di akhirat kelak. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat merindui dan menyayangi umatnya.

NUR HAZIMAH BT MAT BASRI
Timbalan,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2012/2013




Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]