Israk dan Mi’raj : Peristiwa Penting Bulan Rejab.


Bulan Rejab hampir pun melabuhkan tirai. Syaaban kini dan Ramadhan menanti. Semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat itu. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk dan Mi’raj yang berlaku pada malam 27 rejab tahun ke 11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W.

Pengertian Israk dan Mi’raj:

Israk bererti “ Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis Palestin ”. Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam Al-Quran.


Firman Allah Taala bermaksud:

“ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat ". ( surah al-Israa: ayat 1)

Sementara itu Mi’raj pula bermakna “ Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid Al-Aqsa ke Sirat Al-Muntaha' di langit ketujuh dekat singggahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

“ Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidratul Muntaha. Di dekatnya terletak tempat tinggal (Jannatul Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidratil Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar”.

( surah an-Najm: ayat 13-18)

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk dan Mi`raj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Mekkah pada malam yang sama.



Difardukan solat lima waktu :

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses pengibadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardhu.

Sewaktu tiba di Sidratul Muntaha, Rasulullah S.A.W telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara Baginda S.A.W dan Jibril bersiap untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S yang bertanyakan hal itu kepada Baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W, maka Nabi Musa A.S berkata: “ Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu ”.

Nabi Muhammad S.A.W dan Jibril kembali menghadap Allah Taala. Jumlah bilangan solat dikurangkan kepada 40waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S kemudiannya maka Nabi Musa A.S meminta Baginda kembali menemui Allah Taala untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardhu tersebut menjadi 5 waktu sahaja sehari semalam.

Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk dan Mi’raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah di Israk dan di Mi'rajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mi’raj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa yang tiada mustahil bagiNYA.



Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka, kerana kejadian Isra' Mikraj tidak boleh dilihat berdasarkan zahir memandangkan rahsianya yang sukar untuk dibongkar. Namun, jika ditinjau dari sudut simbolik, sudah tentu ia memberikan begitu banyak pengetahuan dan pengajaran yang berguna khususnya buat umat Islam.

Dari segala apa yang telah dinyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajran dapat diambil dari peristiwa Israk Mi’raj ini. Bukanlah hanya sekadar cerita untuk dibaca dan didengar semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari penulisan ini.

Insya Allahu Taala.Wallahu Taala A’lam.

Disediakan oleh:
Unit Biah Solehah,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 10/11.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]