Kalam Pimpinan - Selamat Menghadapi Peperiksaan Fasa 1


Bismillahirrahmanirrahim,
Selaut kesyukuran dirafa’kan kepada Allah SWT,selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW,ahli keluarga serta sahabat baginda.

Al-khatib al-Baghdadi menceritakan dengan sanadnya sampai kepada al-Fadhl bin Sa’id, dia berkata :
“Dahulu ada seseorang yang menuntut ilmu. Lalu dia merasakan tidak mampu mengikutinya. Maka, dia putuskan untuk berhenti sahaja daripada menuntut ilmu. Ketika dia sedang berjalan dan melihat aliran air dari gunung yang menitis ke atas batu, sehingga membuat batu itu cengkung hasil daripada titisan air tadi. Maka, dia pun berkata, “Air ini meskipun lembut tapi mampu membuat batu yang keras menjadi cengkung! Demi Allah, sesungguhnya aku akan benar-benar menuntut ilmu”. Kemudian dia kembali menuntut ilmu dan akhirnya menjadi seorang ulama.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Kisah di atas mempunyai retorik dan pesanan namun kadang kala kita asyik tekun membaca jalan ceritanya hingga lupa mengambil ibrah dan manfaat yang ada. Sikap bersungguh-sungguh dan tidak pernah kenal erti putus asa akan mendewasakan dan mematangkan diri kita semua. Menjadi lumrah bagi seorang mahasiswa untuk terus berjuang menuntut ilmu Allah SWT dalam apa jua keadaan dan bidang pengajian.

Namun kadang-kala kita berasa seolah-olah “tercicir” dari landasan kita. Maka letaklah hadaf dan tujuan mempelajari ilmu itu hanya kerana Allah SWT kerana apabila kita berasa hampa, jadilah seperti tokoh ulama’ tadi yang mana apabila melihat kekuasaan Allah SWT, mereka kembali sedar dan bersemangat untuk terus mendalami ilmu-ilmu Allah SWT kerana mereka tahu hakikat kepentingan ilmu tersebut.

Sudah menjadi kemestian kurikulum pembelajaran semasa, setiap sesi pembelajaran baru pasti akan diselangi dengan ujian dan peperiksaan. Maka Januari ini akan sekali lagi mencipta sejarah tersendiri buat kita semua dan segalanya bergantung kepada diri kita sendiri. Besar harapan Unit Pendidikan dan Pengetahuan untuk melihat peningkatan potensi akademik serta kejayaan semua ahli BKAWM dalam peperiksaan yang kian hampir.

Mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang,
"Nescaya Allah akan meninggikan beberapa darjat orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat".
(Al mujadilah : 11)

Sejajar dengan dunia kotemporari kini yang menjadikan ilmu sebagai mekanisma ukuran, Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM mengambil pendekatan untuk menjalankan beberapa kajian dasar dan duduk semeja bersama-sama bagi merancang pelbagai pengisian ilmu melalui medium yang lebih kritis dan kreatif untuk semua ahli BKAWM agar kita semua tidak ketinggalan dalam menjadi umat yang cemerlang duniawi dan ukhrawi.

Agenda kebajikan berbentuk peendidikan akan terus menjadi keutamaan kami. Namun ingatlah, pilihan untuk berubah bukanlah berada di tangan saya, Unit Pendidikan dan Pengetahuan atau selainnya, tetapi pilihan itu berada dalam gengaman tangan kalian semua. Unit Pendidikan dan Pengetahuan khususnya dan BKAWM umumnya mendoakan kejayaan kalian dalam peperiksaan yang akan menjelang. Salam imtihan buat semua.

"Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah