[ BERITA: IHYA' TARBAWI RAMADAN 2021 (IHTIRAM '21) ]

[ BERITA: IHYA' TARBAWI RAMADAN 2021 (IHTIRAM '21) ]

KAHERAH, 9 April 2021 – Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana di atas kurniaan-Nya dapat kita sampai ke bulan Ramadan al -Mubarak ini. Sehubungan itu, program Ihya’ Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ‘21) telah dianjurkan bagi menggalakkan ahli untuk beribadat kepada Allah. IHTIRAM ’21 adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) bagi memeriahkan suasana anak-anak Wilayah Persekutuan yang menyambut Ramadan di bumi Mesir. Program ini telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan, bermula daripada 13 April 2021 sehingga 12 Mei 2021.

Sambutan IHTIRAM ‘21 pada kali ini sangat berbeza dengan sambutan IHTIRAM pada sesi sebelum ini. Hal ini kerana wujudnya penyakit yang menular di seluruh dunia iaitu pandemik COVID-19 yang boleh menjangkiti semua orang. Seluruh pelajar disarankan untuk duduk di rumah dan keluar mengikut keperluan sahaja. Oleh sebab itu, pihak program telah memutuskan untuk menumpukan program di dalam asrama dan rumah sewa ahli sahaja.
Antara objektif IHTIRAM ’21 adalah menghidupkan suasana Ramadan, meningkatkan thaqafah Islamiah dan membina tautan ukhuwah Islamiah dalam kalangan anak Wilayah Persekutuan.
Program IHTIRAM ’21 telah dimulakan dengan Majlis Perasmian Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat BKAWM, saudara Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri.

Sehubungan dengan itu, sebahagian ahli telah dilantik untuk menjadi imam dan bilal tarawih serta menjadi pentazkirah bagi menghidupkan suasana kerohanian sepanjang Ramadan. Di samping itu, pihak jawatankuasa program telah membahagikan tugasan gerak kerja yang bertujuan untuk melatih ahli-ahli BKAWM bagi membiasakan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat kelak.
Antara inisiatif IHTIRAM '21 bagi memupuk nilai-nilai rohani sepanjang program berlangsung antaranya ialah qiamullail, tadarus al-Quran dan mengeluarkan poster ibadat sunat sepanjang Ramadan. Selain itu, paparan video sempena 10 malam terakhir juga turut disediakan di laman rasmi BKAWM (Jendela Bkawm) untuk menggalakkan ahli agar lebih bersemangat untuk memperbanyakkan amalan di sepuluh malam terakhir Ramadan.

Sepanjang program berlangsung, ia diserikan dengan Iftar Jamaie yang sering dinanti-nantikan oleh seluruh ahli. Secara tidak langsung ikatan silaturahim yang dibina antara ahli dapat diperkukuhkan. Selain itu, turut diadakan aktiviti Syantah Ramadan iaitu bantuan berupa barangan keperluan asasi kepada ahli asrama dan ahli rumah sewa. Ini bertujuan untuk menyempurnakan objektif IHTIRAM ’21 iaitu menanam serta memupuk sifat ukhuwah Islamiah antara anak Wilayah Persekutuan.
Pengisian thaqafah juga tidak ditinggalkan dalam meningkatkan thaqafah Islamiah anak-anak Wilayah Persekutuan di mana pihak IHTIRAM ‘21 telah mengadakan diskusi kitab Ramadan, menyediakan video berbentuk ilmiah tentang amalan dan fadilat berpuasa di samping mengeluarkan wallpaper infografik. Terdapat juga video berkaitan Nuzul al-Quran dan Lailatulqadar. Turut diadakan kuiz online bagi menguji kefahaman ahli berdasarkan wallpaper ilmiah tersebut.
IHTIRAM ’21 melabuhkan tirai pada 12 Mei 2021 bersamaan 30 Ramadan 1442H dengan melaksanakan majlis Khatam al-Quran secara atas talian.
Akhirnya, pihak program ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli dan para penyumbang yang telah menyerikan suasana Ramadan melalui program IHTIRAM ’21 ini. Bersama-sama kita memohon agar Allah SWT menerima sumbangan kecil ini sebagai suatu amalan yang barangkali dapat membantu kita masuk ke syurga-Nya.

Harapan kami agar program IHTIRAM pada kali ini sedikit sebanyak berjaya menghidupkan suasana kerohanian dan mengukuhkan tautan ukhuwah seiring dengan objektif yang telah digariskan pihak program.

Disediakan oleh,
MUHAMMAD ZUHAIRI BIN KHAIRIL ARIFFIN
Setiausaha,
Ihya’ Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ‘21),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2021.

“Ramadan Murabbi Hamba Rabbani”

“Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan”
“BKAWM Keluarga Kita’’
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]