[ KALAM PIMPINAN: ISLAMOFOBIA KAH KITA? ]


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah as-Saff: 8)

Pada zaman yang sedang membangun ini, kita sering dengar Islam dibenci, dimusuhi, dan diserang dari setiap aspek tidak kira aspek ekonomi, politik, serangan senjata dan yang lebih dahsyat lagi, serangan yang lebih halus iaitu serangan pemikiran. Tambahan, kini Islam di kaca mata orang kafir, dilabel sebagai pengganas, pelampau dan mundur. Istilah yang lebih tepat lagi adalah Islamofobia. Tetapi, tahukah kita apakah itu Islamofobia? Adakah kita dikategorikan sebagai Islamofobia?

Secara umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Maksud lain, suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti daripada mereka.

Terdapat segelintir daripada kita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, contohnya wanita memakai pakaian yang tidak mengikut syariat Islam yang sebenar dengan alasan untuk kebebasan dan menganggap Islam itu terlalu mengongkong dan tidak bersifat terbuka. Ada juga segelintir masyarakat yang menganggap mereka yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran itu menggangu ketenteraman masyarakat. Mereka mahu Islam itu mengikut cara mereka iaitu Islam liberal dan sekular yang mana meninggalkan akidah dan syariat Allah.

Jika kita lihat keadaan semasa kita di Mesir sekarang, ada pihak yang menjalankan kerja-kerja kebaikan dan mencegah daripada perbuatan yang melanggar syariat Allah iaitu HISBAH. HISBAH ini tidak lain dan tidak bukan peranannya untuk menjaga kemaslahatan pelajar-pelajar kita di Mesir. Tetapi tidak sedarkah kita ada juga segelintir daripada kita yang tidak mahu mengikut apa yang ditetapkan, seperti sistem musyrif dan menjaga biah solehah. Adakah kita ini takut untuk laksanakan syariat Allah? Adakah kita tidak mahu Islam itu tertegak di muka bumi Allah ini? Marilah kita bersama-sama berfikir sejenak dan mencari solusi agar Islam itu dipandang indah dan syumul di pandangan semua orang. Tidak ada agama yang lebih sempurna kecuali agama Allah SWT.

Justeru, apakah peranan kita sebagai mahasiswa Islam? Adakah hanya ingin berdiam diri dan tunggu Islam menang? Tidak, sudah pastinya kita perlu mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna, melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

 Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Tanggungjawab kita sebagai umat Islam khususnya mahasiswa Islam untuk menerangkan kepada non muslim tentang keindahan Islam hatta kepada umat Islam sendiri yang tidak faham dengan sebaiknya tentang agama Allah yang syumul ini. Terangkan kepada mereka bahawa Islam itu tidak ganas, tidak mundur dan tidak melampau malah, Islam adalah agama yang adil, sempurna dan mampu mengatur kehidupan semua penganutnya dalam semua aspek kehidupan.

Gunakan media dengan sebaiknya, kerana ia sangat memainkan peranan penting dalam kita menyebarkan maklumat yang benar. Di media lah Islam banyak diserang dan terlalu banyak berita-berita yang terpesong yang disebarkan oleh barat tentang keburukan Islam. Malah ada juga orang Islam sendiri yang mengaku Islam tetapi memburuk-burukkan dan menghina agama Islam itu sendiri, nau’zubillahi min zalik. Jadi, jalankan tanggungjawab kita sehabisnya di media selagi kita mampu supaya Islam itu tidak diputar belitkan ceritanya hingga mampu menjauhkan diri orang ramai dari Islam.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua khususnya anak-anak Wilayah Persekutuan untuk kita bersama-sama menyahut pembawaan Yang Dipertua BKAWM dan biah solehah iaitu amar makruf nahi mungkar dan memanfaatkan media elektronik. Semoga kita dapat beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sekian, Wallahu’alam.

Disediakan oleh,
NATASYA AMIRAH BINTI ABDUL JALIL,
Timbalan Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2019/2020.

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]