[ KALAM PIMPINAN: KELUARGA ASAS PEMBANGUNAN INSAN ]


[ KALAM PIMPINAN: KELUARGA ASAS PEMBANGUNAN INSAN ]


Pembangunan insan berakhlak adalah nadi utama dalam membangunkan sesebuah keluarga yang maju serta diredai Allah SWT. Kesejahteraan yang diidamkan perlu dibangunkan berasaskan teras yang penting dalam sistem pembangunan insan. Akhlak adalah modal utama dalam menentukan sesebuah keluarga yang mesti dibentuk berteraskan nilai-nilai mulia dalam Islam. Justeru itu, pembangunan insan berakhlak adalah tunggak terpenting dalam membina keluarga Islam yang rabbani.

Membangunkan masyarakat dengan berpaksikan elemen pembangunan insan adalah jalan yang mesti dilalui dan perlu diaplikasikan dalam seluruh peringkat masyarakat. Pembangunan insan yang dimaksudkan adalah pengamalan akhlak menyeluruh secara berterusan dan istiqomah berasaskan ajaran agama Islam seperti jujur, amanah, tolong - menolong dan sebagainya.

 (( لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ  ))

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". (At-Tin 95:4)

Menurut perspektif Islam, modal insan ialah bagaimana seseorang insan itu berpotensi dari sudut rohani dan jasmani yang menjadi sumber kekuatan dalam pengurusan diri. Rasullulah SAW memimpin umatnya melalui peribadi mulianya sebagai modal insan yang terbaik dan menjadi contoh teladan menerusi nilai akhlak-akhlak yang terpuji.

Pendidikan akhlak yang sempurna dapat melahirkan insan yang berkualiti sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

 (( وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ  ))

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku". (Surah az-Zariyat: ayat 56)

Seseorang yang mempunyai modal insan bererti memiliki sahsiah yang terpuji, berintegriti, berwawasan, mempunyai perancangan yang rapi, berketerampilan diri dan berakhlak mulia. Pembangunan dalam Islam adalah satu proses dinamik dan harmoni dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat menyeluruh demi kebaikan di dunia dan akhirat. Fokus utama pembangunan dalam Islam adalah pembangunan individu ataupun disebut sebagai insaniah.

Kesimpulannya, kejayaan pembangunan modal insan dapat direalisasikan dalam mempertingkatkan peradaban ummah kelas pertama sebagaimana janji Allah SWT yang berbunyi:

(( وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ  ))

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya". (Surah al-A’raf: ayat 96)

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Disediakan oleh:
Muhammad Fahim Amar bin Abdul Rahim,
Ketua Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah
BKAWM sesi 2017/2018. 

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]