Kalam Pimpinan: Komitmen Ahli Mengukuh Kesatuan



Assalamualaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim.

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah dan rahmat-Nya, dapat lagi kita sama-sama meneruskan kehidupan ini dalam menyambung rantai-rantai perjuangan dakwah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat.

Alhamdulillah, hasil usaha dan sokongan anda semua, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) meneruskan lagi bahtera perjuangannya dalam menaburkan bakti kepada anak-anak Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini.

Pada 19 Oktober 2013 yang lalu, BKAWM telah menyambut ulang tahun kali ke-15 bersempena dengan tarikh penubuhannya iaitu pada 19 Oktober 1998. Ini menjadi bukti kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan masih utuh di bawah satu naungan, iaitu BKAWM.

Bagi sesi kepimpinan 2012/2013, BKAWM menekankan aspek akhlak dalam menuntut ilmu, dengan membawa Tema “Keunggulan Sahsiah Wasilah Keilmuan”. Ini adalah bagi memastikan setiap ahli Wilayah Persekutuan memiliki keperibadian yang tinggi agar ilmu yang dipelajari dan yang ingin disampaikan hadir seiring dengan proses pembinaan peribadi.

Dengan berakhirnya sesi ini, kepimpinan seterusnya akan menjadi penyambung mata rantai dalam usaha penyatuan anak-anak Wilayah Persekutuan di bumi mesir. Usaha dalam mencapai misi ini akan mampu dicapai sekiranya kesemua anak Wilayah memberi sokongan dan komitmen bersama dalam menjayakan segala gerak kerja BKAWM sama ada dalam bentuk sumbangan tenaga, buah fikiran, mahupun kewangan. Semoga anda semua tidak ketinggalan dalam bersama menjalankan amal dakwah Islam yang dibawa oleh BKAWM. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2 ,”dan tolong-menolonglah engkau semua atas kebaikan dan ketaqwaan.”

Akhirnya, semoga segala usaha kita mendapat keredaan di sisi-Nya, dan barisan kepimpinan BKAWM sesi 2012/2013 mengucapkan ribuan kemaafan atas kelemahan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terus menyokong dan  mendokong BKAWM.

Siru’ala Barakatillah.

Sekian, wassalam.

'BKAWM Keluarga Kita'
'KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN'

Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]