Kalam Pimpinan: Menghayati Sejarah Israk dan Mikraj



Dengan nama Allah yang Maha Pemudah lagi Maha penyayang.

"Maha suci mu Ya Allah, yang telah menperjalankan hamba-Nya yakni Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram(Makkah/Bakkah) ke Masjidil Aqsa(Baitul Muqaddis) yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."
(Surah al-Israk, ayat 1)

           Israk Mikraj merupakan suatu peristiwa yang telah berlaku ke atas Rasulullah S.A.W. Ianya merupakan sebuah perjalanan yang penuh dengan seribu satu pengajaran. Israk Mikraj adalah sebuah hadiah daripada Allah s.w.t buat kekasihNya Muhammad S.A.W iaitu ketika baginda sedang bersedih di atas kematian dua orang pendokong dakwah baginda iaitu bapa saudara baginda, Abu Talib dan isterinya, Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah radiallah anha serta penolakan dakwah baginda di Taif.

          Dalam sebuah hadith yang diceritakan oleh Aisyah radiallahu anha:
Suatu ketika Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasul s.a.w. : “Wahai Rasulullah, pernahkah engkau merasa lebih pahit dan sengsara dari hari Uhud?”

Jawab baginda: “Bahkan, iaitu ketika menghadapi bangsa kau (Arab) dan yang paling dahsyat sekali ialah ketika aku memperkenalkan diriku dan berdakwah di kalangan puak Ibn Yalil Abdi Kalal di mana tawaran dan dakwahku tadi tidak diterima langsung dan aku beredar dari situ dengan perasaan yang tak keruan. Bila sampai ke suatu tempat bernama Qiran Tha’alib, baru aku sedar ketika aku mengangkat kepala melihat ke atas, tiba-tiba sekumpulan awan meneduhiku dan aku nampak Jibril alaihissalam memanggilku dan berkata:


“Sesungguhnya Allah azzawajalla telah mendengar setiap perkataan bangsa kau dan tindakan mereka terhadap kau. Dan Allah telah mengutuskan Malaikat segala gunung untuk kau. Suruhlah sekehendakmu.” Kata Rasulullah lagi:

"Malaikat segala gunung tadi memanggil dan memberi salam kepadaku dan katanya, "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaummu dan tindak balas mereka terhadap seruanmu. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa saja, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu, aku boleh hempap ke atas mereka Bukit Al-Akhsyabin."

Jawab Rasulullah: “ Tapi apa yang aku harapkan agar lahir dari keturunan mereka golongan yang menyembah Allah tanpa mensyirikkan-Nya.”
[HR Bukhari dan Muslim]

           Saban tahun pada tanggal 27 Rejab, umat Islam akan menyambut peristiwa besar ini. Namun, sebesar manakah kesan sambutan Israk dan Mikraj itu ke atas iman kita sepertimana besarnya kesan Israk dan Mikraj itu sendiri kepada gerak kerja dakwah Rasulullah s.a.w. Pelbagai peristiwa yang berlaku ketika Rasullah diisrakkan sehinggalah baginda dimikrajkan. Namun, peristiwa yang paling penting dalam peristiwa ini adalah kewajipan solat lima waktu sehari semalam.

           Perintah solat yang Nabi terima langsung daripada Allah s.w.t. ini menunjukkan akan ketinggian nilai solat itu sendiri. Solat merupakan sumber tenaga jiwa kerana ia memiliki nilai yang sama dengan Israk Mikraj yang telah mengecas semula tenaga jiwa Nabi s.a.w. untuk terus gencar dalam dakwah.

           Justeru, tingginya nilai solat menyebabkan wujudnya hikmah yang mendalam bagi sesiapa sahaja yang ingin melakukan perubahan dalam dirinya. Melalui penghayatan daripada peristiwa ini, pelbagai pengajaran yang boleh kita ambil sebagai teladan dalam menghadapi liku-liku dakwah.

           Antaranya ialah apabila kita menghadapi sesuatu dugaan mestilah kita berserah harap pada Allah dahulu. Seseorang daie itu haruslah menilai semula kelemahan diri jika menghadapi kesukaran dalam berdakwah dan bukanlah dengan menyalahkan orang lain. Yakini diri bahawa tugas kita hanyalah untuk menyeru, malah yang memberikan hidayah adalah Allah azzawajalla.

           Selain itu, hendaklah kita menjaga solat kerana ianya mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah sehingga Allah menjadikan solat sebagai amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Wajib kita menjaga solat walaupun dalam keadaan apa sekalipun kerana di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

           Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengambil manfaat daripada sambutan peristiwa besar ini dan bukan dalam golongan yang tidak mengambil tahu tentang peristiwa bersejarah dalam Islam serta tidak cakna dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar kisahnya semata-mata tetapi yang lebih penting ialah dengan usaha untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam serta berazam untuk sehidup dan semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam."


"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Abdul Hadi bin Daud
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]