Kalam Pimpinan: Mencapai Kejayaan Dalam Kehidupan

               

             Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Rabbul Izzati atas segala nikmat dan ujian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT di dunia mahupun di akhirat kelak. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda serta sahabat-sahabat Baginda.
                Firman Allah SWT di dalam Al-Quranul Karim :
Mafhumnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.(Surah Al-Mukminun Ayat 1-2 Juzuk 18).
                Kejayaan duniawi dan ukhrawi merupakan antara elemen yang sentiasa disematkan dalam mentaliti insan rabbani sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Terdapat pelbagai bentuk kejayaan yang dapat dilihat dalam aspek kehidupan rohani mahupun jasmani. Antaranya adalah tahap intelektualiti seseorang individu yang sering diimpikan oleh golongan mahasiswa seperti kita. Maka, unsur ini diserapkan dalam jiwa kita sebagai misi dalam mengutip mutiara ilmu di Mesir ini khususnya. Indikatornya tidak lain dan tidak bukan adalah kecemerlangan akademik yang menjadi cerminan imej seseorang penuntut ilmu. Persoalannya, bagaimanakah kita ingin mencapai kejayaan dalam kehidupan yang serba mencabar ini?
                Kejayaan yang hakiki hanya mampu dicapai menerusi fokus yang tinggi pada matlamat yang ingin dikecapi. Hal ini kerana terdapat anasir-anasir luar yang cuba mempengaruhi minda kita dalam menggapai impian kita. Antaranya ialah pengaruh Barat, hasutan syaitan dan hawa nafsu. Sekiranya anasir-anasir luar ini tidak dibendung, maka misi kita akan mengambil jangka masa yang panjang dan mungkin tidak dapat menghasilkan kualiti kecemerlangan yang diidamkan. Kadangkala, kejayaan tersebut tidak dapat dihasilkan sama sekali angkara benih-benih kurang baik yang mempengaruhi perjalanan ke arah matlamat kita. Analoginya kita umpama nakhoda yang mengemudi kapal dan matlamat kita merupakan destinasi kita. Sekiranya kita terpesong daripada jalan yang membawa ke arah destinasi kita kerana tidak fokus terhadap tempat terakhir kapal bakal berlabuh, maka tidak mustahil kapal akan karam di tengah lautan. Maka, kita sebagai individu muslim wajib fokus terhadap matlamat kita sebagai hamba Allah, khalifah Allah dan dai’e Allah untuk mencapai puncak kecemerlangan.
                Kisah Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya menjadi contoh figura yang hebat bagi kita. Kejayaan beliau dalam menawan kota Konstantinopel dalam usia muda merupakan hasil fokus beliau dalam memacu pergerakan tenteranya untuk membuka bumi bersejarah ini. Semakin kita fokus terhadap sesuatu matlamat, semakin mudah untuk kita menakluk kejayaan yang bukanlah angan Mat Jenin semata-mata.
                Sempena dengan permulaan fasa dua bagi pengajaran dan pembelajaran di universiti, marilah sama-sama kita menanamkan azam untuk fokus terhadap pelajaran sama ada pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Perkara ini bertujuan untuk memusatkan segala informasi yang bakal ditimba di medan ilmu. Harapan ibu bapa kita untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam akademik seharusnya dijayakan dengan sebaik mungkin sebagai target utama kita dalam kembara ilmu di bumi kinanah ini. Justeru itu, kita selaku mahasiswa proaktif seharusnya meningkatkan kecemerlangan akademik kita dengan memperkasakan konsentrasi kita dalam memenuhkan ilmu di dada.
Kita di peringkat BKAWM sentiasa memegang teguh terhadap kecemerlangan akademik sebagai salah satu elemen utama dalam kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di bumi kinanah ini. Hal ini kerana kecemerlangan akademik merupakan indikator intelektual seseorang individu. Namun begitu, untuk mencapai matlamat utama ini, fokus yang tinggi wajib diwujudkan dalam jiwa semua ahli yang dikasihi. Maka, BKAWM sebagai medium kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir sentiasa memberikan sokongan dan bantuan dalam meningkatkan pemacuan perhatian kita dalam akademik. Justeru itu, kita sebagai ahli BKAWM yg bersatu atas dasar akidah Islam sewajarnya mewujudkan konsentrasi yang tinggi dalam menimba ilmu di perantauan ini untuk melahirkan mahasiswa proaktif selari dengan misi pertama BKAWM, dan kecemerlangan akademik hanya boleh dikecapi menerusi fokus yang jitu.

Munira binti Mahammad Noor
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir

Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]