SOSIAL DAN IKHTILAT - " MIND YOUR GAP "







Assalamualaikum wrh wbt. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan para sahabatnya. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, kita diberi kesempatan untuk meneruskan ketakwaan kepadaNya, diberi kudrat dan kekuatan untuk mentaati suruhanNya serta meninggalkan laranganNya.

Kita selaku mahasiswa/wi di Mesir amat beruntung kerana berada di suatu tempat yang amat menitikberat dan memelihara suasana sekelilingnya perihal adab dalam pergaulan. Selaku mahasiswa/wi yang rabbani, sudah pasti perkara ini amat penting dan mesti diambil perhatian sepenuhnya kerana ia merupakan batasan dalam agama yang mesti dijaga dan dipelihara.

Di samping kesibukan kita belajar di universiti dan tempat-tempat pengajian sekitarnya, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan komuniti mahasiswa/wi di perantauan sentiasa utuh dan bersatu. Dalam memastikan perkara itu, secara amnya sudah pasti kerjasama dan pergaulan antara mahasiswa dan mahasiswi akan berlaku. Sebagai contoh, dalam menguruskan sebarang aktiviti, perjumpaan dan perbincangan, kerjasama antara mahasiswa dan mahasiswi diperlukan untuk memastikan aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan baik.

Antara perkara yang manusia amat mudah dipengaruhi dengannya adalah apabila diuji dengan wanita, pangkat dan harta. Iblis yang berjanji akan menyesatkan manusia sehingga hari kiamat sudah pasti akan menggunakan seluruh ruang yang ada untuk mencapai misinya. Iblis akan menggunakannya untuk membawa manusia ke arah kesesatan. Oleh kerana itu, perkara ini amat penting bagi kita agar tidak mudah tergelincir dan tertipu dengan tipu dayanya. Kita tidak mahu amal kebaikan yang dilakukan bertukar menjadi amal maksiat.

Untuk tidak tergelincir dengan penipuan itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa berwaspada. Islam amat menjaga batas-batas pergaulan agar tidak membawa kepada maksiat seperti firman Allah SWT :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".
(Surah al-Isra' : ayat 32)

Sebagai mahasiswa/wi al-Azhar, adab-adab pergaulan terhadap orang sekeliling mesti dipelihara dan dijaga. Kita tidak mahu bumi barakah ini dicemari dengan suasana yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Oleh kerana itu, Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) berusaha untuk memelihara perkara ini melalui Kempen Biah Solehah. Antara itemnya ialah "Membudayakan Etika Pergaulan Syar'ie". Tahniah juga kepada Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) atas kempen "Mind Your Gap". Suasana beginilah yang seharusnya diterapkan dan disokong, bahkan perlu dijayakan oleh semua pihak terutamanya pelajar-pelajar al-Azhar itu sendiri.

Di samping kita meningkatkan ilmu pengetahuan, menghilangkan kejahilan dan aktif berpersatuan,  kita juga perlu membentuk jati diri dan keperibadian sebagai muslim yang sejati. Keperibadian, tatasusila dan akhlak yang baik menunjukkan bahawa kita memenuhi perkara yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW seperti hadis daripada Abu Hurairah, Rasululllah SAW bersabda :

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.”
(HR al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, no. 20782 dan al-Bazzar dalam Musnadnya, no. 8949)

Semoga bumi Mesir yang barakah ini sentiasa dipelihara oleh Allah SWT sebagai bumi yang benar-benar membentuk peribadi penuntut-penuntutnya. Tanggungjawab kita bersama untuk sedar agar menjaga suasana yang baik ini dan tidak membiarkan bumi ini menjadi sarang maksiat.


"Memurnikan Pemikiran,  Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


Disediakan oleh:
Muhammad Aiman bin Md Rashid,
Setiausaha Agung BKAWM sesi 2017/2018.


Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah