[ KALAM PIMPINAN: WEHDATUL UMMAH ]

[ KALAM PIMPINAN: WEHDATUL UMMAH ]

‎بسم الله الرحمن الرحيم
‎الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Firman Allah SWT:

‎إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰ وَأَنَا۠ رَبُّكُمۡ فَٱعۡبُدُونِ    

“Sesungguhnya ini umatmu umat yang satu dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.”

(Surah al-Anbiya': Ayat 92)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, Allah menerangkan bahawa umat Islam merupakan wehdatul ummah iaitu umat yang bersatu dan kita selaku umat Islam pada hari ini harus bersyukur bahawa Allah telah menjadikan kita sebagai umat yang satu dengan berusaha menjaga persatuan dan kesatuannya.

Namun yang terjadi pada hari ini adalah sebaliknya, bahkan sebahagian pengikut agama Islam sendiri telah menjadikan umat berpecah belah menjadi beberapa golongan dan masing-masing berbangga dengan golongannya. Manusia berlumba-lumba untuk mengejar nikmat dunia, harta, pangkat sehingga akhirnya mereka saling berpecah-belah dan bersengketa antara satu sama lain. Antara sebab berlaku sedemikian adalah kerana umat manusia pada hari ini telah mengabaikan tujuan mengapa manusia diciptakan di muka bumi oleh Allah, iaitu untuk beribadah dan menyembah-Nya, mengajak manusia kepada kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah seperti firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ  

Maksudnya: "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." 

(Surah al-Dzariyat: Ayat 56)

یُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَیُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِینَ    
 ‏
Maksudnya: "Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh."

(Surah Ali Imran: Ayat 114)

Oleh itu, kehidupan di dunia ini haruslah dibekali dengan amal ibadah, tolong menolong dalam perkara kebaikan kerana elemen kesatuan tidak akan terbina tanpa tujuan-tujuan tersebut dan Allah 
mengutuskan para Nabi untuk menyatukan semula umat manusia kerana kesatuan umat Uslam amat penting dalam menegakkan agama Allah.     

Antara peranan sebagai mahasiswa dan selaku umat Islam untuk mengekalkan kesatuan atau kekal bersatu ialah:

1. Berpegang teguh dengan agama Allah.

Kesatuan sebenar yang dikehendaki oleh Allah dalam agama Islam ini adalah kesatuan dalam akidah, manhaj, dakwah, jihad dan berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah dan kesatuan yang dimaksudkan bukan sekadar suatu kelompok yang berkumpul tanpa matlamat akan tetapi lebih ditekankan kepada kesatuan hati dalam berakidah. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran: 

‎وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang  yang bersaudara.”

(Surah Ali-Imran: Ayat 103)

2. Menjaga solat dengan melakukan solat secara berjemaah. 

Solat berjemaah merupakan lambang kepada kesatuan umat Islam. Solat secara berjemaah dapat menyatukan hati-hati kita serta dapat mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain. Inilah kekuatan umat Islam bagi merealisasikan sebuah daulah islamiah yang kita impikan.

3. Elakkan perbezaan yang membawa kepada perpecahan. 

Allah SWT mewajibkan kaum muslimin untuk segera mencari jalan keluar jika terdapat perselisihan di antara mereka supaya keburukan yang ada di dalamnya tidak tersebar luas selertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat:

‎إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ  

Maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

(Surah al-Hujurat: Ayat 10)

Maka kita sebagai umat Islam harus menjadikan takwa sebagai pegangan utama, tidak boleh membiarkan saudara sesama Islam berada dalam perselisihan kerana tidak sempurna iman seseorang kecuali ia dapat mencintai saudara seimannya seperti ia cintakan diri sendiri.

Jika kita lihat, BKAWM merupakan salah satu sebuah kesatuan yang membawa agenda Islam. Maka marilah sama-sama kita manfaatkan wadah ini dengan sebaiknya agar kita dapat mencapai tujuan utama iaitu bersatu padu dalam menegakkan daulah islamiah. Gunakan peluang yang ada untuk membentuk diri dan manfaatkan ilmu yang kita peroleh untuk masyarakat akan datang agar kesatuan umat Islam terpelihara dan tidak berpecah belah. Rasulullah SAW bersabda:

‎  فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَا عَةَ يَرْكُضُ

Maksudnya: “Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan jemaah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jemaah (kelompok umat Islam).”

‎اللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُومًا، وَاجْعَلْ تَفَرُّقَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقًا مَعْصُومًا، وَلَا تَجْعَلْ فِينَا وَلَا حَوْلَنَا وَلَا بَيْنَنَا شَقِيًّا وَلَا مَطْرُودًا وَلَا مَحْرُومًا.

Disediakan oleh:
NUR ALIA FARHANA BINTI MOHD ZAKI,
Naib Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam
BKAWM sesi 2021/2022.

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]