
Kaherah, 13 April - Pada 11
April 2013 baru-baru ini, Unit Pendidikan dan Pengetahuan (UPEP), Badan Kebajikan Anak
Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan program Straight Mumtaz In
Life (SMILE) yang merupakan kesinambungan daripada Kempen Memorabilia dengan
bertemakan Berjaya Bersama.
Pembukaan SMILE dimulai dengan Munajat Menuju Mumtaz iaitu slot Qiamullail
serta solat subuh berjemaah. Slot ini bertujuan merealisasikan objektif kedua program
SMILE iaitu menerapkan kesedaran peri pentingnya rasa bertuhan dalam mengejar
kejayaan. Seterusnya adalah pengisian rohani
yang disampaikan oleh Dr Muhammad Hafiz bin Shamsuri, mahasiswa Tahun 4
Perubatan, Universiti al-Azhar dengan tajuk ‘Indahnya Takdir’.
Pada sebelah petang pula, bermula jam 3 petang hingga 6 petang telah diadakan Maktabah
Day. Ianya adalah bertujuan untuk mewar-warkan mengenai penyelarasan
penggunaan Perpustakaan Darul Madani yang berada di bawah kelolaan Unit
Pendidikan dan Pengetahuan.
Di samping itu juga, demi memberkati lagi program SMILE, UPEP telah bekerjasama
dengan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) dengan menganjurkan solat
hajat dan solat hifzi berjemaah.
Setelah itu, tibalah acara yang dinanti-nantikan iaitu slot talkshow ‘ALLAH is
My Everything’ yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Shafiq bin Sahimi. Antara
mutiara yang telah beliau tekankan adalah konsep berjaya bersama iaitu secara
kolektif. Ianya juga berkaitan dengan tanda kesempurnaan iman seseorang iaitu apabila kita mencintai sahabat
kita sehingga kita mahukan kejayaan pada dirinya lebih daripada yang kita
kecapi. Selain itu, beliau turut memberi peringatan tentang kepentingan tawakal,
yakin dan redha akan qada dan qadar yang Allah tentukan setelah berusaha.
"Semoga pengisian yang dihidangkan dapat meningkatkan motivasi kita semua untuk menempa kejayaan, terutama dalam peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi," ujar Saudara Nur Aizat selaku pengarah program.
Sebelum berakhirnya majlis, para hadirin diperdengarkan dengan kalam amanat
dari Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan, Saudara Muhammad Ilman bin Abdul
Razak . SMILE berakhir dengan hidangan jamuan kepada semua yang hadir.
"BKAWM Keluarga Kita"
"KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"