MEKAR '12 - Mengerat Kesatuan, Menyubur Pengorbanan

Kaherah, 27 OKTOBER –  Setiap tahun, sambutan Hari Raya Aidil Adha disambut dengan penuh meriah  di segenap pelusuk negara Islam. Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) juga tidak terkecuali untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini.

Majlis Eidul Adha dan Sambutan Ulang Tahun BKAWM (MEKAR ’12) telah disambut dengan meriah selama 3 hari di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Pelbagai persiapan telah dibuat bagi menjayakan program ini antaranya termasuklah program gotong-royong khas sempena MEKAR ’12 yang menerima penglibatan daripada kesemua penghuni ARWP.
Selari dangan temanya pada tahun ini, iaitu ‘Taat dalam Pengorbanan Memacu Keunggulan Sahsiah’, MEKAR’12 mempunyai objektif utama untuk memacu keunggulan sahsiah melalui pengorbanan yang perlu dilakukan dalam kehidupan di samping merapatkan ukhuwah antara ahli BKAWM sebagai sebuah institusi keluarga bagi menggantikan keluarga yang jauh di Malaysia. Selain itu, tidak lupa juga untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S.
                Program yang bermula pada 25 Oktober 2012 telah dirasmikan oleh Pengurus ARWP iaitu Encik Ahmad Yahya Bin Mohd Haniff. Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Saudara Zuhari Zainal Abidin, Badan Pengurus angkat BKAWM serta Saudari Intan Soraya Hashim, HEWI angkat BKAWM.

                Sebanyak seekor unta, dua ekor khoruf dan 12 ekor kambing telah dikorbankan pada tahun ini. Sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak termasuklah penghuni ARWP dan juga ahli BKAWM di peringkat cawangan.
 Antara beberapa slot yang dijalankan sepanjang MEKAR ’12 berlangsung termasuklah majlis suai kenal bersama pegawai JAKIM, Iftar Mahabbah, slot  Gema Takbir serta sesi penyembelihan dan melapah beramai-ramai. Turut serta ucapan Perutusan Rasmi Eidul Adha 1433H oleh Ustaz Abdul Aziz Bin Ali, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). BKAWM juga telah menganjurkan talk show bertajuk ‘Pengorbanan dengan Amal Islami’  bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa-mahasiswi islam tentang kepentingan pengorbanan dalam kehidupan.
Apa  yang menariknya pada tahun ini ialah Slot Bait Muslim dan  majlis walimatul urus yang turut dilangsungkan di dalam MEKAR ’12. Seramai tiga pasang pengantin diraikan serentak dalam majlis yang sama. Majlis berlangsung dengan penuh sederhana tetapi amat meriah. Kehadiran ahli BKAWM tidak diduga dengan jumlahnya yang ramai. Persembahan nasyid daripada Kumpulan Paradise turut menceriakan  suasana. Majlis tamat dengan sesi fotografi dan jamuan.

                  

0 comments:

Post a Comment

Blogroll