[ RISALAH BIAH SOLEHAH: UKHUWAH ]
Ukhuwah adalah satu perkataan yang mudah dilafaz, namun untuk menzahirkannya amatlah sukar, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati. Firman Allah SWT:
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Anfal: 63)
Dengan ukhuwah, mukmin akan saling menguatkan agar menjadi satu umat yang kuat. Rasulullah SAW bersabda:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا
“Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagian yang lain.” (HR. Bukhari)
Islam tidak akan tertegak selagimana manusia hidup berpecah belah sesama sendiri. Menurut ulasan profesor Dr Hamka dalam bukunya “Sejarah Umat Islam”, antara faktor terbesar yang membuatkan umat Islam berpecah dan berbalah ialah atas dorongan kebendaan, pembentukan parti dan fahaman politik yang bertentangan dengan Islam, fikrah atau aliran fikiran yang sesat, gerakan fanatik, kerosakan cerdik pandai dan ulama’, pemerintah atau kerajaan yang tidak adil dan penjajahan barat.
ASAS PEMBENTUKAN MASYARAKAT ISLAM
Tiga asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat Islam di Madinah ialah pembinaan masjid, persaudaraan (ukhuwah di antara Muhajirin dan Ansar) dan perjanjian (perlembagaan). Sistem taakhi di antara Muhajirin dan Ansar adalah salah satu asas dan faktor Islam tertegak sehingga kini. Begitulah kuatnya peranan dan fungsi ukhuwah dalam merealisasikan misi dan visi umat Islam.
PERINGKAT-PERINGKAT UKHUWAH
Kita boleh menelusuri kisah pengorbanan para sahabat dalam perang Yarmuk, daripada Abdullah bin Mus’ab Az Zubaidi dan Hubaib bin Abi Tsabit, keduanya menceritakan, “Telah syahid pada perang Yarmuk al-Harith bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr. Ketika itu mereka diberikan minuman, sedangkan mereka dalam keadaan yang kritikal, namun semuanya saling menolak. Ketika salah seorang daripada mereka diberikan minuman, dia berkata: “Berikan dahulu kepada si fulan”, demikian seterusnya sehingga semuanya meninggal dan mereka belum sempat meminum air itu. Dalam versi lain perawi menceritakan, “Ikrimah meminta air minuman, kemudian dia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harith sedang melihatnya, maka dia pun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harith)”, namun belum sampai air itu kepada al Harith, ternyata ketiganya telah meninggal dunia tanpa sempat merasakan air tersebut. (HR Ibnu Sa’ad dalam at-Tabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at-Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr).
Daripada kisah ini, kita boleh dapati tingkatan ukhuwah para sahabat adalah yang paling tinggi iaitu melebihkan kepentingan sahabat (ithar). Mereka sanggup mengetepikan diri mereka semata-mata untuk mengutamakan saudara mereka yang sama-sama memerlukan seperti diri mereka sendiri. Tingkatan yang seterusnya adalah kesamarataan (musawah) dan yang paling rendah adalah berlapang dada (salamatus sodr).
PANDUAN MENGUATKAN UKHUWAH
Bagi mendalami ruh ukhuwah fillah ini, Islam telah memberi garis panduan kepada umatnya. Antaranya:
1) Apabila seseorang mengasihi saudaranya hendaklah dia memberitahu saudaranya itu bahawa dia mengasihinya.
2) Apabila hendak berpisah, maka mintalah pada saudaranya agar berdoa untuknya pada masa berjauhan.
3) Memberi hak ukhuwah yang lengkap kepadanya seperti sabda baginda: “Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam, iaitu jika berjumpa ia memberi salam, jika bersin ia mendoakannya, jika sakit ia menziarahinya, jika meninggal ia mengiringi jenazahnya dan jika ia bersumpah ia melaksanakannya.” (HR. Muslim)
Oleh itu, marilah sama-sama kita meribatkan hati sesama kita dan berusaha mencapai tingkatan ukhuwah yang paling tinggi iaitu melebihkan kepentingan sahabat (ithar) di samping mencapai reda Allah SWT. Ingatlah sesungguhnya Islam tidak akan dapat tertegak tanpa adanya kesatuan, dan kesatuan tidak akan dapat dilakukan tanpa adanya hubungan persaudaraan yang berlandaskan hukum Allah. Wallahu’alam.
Disediakan oleh:
Unit Biah Solehah,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2018/2019
Comments
Post a Comment