[ TINTA DAKWAH:HABLUM MINALLAH HABLUM MINANNAS ]



HABLUM MINALLAH HABLUM MINANNAS
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.
Firman Allah SWT :
{ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب ومن يتوكل على الله فهو حسبه إن الله بلغ أمره قد جعل الله لكل شيء قدرا}
Maksudnya: "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bahagi setiap sesuatu. "
Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan memberi rezeki dalam pelbagai bentuk dari arah yang tidak kita sangka dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, Allah akan mencukupkan keperluannya serta memberi jalan keluar dari sebarang masalah yang dihadapi dalam kehidupan. Oleh itu, sebagai muslim sejati khususnya sebagai penuntut ilmu, perlulah meningkatkan keyakinan dan sematkan di dalam hati bahawasanya Allah adalah penentu bagi setiap sesuatu.
Sebagai seorang mahasiswa yang berjaya, perlulah menerapkan konsep hablum minallah dan hablum minannas dalam diri. Dua perkara ini merupakan aspek yang tidak dapat dipisahkan dan harus berjalan secara seiring.
Hablum minallah ialah dengan kita menjaga segala amalan yang dituntut oleh Allah, seperti solat, puasa, membaca al-Quran, zikir dan lain-lain. Apabila masuk waktu solat, seharusnya kita meninggalkan perkara dunia dan mendahulukan perkara yang utama iaitu solat. Solat di awal waktu membuatkan masa kita lebih berkat. Sebaliknya, apabila kita solat di akhir waktu dan mendahulukan perkara yang lain berbanding bertemu dengan rabb kita, Allah akan melambatkan kejayaan kita.



Selain itu, sebagai mahasiswa yang taat kepada Allah, kita hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti puasa, solat sunat, zikir, selawat dan lain-lain. Amatlah malu bagi kita yang masih muda ini jika tidak memanfaatkan usia muda dengan baik, lebih-lebih lagi kita adalah seorang pelajar muslim.Tambahan pula, di dalam al-Quran Allah ada berfirman yang bermaksud:-
"Dan pada sebahagian malam hari, bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." [Surah al-Isra’: 79]
Imam Syafie juga ada mengatakan "Doa di saat tahajud adalah panah yang tepat mengenai sasaran."
Oleh yang demikian, rebutlah peluang beribadah kepada Allah pada dua per tiga malam dan mohonlah hajat kita. Letakkanlah pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah, kerana  dalam peperiksaan tiada siapa yang dapat membantu kita selain Allah. Seterusnya, kita pergi kepada konsep hablum minannas, iaitu hubungan kita sesama manusia. Sebagai contoh, hubungan kita dengan ibu bapa, adab dengan guru dan akhlak kita sesama sahabat serta orang di sekeliling kita. Adakah kita benar-benar sudah menjaga adab dan akhlak kita dengan mereka? Tepuk dada tanya iman. Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.
Hidup bermasyarakat adalah perkara yang tidak boleh kita hindarkan. Sebagaimana yang kita tahu seorang muslim tidak mungkin hidup secara bersendirian dan jauh daripada jemaah. Bahkan dalam solat juga Allah menyuruh kita untuk melaksanakan secara berjemaah. Hubungan sesama manusia dalam Islam adalah hubungan sebagai saudara sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud:
 “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."
Kesimpulannya, kita selaku hamba perlu berusaha dan melaksanakannya dengan cara yang terbaik. Segala natijah yang bakal kita peroleh diserahkan sebulatnya kepada Allah, kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui perihal baik dan buruk hambaNya. Bila kita sibuk memikirkan natijah yang bakal kita dapat, seolah-olah kita menyibuk dengan urusan Allah. Seharusnya untuk kita terus berdoa dan bertawakal kepadaNya. Jangan khuwatir, Allah adalah Tuhan yang tidak pernah menzalimi hambaNya. Maka, sentiasalah berbaik sangka dengan Allah walau apa pun natijah yang bakal kita peroleh.Wallahua’alam.

Disediakan Oleh:
Natasya Amirah Binti Abdul Jalil,
Timbalan Unit Surau,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir ( BKAWM ) sesi 2017/2018.





Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]