Imtihan Menguji Keikhlasan Kita Dalam Menuntut Ilmu
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين, اما بعد...
Segala pujian selayaknya disandarkan kepada Allah SWT dan bersyukur kita di atas segala kurniaanNYA kerana masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan perjalanan kita dalam menuntut ilmu Allah taala di bumi Anbiya’ ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, penghulu segala Nabi dan Rasul, serta ahli keluarga baginda dan para sahabat yang dirahmati Allah.
Sahabat – sahabiah yang dirahmati Allah,
Hari-hari yang dinantikan bagi kita untuk menghadapi imtihan telah pun bermula. Pastinya di saat ini ramai di kalangan kita yang bersungguh-sungguh belajar dan tekun menelaah kitab-kitab kuliah bagi memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Dalam usaha mencapai kejayaan ini, marilah sama-sama kita koreksi kembali hati kita, adakah dengan kesungguhan semangat yang ada ini tujuannya adalah ikhlas lillahi taala atau sebaliknya. Sebagaimana dalam hadis ada menyebut tentang ilmu mafhumnya, daripada Abu Hurairah Radiyallahu Anhu berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“sesiapa yang belajar ilmu pengetahuan dari jenis ilmu yang sepatutnya dipelajari hanya untuk mencapai keredhaan Allah SWT (ilmu agama), tetapi ia mempelajari ilmu tersebut tidak lain tujuannya hanya untuk mencapai sesuatu tujuan keduniaan, maka orang yang sedemikian tadi tidak akan mencium bau wangi syurga”
(Hadis riwayat Abu daud)
Oleh itu, ingatlah wahai sahabat, ikhlas itu merupakan roh bagi setiap ibadah yang kita laksanakan. Jika kita tidak ikhlas dalam menuntut ilmu, maka tidak ada nilainya di sisi Allah.
Perlu diingatkan juga dengan kesungguhan kita dalam menghadapi imtihan ini tidak akan sempurna tanpa pergantungan harapan kepada Allah SWT. Seorang yang beriman akan sentiasa bertawakal kepada Allah selepas ia berusaha serta jauhilah dari terputusnya tali harapan kepada Allah.
Firman Allah:
“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”(Yusuf:87)
Disaat genting ini juga, janganlah kita lupa untuk mendoakan kedua ibubapa kita, pohon restu mereka, kerana keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibubapa kita serta doakan juga kepada sahabat-sahabat kita kerana dengan mendoakan orang lain tanpa pengetahuannya adalah lebih cepat dan mudah dikabulkan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ummu Ad-darda’ berkata, sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda, maksudnya :
“Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Disisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa bagi saudaranya itu. Malaikat yng diwakilkan itu pula berkata: “Amiin, dan bagimu seumpama (yang didoakan)”
(Hadis Riwayat Muslim)
Jadikan fatrah imtihan ini sebagai madrasah untuk kita mendidik hati dengan menguatkan keimanan kepada Allah. Kejayaan dan kegagalan semuanya di dalam genggaman Allah SWT. Manusia hanya perlu berusaha, keputusannya ditangan Allah.
Ambillah peluang selagi mana diberi nikmat kesihatan dan masa lapang ini, maka tingkatkanlah ibadat kita di dalam bulan Rejab. Ketahuilah bagi orang yang memuliakan bulan Rejab itu, akan dimuliakan pada hari akhirat kelak. Dengan ini, marilah kita perbanyakkan puasa sunat, bersedekah dan digalakkan juga berdoa untuk kedua ibubapa kita serta berdoa dengan doa Rasulullah S.A.W apabila masuk bulan Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان
"Ya Allah berkatilah kami di dalam bulan Rejab dan Sya’ban, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”
Akhir kalam, saya berkata untuk diri saya sendiri dan juga ingin mengajak sahabat-sahabat sama-sama kita muhasabah kembali niat kita dalam mencari mutiara Allah taala ini. Harapan buat diri ini dan juga sahabat-sahabat agar kita diberi keampunan di atas dosa-dosa yang lalu dan diberi kesempatan untuk meningkatkan amalan kita di bulan yang barakah ini sebagai bekalan di akhirat sana.
Saya mewakili seluruh AJKT/HEWI BKAWM sesi 2010/2011 mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Rejab yang mulia dan selamat berusaha. Moga Allah kurniakan kejayaan yang cemerlang buat anak-anak Wilayah khususnya.
Sekian.
Afifah binti Ramli
Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir(BKAWM)
sesi 2010/2011
Comments
Post a Comment