Kalam Pimpinan: Peranan Mahasiswa di Institusi Pendidikan dan Pentadbiran



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

                Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala limpahan nikmat-Nya yang telah dikurniakan buat seluruh umat manusia sehingga saat jari ini menaip penulisan ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW yang mana, atas pengorbanan besar baginda, para ahli bait serta seluruh sahabat baginda, risalah dakwah ini masih berterusan sehingga hari ini. Seterusnya seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam sekalian.

Para penyair ada menyebut:

" ليس الفتى من قال أبي كان، ولكن الفتى من يقول هأناذا "

                Mahasiswa merupakan aset kepada pembangunan sesebuah negara pada masa akan datang. Mereka ini merupakan generasi pemuda yang bakal menerajui pengurusan manusia di dalam sesebuah masyarakat atau negara kelak. Oleh itu, mahasiswa perlu ada persiapan yang terbaik bagi menunaikan tanggungjawab ini. Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar bagi mahasiswa terutamanya mahasiswa Azhari di perlembahan Nil ini.

                Sempena musim imtihan yang bakal tiba, saya menyeru kepada seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir untuk sama-sama kita membulatkan tekad, mengatur langkah yang lebih komited bagi menghadapi medan peperangan mahasiswa kini. Harapan di peringkat BKAWM adalah untuk melihat kita semua berjaya dengan memperoleh keputusan yang terbaik, di samping tidak melupakan sahabat-sahabat di sekeliling kita. Kalau boleh kita tidak mahu terima khabar ada dalam kalangan kita yang tidak najah dan seumpamanya.

                Sesuai dengan pepatah yang telah disebutkan di atas yang bermaksud, “Bukanlah dinamakan pemuda, mereka yang hanya berbangga dengan kejayaan generasi terdahulu dari kalangan ayah-ayah mereka serta datuk-datuk mereka. Tetapi yang dinamakan pemuda adalah yang mengatakan inilah kami yang sedang mencipta sejarah baru untuk kebaikan generasi yang akan datang.” Syair ini sangat mendalam mesejnya jika dihayati. Susun atur bahasanya juga pasti meniupkan semangat yang tinggi bagi mana-mana pemuda yang membacanya demi mencipta kejayaan yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.

                Kita pada hari ini sedang mencipta kejayaan untuk tatapan generasi akan datang supaya dijadikan teladan dan pedoman bagi mereka dalam menempuh kehidupan yang fana ini. Keperluan kita untuk meraih sijil daripada pengajian menjadi semakin penting pada zaman kini, zaman yang bilamana seseorang memerlukan sesuatu pengiktirafan yang rasmi bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar seorang yang dapat menyampaikan ilmu agama mahupun berkhidmat di mana-mana institusi kesihatan. Untuk itu, perlu untuk kita sentiasa memberi fokus kepada matlamat dan cita-cita ini supaya kita dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk berhadapan dengan masyarakat kelak.

                Melihat pada situasi di Malaysia hari ini, kita sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum Kali Ke-13 (PRU-13) bagi menentukan pemimpin-pemimpin yang bakal meneruskan pentadbiran Kerajaan Malaysia untuk satu penggal yang ke seterusnya sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Setiap calon sedang berkempen manifesto masing-masing yang memberi pengharapan kepada rakyat Malaysia untuk memilih mereka sebagai pemimpin di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing.

                Demi melihat Malaysia terus maju dan berkebajikan, kita selaku mahasiswa yang prihatin terhadap pentadbiran negara perlu memilih calon yang mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang sesuai mengikut kehendak agama khususnya serta sesuai bagi masyarakat umumnya. Secara umum, kitab Al-Qiyadah Al-Muathirah ada menggariskan syarat-syarat kepimpinan yang berpengaruh dan berkesan:
1.       Berjiwa seorang Murabbi, iaitu yang memahami dasar matlamatnya untuk mendapat keredaan Allah SWT dan membentuk rakyat untuk bersama dengannya mencapai matlamat tersebut.
2.       Berjiwa seorang Pendidik, iaitu yang sentiasa mendidik rakyat, membimbing dan melatih mereka untuk melaksanakan kerja dengan komitmen yang tinggi.
3.       Berjiwa seorang Pengurus, iaitu yang mempunyai skil mengurus sumber dan tenaga untuk bekerja dengan mendapat hasil yang terbaik.

                Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin menarik perhatian pembaca untuk menyingkap kembali peristiwa 25 Januari 2011 yang mana revolusi rakyat Mesir telah berlaku. Kita BKAWM sendiri telah menyaksikan sendiri setiap detik yang berlalu, bagaimana kebangkitan rakyat Mesir yang jelas menzahirkan kemarahan mereka terhadap tampuk kepimpinan yang zalim dan tidak telus pada ketika itu. Kita tidak mahu dan minta Allah jauhkan Malaysia daripada berlakunya peristiwa sebegitu. Di mana kebajikan rakyat diabaikan, sistem pilihanraya yang tidak telus dan sebagainya. Bukanlah maksud saya untuk menakut-nakutkan, tetapi sekadar peringatan untuk kita memastikan calon pilihan kita adalah yang terbaik bagi maslahat negara kita dan generasi selepas kita.

                Akhir kata, semoga semangat yang ada pada jiwa-jiwa kita semua pada musim pilihanraya ini akan menjadi inspirasi buat kita dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan fasa akhir pada kali ini. Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM bagi sesi ini ingin mengucapkan bittaufiq wannajah kepada seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir yang bakal menghadapi imtihan tidak lama lagi. Siiru ‘ala barakatillah, sekian.

“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”

"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"

Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2012/2013.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]