KALAM PIMPINAN: DETIK AKHIR BERSAMA RAMADAN

 



 [ KALAM PIMPINAN: DETIK AKHIR BERSAMA RAMADAN ]


Bismillahirrahmanirrahim


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Masya-Allah, tanpa disedari kita sudah menghampiri penghujung Ramadan al-Mubarak. Terasa baru sahaja masuk ke dalam bulan Ramadan. Agak-agaknya kita sudah berjaya atau tidak mencapai matlamat utama puasa Ramadan seperti yang disebutkan dalam al-Quran?


لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ


“…supaya kamu bertakwa.”


(Surah al-Baqarah: Ayat 183)


Untuk mencapai hakikat takwa yang sebenar, bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun, ia juga bukanlah perkara yang mustahil untuk dicapai jika disulami dengan usaha dan kekuatan iman. 


Dengan masa yang berbaki ini, marilah kita bersama-sama mengerah segala kudrat untuk merebut peluang yang ada. Moga-moga Allah memilih kita untuk menerima rahmat dan pengampunan-Nya serta tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. 


Di dalam Kitab Fadhail Ramadan wa Ahkamuhu karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan, disebutkan beberapa amalan yang boleh kita lakukan untuk pecutan terakhir bulan Ramadan:


1. Perbanyakkan doa sebelum berbuka puasa. 

Waktu tersebut merupakan waktu doa mustajab. Antara doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW:


‎اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي


Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”


(HR at-Tirmidzi)


2. Memberi makan untuk orang berbuka puasa. 

Sabda Rasulullah SAW:


مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا، كَانَ لَهُ مِثْلُ أجْرِهِ، غَيْرَ أنَّهُ لاَ يُنْقَصُ مِنْ أجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ


Maksudnya: “Barang siapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh seperti pahala orang yang berpuasa tadi tanpa dikurangi sedikit pun.”


(HR at-Tirmidzi)


3. Sibukkan diri dengan membaca al-Quran dan menghayatinya. 

Sabda Rasulullah SAW:


الصِّيَامُ وَالقُرآنُ يُشَفِعَانِ لِلْعَبدِ يَومَ القِيَامَةِ. يقولُ الصِيامُ: أَي رَبَّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامُ وَالشَّهوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ. وَيَقُولُ القُرآنُ: رَبِّ، مَنَعْتُهُ النَّومَ بِاللَّيلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ فَيُشَفِّعَانِ


Maksudnya: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat.”


(HR Ahmad)


4. Menggandakan infak dan sedekah. 

Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat dermawan dan puncak kedermawanan baginda adalah di bulan Ramadan. 


5. Menghidupkan malam dengan ibadah, zikrullah dan istighfar. 

Firman Allah SWT:


‎وَمِنَ ٱلَّیۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةࣰ لَّكَ عَسَىٰۤ أَن یَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامࣰا مَّحۡمُودࣰا


Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”


(Surah al-Isra': Ayat 79)


Setelah kita berusaha melakukan yang terbaik, kita serahkan hasilnya kepada Allah SWT. Namun, adakah usaha kita terhenti setakat di bulan Ramadan?


رب رمضان هو رب الشوال، ورب الشهور كلها، هو الله تعالى. 


"Tuhan bulan Ramadan adalah tuhan bulan Syawal, dan tuhan sekalian bulan adalah Allah Taala."


من كان يعبد رمضان فإن رمضان قد مر وانتهى، ومن كان يعبد رب رمضان فإن الله تعالى حي لا يموت. 


"Siapa yang menyembah Ramadan sesungguhnya Ramadan akan berlalu dan tamat, dan siapa yang menyembah tuhan Ramadan sesungguhnya Allah Taala Maha Hidup dan tidak mati."


Begitulah yang dinukilkan di dalam Kitab Maza Ba’da Ramadan karangan Abdul Qadir Mahmud al-Bakar. Berterusan dalam ketaatan kepada Allah SWT adalah pada bulan Ramadan dan selain bulan Ramadan. 


Semoga kita dikurniakan istiqamah dan tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat kecelakaan seperti yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW:


‎إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin.”


(HR Ibn Hibban)


والله أعلم بالصواب. 


Disediakan oleh:

NUR QASDINA BINTI MOHD IHWAN

Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi 2021/2022


“Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan”

“BKAWM Keluarga Kita”

“Bersama Bersatu”


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]