[ KALAM PIMPINAN: RAHMAT DI SEBALIK UJIAN ]


[ KALAM PIMPINAN: RAHMAT DI SEBALIK UJIAN ] 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له, وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

Ada banyak orang berani yang tidak mengakhiri hidup sebagai seorang yang pemberani. Kerana mereka gagal menahan beban yang mendatang.

Kesabaran adalah daya tahan psikologi yang menentukan sejauh apa kita mampu membawa beban, dan sekuat apa kita mampu bertahan dalam menghadapi tekanan hidup.

1. Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita.

Dalam surah al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?”. Bermakna apa juga musibah, bala atau ujian, Allah datangkan dan izinkan berlaku bagi meningkatkan lagi keimanan dan darjat seseorang hamba itu di sisi-Nya.

Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dari Allah kerana kufur mereka. Ada pula orang, setiap ujian yang datang akan mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah. Hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

2. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar.

Ada ketikanya Allah berikan kita ujian dan menarik nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini bagi melihat dan menguji kesabaran kita sebagai hamba. Sekiranya kita sabar dan reda maka Allah akan tambah dengan nikmatnya yang berlipat kali ganda lagi.

Kita menyesali akan nikmat yang telah Allah uji namun fikirkanlah betul-betul kita masih punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan kaki, anak-anak, kesihatan tubuh badan, kasih sayang kedua ibu bapa, pekerjaan yang tetap, rumah tempat berteduh dan banyak lagi.

"Maka nikmat Rab kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

3. Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar.

Ada ketikanya Allah berikan satu musibah kecil berlaku ke atas kita kerana menghalang satu musibah yang lebih besar.

Misalnya dalam perjalanan ke pejabat tiba-tiba kereta kita rosak dan memaksa kita berhenti di bahu jalan. Kita mungkin marah sebab ada urusan penting yang perlu disegerakan hari itu. Tapi apa pula persepsi kita tidak jauh daripada tempat kita berhenti itu telah berlaku satu kemalangan yang meragut nyawa dan kita tahu kalau tidak kerana kereta kita rosak maka kita adalah salah seorang yang mungkin terlibat dengan kemalangan tersebut kerana beza masanya hanya beberapa minit sahaja daripada masa berlaku kerosakan pada kereta tersebut.

4. Sebagai menghapus dosa.

Dalam hidup ini tiada siapa yang tidak melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil atau besar. Oleh itu Allah turunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menerimanya. Sekiranya kita bersyukur maka Allah hapuskan dosa-dosa kita itu.

5. Memberikan kesedaran kepada kita.

Jika manusia ini tidak ditimpa musibah sehinggakan segala apa yang mereka mahukan mereka dapat dan semua yang mereka lakukan menjadi; maka akan timbullah rasa sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Ujian dan bala yang Allah turunkan itu adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai hamba bagi mengingatkan diri kita betapa lemah dan kerdilnya kita. Bak kata pepatah Melayu ‘bila terhantuk barulah terngadah’. Bila kena barulah mahu beringat-ingat. 

6. Memberikan iktibar kepada orang lain.

Setiap dugaan yang berlaku sebenarnya mengandungi banyak rahsia, maksud dan ingatan yang tersirat bukan sahaja buat mereka yang ditimpa musibah tetapi juga buat seluruh umat manusia. Bagi mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti dapat lihat bagaimana Allah boleh turunkan bencana dan dugaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

Tiada siapa pun yang boleh lari dari ujian Allah ini dan hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang mampu tenang disaat berlakunya musibah dan ujian.

7. Tanah subur bagi mereka yang mahu menyemai.

Musibah yang menimpa orang lain membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai lebihan harta dan wang untuk menderma dan menghulurkan bantuan.

Apabila apa yang diberikan itu dengan niat yang ikhlas maka Allah akan melipatgandakan lagi rezeki kita seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang mafhumnya:

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) serta Maha Mengetahui.” Begitulah luasnya rahmat Allah yang meliputi seluruh langit dan bumi.

8. Tanda Allah masih sayangkan kita.

Setiap dugaan yang Allah berikan itu adalah sebagai tanda Tuhan masih sayangkan kita lalu diberikan oleh-Nya peringatan agar kita cepat sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan. Jika Allah tidak sayangkan kita maka pastilah Allah biarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.

Allah suka apabila kita memuji-Nya, meminta kepada-Nya dan merintih di hadapan-Nya. Sebab itulah Allah berikan kita sedikit kesusahan agar kita tidak terpedaya dan lalai dalam kehidupan yang sementara ini.

Begitulah hebatnya Allah SWT. Di sebalik dugaan, musibah dan ujian itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Ada ketikanya kita rasakan sesuatu itu baik untuk kita tetapi sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu berserahlah kepada Allah dengan penyerahan yang sebenar-benarnya. Teruslah berfikiran positif dengan mencari hikmah, kebaikan dan kekuatan atas segala ujian, keburukan dan kelemahan.

Disediakan oleh:
NURIL ANWAR BIN IBRAHIM
Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKAWM sesi 2021

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


 

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah