KALAM PIMPINAN: METODOLOGI ILMU DALAM ISLAM


[ KALAM PIMPINAN: METODOLOGI ILMU DALAM ISLAM ] 

اَلْحَمْدُ للَّهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الْحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْدًا، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ, اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ, أَمَّا بَعْدُ

Bismillahirrahmanirrahim, 
Assalamualaikum wbt.

Insya-Allah pada kesempatan ini saya akan berkongsi berkenaan satu topik polemik yang baik untuk diketahui umum iaitu metodologi ilmu dalam Islam.

Ilmu dalam Islam telah mendorong masyarakat Islam mencapai peradaban yang maju namun kemudian telah dijajah oleh bangsa barat yang telah menyebabkan kemunduran Islam. Kemajuan mereka (bangsa barat) pada hakikatnya adalah hasil plagiat dari peradaban Islam jua. 

Antara faktor kejatuhan Islam pada ketika itu adalah kerana mereka meninggalkan al-Quran, mengabaikan tradisi ilmiah dan kesalahfahaman terhadap Islam itu sendiri. Oleh kerana itu, digubal satu kaedah iaitu metodologi ilmu dalam Islam yang membahas tentang Islam melalui pendekatan ilmiah agar Islam mampu difahami keseluruhannya.

🔶 APA ITU METODOLOGI ILMU? 

Metodologi secara literalnya adalah ilmu-ilmu yang digunakan untuk memperoleh kebenaran melalui penelusuran kaedah tertentu bergantung kepada ilmu yang dibahaskan. Melalui metodologi juga ia menawarkan asas teori untuk memahami kaedah, set kaedah atau amalan terbaik yang boleh digunakan untuk mencapai sesuatu yang diinginkan. Ilmu pula kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara, yang mana ia merupakan kefahaman yang sistematik dan diusahakan secara sedar.

Maka boleh disimpulkan bahawa metodologi ilmu adalah ilmu-ilmu atau cara yang digunakan untuk memperoleh kebenaran melalui penelusuran kaedah tertentu bergantung kepada perkara yang sedang dikaji.

🔶 PEMBAHAGIAN KAEDAH DALAM METODOLOGI ILMU 

Empat bahagian yang boleh saya bawakan antaranya: 

1. Kaedah Sosio-sejarah Kritikal 
Kaedah yang menekankan aspek sejarah dengan melihat sesuatu pernyataan yang mempunyai hubungan dengan masa, tempat, budaya dan persekitaran tempat dan budaya itu berkembang. 

2. Kaedah Fenomenologi
Pendekatan yang mengkaji kepelbagaian sebagaimana ia muncul dan berakar umbi. 

3. Kaedah Filologi
Satu kajian yang tugasnya meneliti dan menyunting manuskrip untuk dapat mengetahui kandungannya. Kaedah filologi bercakap tentang teks dan bentuk seperti manuskrip kuno.

4. Kaedah Kompratif
Kajian yang membandingkan satu objek dengan objek yang lain. 

🔶 FUNGSI MENGKAJI METODOLOGI ILMU DALAM ISLAM 

1. Islam merangkumi semua aspek baik duniawi mahupun ukhrawi dan kedua-duanya tidak harus dipisahkan sehingga kita memerlukan metodologi untuk memudahkan penerokaan kedua-duanya. 
2. Islam difahami dari pelbagai sudut. Jadi kita perlukan satu kaedah untuk mengetahui sudut pandangan atau pemahaman mana yang lebih relevan untuk kita ikuti.
3. Memupuk rasa toleransi antara pelbagai pendapat melalui pemahaman kita yang mendalam tentang kaedah itu sendiri. 

🔶 MENCAKUPI SEGALA BIDANG 

Syeikh Naquib al-Attas membahagikan skop ilmu kepada tiga iaitu: 
1) Pengajian Islam 
2) Pengetahuan agama 
3) Sains Islam 

Ini menunjukkan bahawa perbahasan ilmu tidak hanya tertumpu pada bidang syariat semata-mata bahkan skop perbincangannya sangat luas meliputi ilmu sains sehinggakan telah lahir beberapa tokoh ilmuan dalam sesebuah bidang seperti al-Khawarizmi, tokoh dalam bidang matematik, Ibnu Sina, tokoh dalam bidang fizik dan beberapa ilmuan yang lain.

Lebih menarik lagi, dalam al-Quran sendiri telah menceritakan beberapa fenomena sains seperti proses penciptaan manusia. Firman Allah SWT: 

ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمࣰا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمࣰا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِینَ

Maksudnya: "Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."

[ Surah al-Mukminun: Ayat 14 ] 

🔶 KESIMPULAN 

Allah SWT sebagai pencipta telah memberi ganjaran kepada makhluknya dengan akal dan pancaindera untuk menelusuri suatu kebenaran yang dapat dilihat secara rasional dan empirik (melalui kajian dan metod ilmu) sehingga akhirnya ilmu yang ada tidak terbentuk atas dasar kesangsian. Sementara itu, keraguan yang ada dapat diselesaikan dengan kebenaran berdasarkan pedoman dan tuntutan yang terdapat dalam al-Quran yang relevan sepanjang zaman. 

Semoga bermanfaat. 

Disediakan oleh: 
MUHAMMAD NU'MAN ZAFRI BIN MOHD NAZIR 
Setiausaha Agung BKAWM sesi 2021/2022

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah