Kalam Pimpinan: Kebajikan Ahli Tanggungjawab Bersama



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

          Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan mengurniakan akal fikiran yang berharga, Tuhan yang telah menjadikan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia yang dihiasi dengan akhlak yang sangat mulia, Tuhan yang telah menciptakan seluruh mahkluk ini. Segalanya di langit dan di bumi berada di bawah kekuasaan-NYA. Syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang tidak terhingga. Dalam Al-Quran, surah Al-Ahzab ayat 56, Allah SAW menyatakan yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-NYA berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk untuk nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.” 

          Maka selawat dan salam buat Baginda SAW penghulu segala para nabi. Baginda sebagai qudwah ikutan seluruh manusia hingga akhir zaman.

          Firman Allah SWT juga di dalam Surah Ali Imran ayat 92, mafhumnya:

“Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” 

          Berdasarkan ayat Al-Quran di atas maka, jelaslah kepada kita selaku muslim yang taat perintah-NYA perlu untuk menginfakkan sebahagian daripada harta kita di jalan Allah sebelum kita dapat memperolehi kebajikan sama ada daripada manusia mahupun daripada Sang Pencipta yang hakiki. Justeru, dengan infak yang kita lakukan secara tidak langsung dapat membantu sesama saudara kita khususnya dari sudut kewangan.

          Oleh yang demikian, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sebagai sebuah persatuan mahasiswa khusus untuk anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir telah menyediakan satu platform bagi menyalurkan kebajikan kepada ahli yang berdaftar di bawahnya khusus dari sudut kewangan yang diberi nama “Tabung Kebajikan". Tabung yang diwujudkan di bawah Lajnah Kebajikan ini mempunyai beberapa skim. Antaranya Skim Pinjaman, Skim Pelaburan, Skim Sumbangan dan Skim Kecemasan. Objektif utama tabung ini adalah untuk membantu ahli yang bermasalah dalam aspek kewangan dan juga ingin melahirkan ahli BKAWM yang bersikap pemurah serta suka membantu antara satu sama lain.

          Selain itu, Lajnah Kebajikan BKAWM juga turut menitikberatkan kebajikan ahli dari sudut keselamatan. Memandangkan keadaan Mesir yang masih belum pulih sepenuhnya ini maka, isu keselamatan amatlah penting untuk kita semua ambil cakna. Selaku badan kebajikan mahasiswa, BKAWM sedaya upaya memastikan keselamatan semua ahli berada dalam keadaan yang terpelihara samada yang tinggal di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) mahupun di rumah sewa di samping mengharap perlindungan dari Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh kerana itu, hakikatnya kita memerlukan antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin umpama sebuah bangunan yang tersusun kukuh seperti yang telah tertulis dalam kalam Allah surah As-Saff ayat yang keempat.

          Kesimpulannya, Islam adalah agama yang berkebajikan khusus kepada penganutnya dan kepada bukan Islam umumnya. Justeru, kebajikan yang dibawa oleh Islam mencakupi dari semua aspek kehidupan. Maka dengan rasa amanah dan tanggungjawab, Lajnah Kebajikan BKAWM pada sesi ini mensasarkan beberapa sudut kebajikan yang bersesuaian dengan sesebuah persatuan mahasiswa seperti yang telah dinyatakan seiring dengan PMRAM yang menekankan kebajikan ahlinya. Akhir kalam, kebajikan ahli adalah keutamaan kami demi memastikan kesatuan BKAWM berkekalan hingga ke generasi akan datang.

Sekian.



“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”



Nur Hazimah binti Mat Basri
Naib Pengerusi HEWI II
Merangkap Timbalan Lajnah Kebajikan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]