Berita Kedatangan Delegasi: Memantau Perkembangan Asrama di Mesir


KAHERAH, 18 OGOS 2015- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir telah menerima kehadiran delegasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 9 Ogos 2015 yang lalu. Delegasi yang tiba seawal jam 5.00 pagi telah disambut oleh beberapa wakil Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM dan wakil Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) iaitu Encik

Ahmad Yahya bin Mohd Haniff, Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan dan Encik Mohd Faridil Atrash bin Mohd Suhaidi, Penolong Pegawai Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan di Lapangan Terbang Kaherah.


Selesai sesi bergambar di lapangan terbang, pihak delegasi dibawa ke tempat penginapan di Hotel Dusit Thani, Lake View Cairo untuk sarapan dan daftar masuk. Delegasi yang dianggotai oleh 9 orang pegawai terdiri daripada 6 orang pegawai dari Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAIWP, seorang pegawai dari Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan 2 orang pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR). Kehadiran delegasi selama genap seminggu di Ardul Kinanah ini adalah dengan tujuan lawatan kerja Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAIWP. 
Pelbagai aktiviti sampingan yang telah dijalankan oleh pihak delegasi sepanjang berada di Mesir. Antaranya ialah kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah, kunjungan hormat ke Universiti al-Azhar, dan lawatan sekitar Kaherah serta Iskandariah. Di kesempatan kehadiran delegasi ini, pihak BKAWM juga telah mengambil peluang untuk memberikan ruang kepada salah seorang anggota delegasi untuk menyampaikan pengisian untuk anak-anak Wilayah Persekutuan. Pengisian telah disampaikan oleh Encik Abdul Halim bin Sulaiman, Ketua Unit Pendidikan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP pada 15 Ogos yang lalu. Pelbagai input serta kalam nasihat telah disampaikan oleh beliau yang merupakan mantan Pengurus Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Beliau juga merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM dari sesi 2002 hingga sesi 2006.
Di sebelah malamnya pula, sebuah perjumpaan ringkas telah diadakan antara pihak delegasi dan pihak BKAWM bertempat di Hotel Dusit Thani. Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh saudara Abdul Basit bin Abdullah, Setiausaha Agung BKAWM sesi 2014/2015 dan diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak. Perjumpaan dimulakan dengan sesi pengenalan diri anggota delegasi dan AJKT BKAWM. Kemudian diteruskan pula dengan sedikit ucapan daripada wakil delegasi, Encik Zahed bin Saidin, Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAIWP selaku ketua Rombongan Lawatan Kerja ke Mesir. Perjumpaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pihak BKAWM kepada semua ahli rombongan yang hadir dan sesi fotografi. Seterusnya, pihak delegasi diiringi pegawai PPMM dan AJKT BKAWM bergerak ke Lapangan Terbang Kaherah untuk kembali ke tanah air. 
Selamat maju jaya diucapkan kepada semua anggota delegasi yang telah hadir ke bumi Mesir pada kali ini. Semoga segala gerak kerja dan penat lelah yang telah pihak delegasi hadapi demi memastikan kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan di sini diberkati oleh Allah SWT dan diberi ganjaran olehNya dengan sebaik-baik ganjaran.
“BKAWM Keluarga Kita” “Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan” Satu Fikrah Satu Amal




Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]