[ KALAM PIMPINAN: LIRIH KEIKHLASAN ]


[ KALAM PIMPINAN: LIRIH KEIKHLASAN ] 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين 

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpahan kurnia dan inayah-Nya, kita masih diberi peluang untuk hidup bagi meneruskan segala perintah daripada Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya. 

Bersyukur juga atas segala nikmat yang Allah berikan di mana nikmat itu tidak pun kita minta, namun Allah tetap berikan buat hamba-Nya atas rahmatnya Allah SWT. 

Firman Allah SWT: 

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ 

Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."
[Surah az-Zariyat: Ayat 56] 

Ayat di atas mengingatkan kepada kita bahawa tujuan Allah menciptakan manusia dan jin di muka bumi ini iaitu mengabdikan diri kepada-Nya. 

Telah digariskan dalam syariat Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada nabi kita, Nabi Muhammad SAW iaitu diterimanya suatu ibadah itu dengan dua syarat yang telah disepakati oleh para ulama, iaitu: 

1) Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
2) Mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. 

Perlu kita ketahui di sini bahawa ibadah yang dimaksudkan di sini tidaklah terhad pada solat di masjid atau yang sewaktu dengannya, akan tetapi ibadah yang dimaksudkan adalah ibadah umum iaitu segala perbuatan kita daripada bangun hingga ke tidur dikira sebagai ibadah. 

Oleh itu, perlulah kita jadikan dua syarat ini sentiasa dipraktikkan dalam setiap perkara, perbuatan dan amalan kita. 

Firman Allah SWT: 

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ 

Maksudnya: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar."
[Surah al-Bayyinah: Ayat 5] 

Ikhlas itu satu tunjang utama dalam setiap perbuatan tidak kira siapa pun kita, apa pun pekerjaan kita dan apa pun pangkat kita. Ikhlas yang dimaksudkan adalah melakukan sesuatu itu dengan penuh kerelaan, tidak menipu dan tidak berpura-pura dan disertakan hati yang suci. 

Untuk mencapai tahap ikhlas dalam setiap perbuatan kita itu tidaklah mudah, namun tidaklah pula sukar. Ia perlu kepada kefahaman yang jelas terhadap apa yang dilaksanakan seterusnya menyedari akan hasil yang bakal diperoleh. 

Seterusnya, ia juga perlu kepada latihan yang berterusan agar hati kita lapang menerima dengan baik tanpa sebarang persoalan. Beberapa konteks keikhlasan yang perlu diterapkan dalam setiap perjalanan kehidupan kita, antaranya: 

• IKHLAS SEORANG HAMBA 

Kita umat manusia selaku hamba Allah SWT hendaklah menyedari akan kedudukan kita di muka bumi ini. Juga perlu menghayati bahawa segala aturan hidup adalah di bawah kekuasaan Allah. 

Perlulah kita mengenali siapa tuhan kita dengan lebih mendalam agar dapat sedar yang kita tidak punya apa-apa melainkan Allah SWT. 

Tak kenal maka tak cinta. Jadi bagaimana kita boleh kata kita punya cinta hakiki pada Allah sedangkan kita tidak faham pun siapakah Dia dan apa yang perlu kita lakukan sebagai hamba-Nya. 

Dari situ, terlahirlah pelaksanaan segala amal ibadah juga pekerjaan hanya semata-mata kerana Allah dengan mengharapkan satu tujuan yang utama iaitu mengharapkan reda-Nya. 

• IKHLAS SEORANG PEMIMPIN 

Setiap antara kita terkait menjadi seorang pemimpin. Walaupun tidak memegang amanah atau jawatan dalam suatu organisasi, kita juga tetap pemimpin kepada keluarga atau sekurang-kurangnya terhadap diri sendiri. 

Antara sifat yang perlu ada pada pemimpin adalah adil iaitu melakukan atau meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Berdasarkan firman Allah SWT: 

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا 

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
[Surah an-Nisa': Ayat 58] 

Berlaku adil itu adalah perintah Allah dan pasti segala ganjaran daripada tugasan memimpin kita itu dinilai oleh-Nya. Kita tidak boleh berharap pada manusia agar diberi balasan atas segala jasa dan khidmat kita. 

