SINAR MENDAPAT RESPON YANG BAIK DARI AHLI
"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah Al-Mujaadalah [58] : 11
Kecemerlangan akademik merupakan elemen yang tidak asing lagi dan menjadi impian segenap lapisan masyarakat, dari yang paling muda hinggalah yang sudah lanjut usia. Malah, ia menjadi kayu ukur dalam menentukan tahap dan kedudukan seseorang manusia, sesebuah masyarakat, mahupun negara. Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa pencapaian yang zahir lahir dari dalaman yang teguh hasil pembentukan peribadi yang luhur dan cemerlang.
Justeru, Unit Pendidikan dan Pengetahuan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan telah menganjurkan sebuah program berbentuk motivasi iaitu Semarak Peribadi Mahasiswa Cemerlang (SINAR ’11) sebagai persediaan awal membina motivasi dalaman sebelum menghadapi peperiksaan Fasa 1. Program yang telah dijalankan dengan jayanya pada 26 November 2011 yang lepas ini merupakan sebuah program yang berkonsepkan peningkatan akademik dan kemantapan rohani.
Tirai program bermula dengan Slot Qiamullail yang turut disertai oleh Penasihat BKAWM, Ustaz Baihaki. Slot ini dijalankan bagi membina jati diri dan kekuatan dalaman para peserta melalui aktiviti mendekatkan diri kepada Allah selaras dengan objektif program iaitu meningkatkan kerohanian dan jati diri ahli-ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir.
Dalam membina jati diri sehebat para tokoh islam zaman dahulu seperti Sultan Muhammad al-Fateh, penghijrahan diri dari sudut peribadi dan mental sangat penting. Bersesuaian dengan itu Slot Motivasi Pagi dijalankan dengan pengisi yang cukup memberi inspirasi iaitu Ustazah Nurain Yaacob. Bersempena dengan kehadiran Awal Muharram, konsep penghijrahan Nabi Muhammad SAW diterapkan dalam jiwa para peserta dengan penuh bersemangat.
Slot seterusnya disampaikan oleh seorang mahasiswa cemerlang yang cukup masyhur dalam kalangan pelajar-pelajar iaitu Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Mohd Fadzil. Slot yng diberi nama ‘Daripada Zero ke Hero; ini membawa para peserta kepada kesedaran diri tentang posisi dan kedudukan diri masing-masing dalam akademik mereka, seterusnya cara untuk mereka menggunakan kelebihan tersebut bagi memajukan diri sendiri khasnya, dan Islam amnya.
Program SINAR ’11 turut menjalankan Slot Cinema BKAWM-Tayangan Sirah Nubuwwah bagi meperingati kembali sirah Nabi Muhammad SAW dalam perjuangan baginda menegakkan agama Allah di muka bumi dalam suasana santai. Sesungguhnya, contoh motivasi terhebat tidak lain dan tidak bukan hanyalah Nabi Muhammad SAW dahulu, kini dan selamanya.
Kecergasan tubuh dan fizikal amat memainkan peranan penting dalam mencerdaskan minda serta meningkatkan jati diri penuntut-penuntut ilmu Allah. Sehubungan dengan itu, Slot Syabab Aktif dijalankan berbentuk aktiviti riadah yang turut menerapkan nilai-nilai positif dan kesedaran.
Slot Pemakanan Sihat merupakan slot yang memberi banyak input yang menarik oleh pengisinya Dr. Nihal bt Mohd Tarmizi, mahasiswa Perubatan, Tahun 3, Universiti al-Azhar. Slot disampaikan dalam suasana ceria dan santai memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri para peserta.
Kemuncak program Semarak Peribadi Mahasiswa Islam SINAR ’11 ialah Slot Gempur Motivasi yang sememangnya dinantikan sejak awal program. Slot berbentuk talk-show itu membawa tajuk ‘Keunggulan Peribadi Mencorak Kecemerlangan Akademik’. Panel yang dijemput merupakan tokoh-tokoh yang dibawakan khas seperti Ustaz Abdul Hadi bin Jusoh, mahasiswa cemerlang Qiraat Shoubra, Ustaz Zulfi Akmal, mahasiswa cemerlang dari Indonesia, serta Dr. Aman al-Muiz, mahasiswa Perubatan, Tahun 4, Universiti al-Azhar.
Alhamdulillah, Program Semarak Peribadi Mahasiswa Cemerlang (SINAR ’11) berakhir dengan jayanya. Harapan kami, para peserta yang terdiri daripada ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir mendapat manfaat serta nilai tambah sepanjang program berlansung. Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dari pihak penganjur dan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir kepada pihak Jawatankuasa Pelaksana SINAR ’11, para peserta serta semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga setiap perancangan yang dirancangkan mendapat payungan redha dan rahmat dari Allah SWT.
Comments
Post a Comment