[ KALAM PIMPINAN: ADAB, ILMU DAN AMAL ]


[ KALAM PIMPINAN: ADAB, ILMU DAN AMAL ]

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الكريم أرسله ربه رحمة للعالمين هاديا ومبشرا ونذيرا وداعيا إلى الله بإذنه وسراجا منيرا وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

Alhamdulillah bersyukur pada Allah SWT atas nikmat Iman dan Islam. Moga-moga dengan nikmat yang Allah kurniakan menjadi kekuatan kepada diri kita selaku khalifah di muka bumi ini untuk terus berusaha menegakkan agama Allah. Selawat dan salam buat junjungan baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan tabi tabiin.

Berkaitan tajuk di atas, saya ingin menyatakan bahawa adab, ilmu dan amal mestilah bersama dan saling melengkapi. Jika tiada salah satu maka kita akan dapati sedikit kelompongan atau kecacatan. 

1. ADAB

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, adab membawa maksud tingkah laku serta tutur kata yang sopan. Secara ringkasnya adalah akhlak yang baik.

Kenapa pentingnya akhlak yang baik? Kerana nabi kita Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling mulia akhlaknya. Siapa lagi yang kita perlu contohi jika bukan baginda Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT,

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِیمࣲ

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

[Surah al-Qalam: Ayat 4]

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ 

Maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik."

[Surah al-Ahzab: Ayat 21] 

Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا 

Maksudnya: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya."

مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيُبْغِضُ الْفَاحِشَ الْبَذِيءَ 

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat selain akhlaknya yang baik. Allah sangat membenci orang yang kata-katanya kasar dan kotor.”

Islam sangat menitikberatkan adab atau akhlak bagi diri seseorang muslim. Berapa ramai yang memeluk Islam kerana tertariknya mereka dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.

2. ILMU

Ilmu adalah suatu pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat dan sebagainya. Kenapa adab sangat berkait dengan ilmu? Kerana adab akan menundukkan diri kita supaya tidak sombong dengan ilmu yang kita ada.

Seperti mana kalam Imam Yahya bin Muhammad Al 'Anbary:

علم بلا أدب كنار بلا حطب
وأدب بلا علم كروح بلا جسم

Maksudnya: "Ilmu tanpa Adab bagai api tanpa kayu. Adab tanpa Ilmu bagai ruh tanpa tubuh."

Imam Zarnuji di dalam kitab Taklim al-Mutaallim ada menyebutkan: 

ينبغي لطالب العلم أن يتحرز عن الأخلاق الذميمة فإنها كلاب معنوية

Maksudnya: "Penuntut ilmu hendaklah meninggalkan akhlak yang buruk, kerana akhlak yang buruk itu ibaratnya seperti anjing."

Sepertimana adanya hadis nabi berkaitan malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya mempunyai gambar atau anjing, begitulah juga hati yang di dalamnya ada maksiat pada Allah dan akhlak yang buruk maka ilmu tidak akan masuk ke dalam hatinya.

3. AMAL

Amal merupakan perbuatan yang baik yang mendatangkan faedah kepada orang lain. Amal yang baik akan datang daripada ilmu yang bermanfaat. Maka, penting bagi kita untuk melakukan sesuatu amalan itu berlandaskan ilmu.

Kesimpulannya, ketiga-tiga elemen ini sangat berkait dan saling melengkapi. Ilmu tanpa adab akan nampak tempang, amal tanpa ilmu juga tidak kena begitulah sebaliknya. Jadi, marilah sama-sama kita berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada pada diri kita serta menjadi muslim yang beradab, berilmu dan beramal.

واللَّه تعالى أعلم

والسلام عليكم ورحمة اللَّه تعالى وبركاته. 

Rujukan: 
1) Al-Quran al-Karim 
2) Hadis Nabi asy-Syarif
3) Taklim al-Mutaallim 

Disediakan oleh:
MUHAMMAD FAIZ BIN MOHAMAD SHAHARIN
Timbalan Yang Dipertua BKAWM sesi 2021/2022

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]