Jika selain reda Allah adalah tujuan utama dalam memimpin, sebagai contoh untuk mendapatkan pangkat lebih tinggi, mendapatkan harta yang lumayan dan sebagainya pasti cara dan tindakannya tidak berlandaskan syarak. Sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja asalkan tercapai segala hasrat buruk itu. 

Pasakkan reda Allah sebagai tujuan memimpin, pasti segala tindakan dan khidmat diberikan itu adalah yang terbaik tanpa ada sebarang penipuan atau pecah amanah. Jadikan peluang memimpin itu satu lubuk untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seterusnya menyebarkan manfaat kepada sekalian umat. 

• IKHLAS SEORANG AHLI 

Pemimpin dan ahli sangat berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain dalam suatu organisasi. Setiap daripada mereka mempunyai posisi masing-masing. Tidak kira sebesar-besar tugasan hingga ke sekecil-kecil pelaksanaan. 

Kedua-dua ini "ibarat aur dengan tebing" dan "ibarat isi dan kuku". Setiap satu memainkan peranan masing-masing, tersangatlah rapat serta saling memerlukan antara satu sama lain agar terus utuh dan tidak goyah. 

Ahli perlu faham apa yang dibawa oleh pimpinan dan pada ahli sendiri ada hak untuk memperbetulkan jika ada kekurangan dan kesilapan. Anggota itu sendiri manusia biasa, pasti ada kurang dan silapnya. 

Untuk mencapai objektif suatu organisasi ahli perlu dokong 100% dengan penuh telus dan tulus tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Di akhirnya nanti, suatu organisasi itu akan menggapai objektif yang telah direncanakan atas dasar keikhlasan pimpinan dan juga ahli. 

• IKHLAS SEORANG PELAJAR 

Sabda Nabi Muhammad SAW: 

ﻣَﻦْ ﺃَﺭَﺍﺩَ ﺍﻟﺪُّﻧْﻴَﺎ ﻓَﻌَﻠَﻴْﻪِ ﺑِﺎﻟْﻌِﻠْﻢِ، ﻭَﻣَﻦْ ﺃَﺭَﺍﺩَ ﺍﻟْﺎﺁﺧِﺮَﺓَ ﻓَﻌَﻠَﻴْﻪِ ﺑِﺎﻟْﻌِﻠْﻢِ، ﻭَﻣَﻦْ ﺃَﺭَﺍﺩَﻫُﻤَﺎ ﻓَﻌَﻠَﻴْﻪِ ﺑِﺎﻟْﻌِﻠْﻢِ 

Maksudnya: ”Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa yang menghendaki kehidupan akhirat, maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa menghendaki kedua-duanya maka wajib baginya memiliki ilmu”. [HR. Tirmizi] 

Sebagai seorang manusia perlu meletakkan ilmu suatu kepentingan. Tidak kira apa sahaja ilmu asalkan ilmu itu bermanfaat buat diri dan orang sekeliling. Hadis di atas menyebutkan segala perkara yang diinginkan di dunia mahupun akhirat hendaklah memiliki ilmu. 

Setiap penuntut ilmu pasti tahu tujuan mereka menuntut ilmu. Adakah untuk dipanggil sebagai alim ulama semata-mata? Adakah untuk mendapatkan kerja yang terbaik sahaja setelah tamat pembelajaran nanti? 

Tujuan atau niat seorang penuntut ilmu itu hendaklah jelas dan suci daripada anasir-anasir yang tidak baik. Ikhlas dalam belajar akan memudahkan segala perjalanan untuk menimba ilmu. Juga tidak lupa beramal dengan ilmu agar dapat menyebarkan segala manfaat buat masyarakat sekeliling di mana pun berada mahupun tanah air. 

Apabila ikhlas, pasti tiada perasaan tinggi diri atau sombong dengan ilmu di dada sedangkan sebanyak mana pun ilmu dimiliki, pasti tidak akan menggapai ke semuanya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. 

• IKHLAS SEORANG ANAK 

Setiap manusia di muka bumi ini pasti digelar seorang anak tidak kira tidak punya bapa atau ibu melainkan Nabi Adam a.s. Terpundak pelbagai tanggungjawab khususnya tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Membalas jasa ibu bapa adalah perkara utama sebagai seorang anak. 

Firman Allah SWT: 

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ 

Maksudnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
[Surah Luqman: Ayat 14] 

Jika masih ada ibu bapa, bantulah ringankan beban mereka, banggakan mereka dengan kejayaan yang boleh kita peroleh. Jika sudah ketiadaan ibu bapa, berusahalah menjadi anak yang soleh agar dapat mendoakan kesejahteraan mereka walaupun telah meninggal dunia. 

Sabda Nabi SAW berkaitan tiga perkara yang tidak akan putus walaupun manusia telah meninggal dunia, maksudnya: 

"Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. di dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak soleh yang berdoa baginya." 

Apabila seorang anak itu faham akan tanggungjawabnya, segala tindak-tanduknya akan dituturkan dengan niat yang baik. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan sejak kecil hingga berjaya seperti diri kita kini. 

• IKHLAS SEORANG SUAMI DAN ISTERI 

Mengikut tingkatan amal bagi individu muslim, seseorang itu akan ke peringkat ke seterusnya, iaitu keluarga muslim, seterusnya masyarakat muslim dan di akhir sekali Islam tersebar ke seluruh alam.  

Lelaki dan perempuan itu sifatnya berbeza, ada kurang dan lebihnya. Itulah yang saling melengkapi kerana diciptakan dari tanah yang sama. Ini berdasarkan firman Allah SWT: 

۞هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَجَعَلَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا لِيَسۡكُنَ إِلَيۡهَاۖ فَلَمَّا تَغَشَّىٰهَا حَمَلَتۡ حَمۡلًا خَفِيفٗا فَمَرَّتۡ بِهِۦۖ فَلَمَّآ أَثۡقَلَت دَّعَوَا ٱللَّهَ رَبَّهُمَا لَئِنۡ ءَاتَيۡتَنَا صَٰلِحٗا لَّنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّٰكِرِينَ 

Maksudnya: "Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): "Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur"."
[Surah al-A'raf: Ayat 189] 

Keluarga Muslim itu terbina dengan adanya suami dan isteri yang memahami sebaiknya tujuan perkahwinan itu. Bukan semata kehendak nafsu, akan tetapi memahami peranan masing-masing dalam menjalankan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. 

Suami memberi nafkah kepada isteri dengan sebaiknya. Isteri mentaati suami sepenuhnya selagi tidak bertentangan syarak. Kedua-duanya punya tugas tersendiri untuk menatijahkan keluarga yang harmoni. Dari situ, didikan yang baik akan disalurkan kepada anak-anak dan melahirkan generasi yang berkhidmat untuk umat. 

Tanpa ada keraguan dan penipuan, pasti akan melahirkan keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Kekal bahagia hingga ke akhir hayat itu bukan kerana cantik atau kacaknya pasangan, akan tetapi faham akan tanggungjawab dan ikhlas melaksanakannya itu memberi jaminan akan kebahagiaan yang diredai. 

Terdapat banyak lagi konteks yang dapat kita lihat dari sudut yang pelbagai akan peri pentingnya keikhlasan itu perlu ditanam dalam diri. 

Dapat kita sedari bahawa ikhlas seorang hamba Allah, pemimpin, ahli, pelajar, anak, suami isteri dan lain-lain itu hadir dari fahamnya tanggungjawab masing-masing maka terhasilnya ikhlas yang suci dalam setiap perkara yang dilakukan. 

Ikhlas itu bukan sekadar terpahat di bibir. Ikhlas yang sebenar itu adalah ketulusan hati yang terzahir seterusnya segala tindakan yang baik, mulus dan suci akan hadir. 

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: 

 أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ 

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
[Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)] 

Disediakan oleh:
KHAIRUL IEMAN BIN AZMI
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2021 

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]