[RISALAH IQTISODIAH BIL 03 : BOIKOT : ANTARA REALITI DAN KONTROVERSI]

Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi
Muhammad Ilman bin Abdul Razak

Siri 03

Sejauh Mana Implikasi Kepada Israel?

Bagi menilai keberkesanan boikot, seharusnya kita melihat kepada kesannya terhadap status ekonomi Israel dan sejauh manakah ianya mempengaruhi pendirian Israel di dalam proses perjanjian damai dan tindakan ketenteraan.

Pendapatan negara haram Israel sejumlah besarnya adalah daripada aktiviti eksport. Sebarang gangguan dan sekatan pada capaian pasaran luarnya, secara sedikit sebanyak akan mengganggu gugat pendapatan negaranya. Apabila, gerakan boikot pada hari ini berterusan dan semakin mendapat sambutan, kesan terhadap Israel semakin ketara.

Kegusaran Israel terhadap implikasi gerakan boikot ini juga terzahir melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Jun 2014 oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengklasifikasikan Kempen BDS ini sebagai ancaman yang terancang kepada Israel. Begitu juga jika dilihat kepada kenyataan daripada barisan kabinet menteri Israel juga menggambarkan kerisauan terhadap kesan boikot terhadap masa depan ekonomi negara mereka. Yair Lapid (Menteri Kewangan Israel) mengakui bahawa gerakan boikot yang dijalankan seluruh dunia ini akan memberikan kesan kepada ekonomi mereka. Menurut Washington Post, jumlah nilaian eksport daripada Israel telah menurun sebanyak 14% setelah kebanyakan rangkaian pasaraya di Eropah telah memboikot barangan Israel.


Ketakutan untuk diboikot ini bukan sahaja hinggap pada Israel dan syarikat yang dimiliki oleh Yahudi, bahkan turut sama terkena tempiasnya kepada perusahaan perniagaan lain sepertimana British Department of Trade and Investment telah menasihatkan kepada ahli perniagaan British agar tidak menjalankan hubungan perniagaan dengan penempatan Yahudi yang melepasi Green Line (garis persempadanan Palestine-Israel), dikhuatiri akan turut sama menerima nasib diboikot.

Penurunan jumlah pendapatan, sokongan politik dan gesaan negara luar temasuk badan-badan korporat kepada Israel secara tidak langsung mempengaruhi percaturannya di dalam mengendalikan konfliknya dengan Palestin. Tindakan ketenteraan tidak lagi menjadi suatu langkah yang selamat dan popular, sebaliknya setiap operasi ketentaraan yang dilancarkan itu membawa implikasi terhadap ekonomi negaranya secara tidak langsung melalui Kempen BDS yang semakin berkembang dan bertambah pendokongnya. Kecanggihan teknologi dan peningkatan kadar capaian maklumat melalui media sosial merancakkan lagi usaha menekan Israel.

Disediakan oleh:
Unit Tugas-tugas Khas (Unit Promosi),
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]