Kalam Pimpinan: Berjaya Bersama


          Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah SWT atas nikmat iman dan Islam serta segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚفَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (Surah al-Nahl:43)

          Kejayaan adalah suatu impian yang diimpikan oleh semua manusia dalam kehidupan ini. Namun, untuk mencapai kejayaan tersebut perlulah melalui liku-liku perjalanan yang panjang terutama sekali dari sudut menambahkan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan ahli. Konsep “Berjaya Bersama” perlu disematkan di dalam hati bagi mencapai kejayaan bersama kerana seharusnya semua manusia menginginkan kejayaan tanpa melihat sahabat-sahabat seperjuangan mereka gugur di dalam usaha bagi mencapai kejayaan tersebut.

          Ayat di dalam surah al-Nahl di atas menegaskan bahawa sekiranya kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara maka bertanyalah kepada mereka yang berpengetahuan tentangnya. Ini merupakan salah satu teknik yang diajar oleh Allah untuk mencapai kejayaan iaitu dengan bersama orang yang berpengetahuan khususnya golongan ulamak, para masyaikh, para ustaz dan ustazah serta sahabat-sahabat seperjuangan yang menuntut ilmu di kuliah.

          Kita dapat lihat saban tahun apabila tibanya musim peperiksaan, betapa ramai mahasiswa mula melarikan diri dari kelompok masyarakat dengan alasan untuk belajar bersendirian supaya dapat lebih fokus tanpa menghiraukan sahabat-sahabat mereka yang lain. Kekuatan ukhuwah dan berjemaah di dalam pembelajaran semakin dilupakan. Malah mereka mula menggunakan cara pembelajaran secara individu.

          Sedangkan, jika kita perhatikan antara faktor untuk memahami sesuatu pembelajaran tersebut adalah dengan belajar bersama, iaitu belajar di dalam kumpulan dan saling mengulangkaji dengan sahabat-sahabat lain. Selain itu, antara teknik untuk menghafaz al-Quran pula ialah melalui teknik “tasmi’” (membaca dan mendengar). Teknik ini memerlukan seseorang untuk mendengar bacaan dan memperbaiki bacaan kita. Ianya tidak dapat dilakukan jika berseorangan malah memerlukan individu lain terutama sekali seorang syeikh ataupun sahabat-sahabat yang lain.

           Oleh yang demikian, kita di peringkat BKAWM amat menggalakkan ahli untuk bersama-sama menghidupkan suasana di rumah dengan belajar secara berkumpulan serta melazimi ulangkaji bersama mereka yang lebih berpengetahuan. Selari dengan tema dan misi BKAWM pada sesi ini, iaitu “Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah” dan “Meningkatkan kecemerlangan akademik di kalangan ahli”. Apabila ukhuwah di antara kita dijalinkan dalam setiap apa yang dilakukan terutama sekali di dalam pembelajaran maka, ia akan menghasilkan sebuah natijah yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat kelak.

Jom Berjaya Bersama.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

Ahmad Faris bin Mazlan
Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]